Friday, January 1, 2010

Yang mana lebih bernilai-Istana atau kesihatan?


Semalam tiba-tiba ibu jari kaki dan sebahagian dari tapak kaki saya bengkak. Solat pun terpaksa duduk, dah tiga waktu tidak ke surau. Kalau berjalan, terjengket-jengket.
Tiba-tiba terus saya teringat kuliah Ustaz Umair, imam surau Al-Hikmah, SS18 Subang Jaya. Kuliahnya bersekitar tentang nikmat kesihatan.
Satu hari semasa menyambut hari lahir seorang raja, baginda meminta seorang ulama' mendoakan baginda. Ulama' itu mendoakan baginda supaya mudah membuang air. Baginda terasa murka dan terhina kerana seolah-olah tidak ada doa lain yang boleh dipersembahkan.
Tiba-tiba pada satu ketika yang lain, Raja tersebut menghadapi masalah untuk membuang air besar. Dengan perasaan malu, baginda berjumpa dengan ulama' tersebut dan meminta mendoakan supaya baginda dimudahkan buang air besar dan berjanji untuk memberi separuh harta baginda kerana tidak tertanggung sakitnya. Dengan izin Allah baginda boleh membuang air besar.
Tak berapa lama kemudian baginda tidak boleh membuang air kecil pula. Sekali lagi dengan perasaan sakit, Raja meminta ulama' yang sama mendoakan supaya baginda boleh membuang air kecil semula dan ulama' tersebut dijanjikan separuh lagi harta raja tersebut. Dengan izin Allah, juga baginda sembuh.
Begitulah demi nikmat kesihatan. Seorang Raja sanggup berpisah dengan seluruh hartanya semata-mata supaya menjadi pulih untuk membuang air besar dan air kecil.
Begitulah kita semua, sebelum sakit, kita terlupa nilai kesihatan dan nikmat-nikmat yang lain. Bila sakit, macam saya sekarang, meraung-raung. Dah sihat nanti, lupa semula dengan nikmat Allah.
Mudah-mudahan kali ini saya tidak akan lupa dan terus sentiasa mensyukuri nikmat Allah yang tak terkira banyaknya.

No comments:

Post a Comment