Tuesday, April 6, 2010

KELANGSANGAN MEDIA 2

Sejak sakit selama sebulan ini otak tidak berfungsi dengan baik , badan pun tidak berdaya untuk menulis. Itulah sebabnya saya sudah beberapa hari tidak menulis.

Kesan buruk kelangsangan media di seluruh dunia memang tidak dapat di nafikan lagi . Ada satu kumpulan di Amerika yang mengatakan siri "Barbie" di tv itu pun boleh mendatangkan kesan pisikologi yang buruk kepada kanak-kanak. Di antara kesannya ialah kanak-kanak akan merasa rendah diri ( inferior) kerana tidak memiliki kecantikan dan ciri-ciri istimewa "Barbie" . Kanak-kanak yang menonton juga terdedah kepada adegan-adegan cinta pada umur yang tersangat awal melalui episod-episod "Barbie" tersebut.

Di negara kita pula banyak kelangsangan media yang telah mempengaruhi penonton-penonton terutama anak-anak kecil . Di Sabah umpamanya seorang anak telah melakonkan adegan "Superman" dengan melompat dari sebuah bukit. Akhirnya beliau meninggal. Di Semenanjung pula seorang budak telah menembak jirannya dengan menggunakan pistol ayahnya . Jiran itu telah meninggal.
Di akhbar Berita Harian pada 8/3/06 satu artikal bertajuk "Kerana vcd lucah adik di rogol , abang di penjara. " . Artikal ini telah menceritakan seorang abang merogol adiknya yang berumur 17 tahun sebanyak 12 kali atas pengaruh vcd lucah .


Di Amerika Syarikat pula satu kajian telah di buat tentang kesan kelangsangan media . Pada tahun 2001 terdapat 20,000 pembunuhan , 75,000 kes rogol, dan 600,000 kes serangan fizikal yang di pengaruhi oleh kelangsangan media .

Di Asia pula pada tahun 2002 , terdapat 20 peratus dari kes zina , 24 peratus dari kes pornografi , 21 peratus kes sex sebelum nikah dan 35 peratus dari kes juvana adalah dari pengaruh kelangsangan media .

Banyak lagi statistik yang boleh di perturunkan di sini tetapi memadailah kalau saya katakan pengaruh media sekarang ini sudah menjadi parah . Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengawal dan mempastikan anak-anak dan keturunan kita tidak menjadi mangsa kepada kelangsangan media . CEGAH SEBELUM PARAH.

Monday, March 29, 2010

KELANGSANGAN MEDIA

Semasa membaca satu artikal bulan lalu saya terjumpa dengan satu frasa' KELANGSANGAN MEDIA'. Frasa itu langsung tidak saya fahami dan saya terus membuat sedikit penyelidikan . Lebih kurang saya mendapati maksudnya begini :-

Kelangsangan media merujuk kepada sebarang bentuk tingkah laku melampau yang ditayangkan oleh media cetak dan media elektronik bertujuan menarik minat penonton menonton rancangan yang disiarkan . Kelangsangan yang dipaparkan mengandungi kelangsangan fizikal , kognitif dan emosi seperti adegan seram dan menakutkan , peperangan , pergaduhan dan pembunuhan , pertengkaran , kelucahan dan sukan lasak.

Kelangsangan TV - Berita -berita dipalsukan , siaran berunsur keganasan, seram , seks berleluasa.
Kelangsangan Radio - Propaganda satu satu ideologi di ulang -ulang. Hiburan , cerita khayalan berterusan .
Kelangsangan Internet - Fitnah berleluasa. Bahan lucah berleluasa.
Kelangsangan Handphone - Berita palsu tersebar luas . Akses kepada remaja dan kanak-kanak.
Kelangsangan Akhbar - Berita-berita disensasikan . Penulisan berbentuk andaian , persepsi dan provokasi. Susunan gambar dan cerita dimanipulasi. Banyak cerita, berita dibesar-besarkan (exaggeration).
Kelangsangan Majalah - Menggunakan gambar untuk melariskan jualan . Gambar-gambar dalam bentuk memberahi atau mengerikan . Iklan juga menggunakan daya tarikan seks, walaupun produk tidak berkaitan . Buku-buku agama pun dipengaruhi unsur-unsur lucah terutama di kulit kulit hadapan.

Begitulah ombak 'kelangsangan ' telah melanda seluruh bidang media dan ia telah memberi kesan yang amat buruk kepada penonton, pendengar dan pembaca. Kesan yang parah sekali ialah terhadap golongan muda kerana mereka tidak mempunyai pemikiran yang matang untuk membezakan di antara yang baik dan buruk.

Esok insyaAllah saya akan menunjukkan gejala dan padah yang telah merosakkan generasi kita yang terpengaruh dengan kelangsangan media ini. Sementara itu awasilah anak-anak anda. Terima Kasih.

Sunday, March 28, 2010

BERGELAP


Malam tadi 27 March 2010 adalah malam yang di panggil sebagai EARTH HOUR di mana sebanyak 126 negara yang mengambil bahagian memadamkan lampu di bangunan bangunan tertentu selama satu jam dari jam 8.30 hingga jam 9.30 malam . Syarikat syarikat dan individu individu juga di galakkan bergelap pada waktu tersebut. Usaha ini adalah initiatif persatuan WWF , (WORLD WIDE FUND FOR NATURE) dan Malaysia telah mengambil bahagian buat kali kedua.

Sekembalinya saya dari surau malam tadi rumah telah gelap . Anak yang bongsu Ayuni telah mula memadamkan lampu seawal jam 8.15 malam . Seluruh keluarga kelihatan bergurau mengambil gambar kucing , mengambil gambar saya dan isteri , memadamkan lilin yang berlebihan dan membuat aktiviti lain bersama sama . Suasana begitu meriah dan semua terlibat melakukan apa saja seolah olah ia adalah satu hari keluarga didalam gelap .

Apa yang saya nak cadangkan di sini ialah boleh kah dalam satu minggu atau sebulan sekali kita mengumpulkan keluarga kita bersama sama dalam masa lebih kurang satu jam . Kita lupakan TV, kita lupakan computer, kita lupakan radio dan kita tumpukan hanya masalah keluarga sahaja . Pada masa itu kita tanya kabar antara satu dengan lain , kita tanya masalah kalau ada, kita keluarkan apa apa yang terbuku , kita luruskan yang bengkok atau apa apa saja untuk kebaikan bersama . Kita panggillah perjumpaan itu sebagai usrah , brainstorming , get together, retreat, atau apa apa saja asalkan matlamatnya untuk mengeratkan ahli ahli keluarga
.

Memanglah membuat sesuatu yang baharu itu akan mendapat tentangan atau sambutan dingin. Tapi setiap usaha untuk kebaikan itu pasti ada ganjaran dari Allah s.w.t . Selamat mencuba.


Wednesday, March 24, 2010

AKU PANCIT


Sejak kena stroke selama tiga minggu menulis pun jarang jarang, kadang kadang . Itulah sebabnya kita kena manafaatkan waktu sihat sebaik mungkin . Tiga hari yang lalu saya di ziarahi seorang sahabat yang pakar dalam 'acupunture' . Beliau menawarkan saya perkhidmatan acupunture supaya mudah mudahan stroke saya akan pulih.

Tiap tiap hari badan saya di cucuk dengan beberapa jarum kadang kadang bilangannya mencecah 25 batang . Nampak operasinya sakit tapi matlamatnya untuk memulihkan , kerana kata sahabat saya Tuan Hj Halim apabila sesuatu tempat itu menjadi sakit 'antibodies' akan berkumpul mempertahankan tempat tersebut dan berlakulah pengaliran darah yang lebih baik.

Malangnya terdapat ibubapa sekarang ini terlalu memanjakan anak anak atau kadang kadang hingga 'merajakan' anak anak semata mata untuk mempastikan keputusan akademik anak anaknya mencapai tahap cemerlang . Anak anak yang bercanggah akhlaknya dengan agama pun dibiarkan sahaja . Betul juga kata peribahasa yang mengatakan sayang anak tangan tangan kan . Saya mengingatkan diri saya dan tuan tuan dalam mendidik anak anak kejayaan akhirat mestilah di utamakan , insyaAllah kejayaan dunia akan mengikut .

Kata kata nasihat yang kadang kadang bunyinya menyakiti pendengaran anak anak kita satu hari akan menjadi ubat bagi mereka . Berilah mereka jarum jarum nasihat sebelum mereka hidup bermaksiat. Sekian Terima kasih.

Sunday, March 21, 2010

PELABUR MUDA


Kita sibuk mencari petua "cepat kaya" dari kecil kecil sampai ke zaman tua ini . Saya di fahamkan seorang pelajar perempuan Islam sudah memiliki Rm 100,000.00 ketika beliau masih di tingkatan dua . Guru nya yang terperanjat dan ingin tahu dan mula menyiasat .

Mula mula kata murid tersebut ramai orang memberi wang kepada nya . Bila guru suruh menyenaraikan nama nama mereka , senarai sudah menjadi beberapa muka. "Untuk apa mereka memberi wang kepada kamu ?" Kata guru kepadanya. Rupa rupanya penuntut tersebut telah menjual 'anunya' atau melacur. Ditanya lagi "Nak buat apa dengan duit banyak banyak ni ?" " Nak melabur dalam ASN cikgu " .

Begitulah sedikit cerita yang kita ketahui tentang kehancuran masyarakat Islam zaman sekarang . Memang tugas tugas amal makruf nahi mungkar ini satu kerja yang sangat susah untuk di laksanakan, tapi paling kurang kita mesti selamatkan keluarga , masyarakat keliling dan kenalan kenalan kita. Paling kurang juga kita mesti membantu kesatuan kesatuan, kumpulan kumpulan dan mereka mereka yang membuat kerja mengajak kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran.

Kalau pun perkara perkara tersebut tidak mampu dilakukan kita berdoa lah kepada Allah supaya umat Islam kembali kejalan yang benar . InsyaAllah.Semua amalan dan usaha yang tuan tuan sumbangkan untuk kebaikan akan Allah kira sebagai satu PELABURAN dan ganjaran nya akan di beri dalam bentuk pahala di syurga nanti.Terima kasih.

Tuesday, March 16, 2010

PENYAKIT ROHANI

Hari ini badan masih belum sihat lagi. Nak menulis panjang-panjang pun, otak belum berfungsi 100 % . Tapi alhamdulillah baru-baru ini ada sahabat yang menghadiahkan saya sebuah buku yang dikarang oleh Ustaz Haji Osman Haji Ibrahim yang bertajuk Penyakit-penyakit Rohani dan cara-cara mengubatinya. Seimbas lalu saya rasa buku ini sangat baik untuk kita baca dan sampaikan kepada keluarga dan sahabat handai . Harganya pun sangat murah lebih kurang harga sekotak rokok sahaja. Diakhir buku ini, Ustaz Osman menyertakan doa-doa yang kita perlu amalkan setiap hari.
Diantara penyakit-penyakir rohani yang dimuatkan dalam buku ini ialah :-

1. Hasad dengki

2. Riak

3. Takbur.

4. Mengikut hawa nafsu

5. Bakhil

6. Futhur
(malas atau undur selepas bersungguh-sungguh dan aktif melakukan sesuatu kebaikan)

Diantara doa-doa yang dimuatkan dalam buku ini ialah :-

Doa jika ditimpa kesakitan .

Letakkan tangan kanan diatas bahagian tubuh yang sakit. Usapkanlah 7 kali dan bacalah :

"Aku mohon perlindungan demi kejayaan Allah, demi Kudrar Allah dari ngerinya rasa sakit itu"


Untuk mengetahui cara-cara mengubati penyakit-penyakit rohani ini eloklah tuan-tuan membeli senaskhah buku ini dan apabila sudah habis dibaca elok juga kalau kita menghadiahkan buku tersebut . Terima kasih.

Monday, March 15, 2010

BOMB


Di rumah saya ada sebutir bomb. Bomb main main . Didalamnya merisi minyak wangi . Bila tetamu datang mereka akan tertawa atau senyum senyum , melihat bomb tersebut . Mereka tahu bomb itu ialah satu hiasan dan pasti tidak akan memudaratkan.

Kalau sahabat sahabat jumpa bomb di Iraq . Afghanistan atau Pakistan , jangan senyum senyum , kalau sempat lari sepantas mungkin , kalau tak sempat mengucap sajalah. Apa yang saya nak katakan disini ialah bomb itu umpama peringatan . Sekarang ceramah agama merata rata , di mesjid , surau , radio , TV , padang , VCD dan merata tempat lagi.

Setengah orang mentertawakan ceramah dan nasihat nasihat ini. Tapi ingat sahabat sahabat kalau nyawa sudah sampai di halkum , tidak sempat untuk mendengar tazkirah lagi. Tak sempat nak ke mesjid lagi . Tak mampu nak berjemaah lagi . Jadi jangan tertawakan program agama dan dakwah lagi . LIBATKAN DIRI ANDA . Ungkapan Inggeris mengatakan "Those who laugh last , laugh best ".

Saturday, March 13, 2010

APA DAH JADI


Petang tadi saya di fahamkan oleh seorang penuntut tingkatan 5 yang kawan dia ( seorang Islam ) ingin mengambil subjek elektif pengajian Bible . Alhamdulillah guru penuntut tersebut telah menasihati penuntut itu supaya tidak meneruskan hasratnya.

Apa dah jadi kepada umat Islam zaman sekarang ? Agama sendiri pun belum habis di pelajari sudah minat dengan agama lain. Saya harap kita perhatikanlah anak anak kita supaya gejala tukar agama tidak menjangkiti keluarga kita. Kalau semua kita melaksanakan amar makruf nahi mungkar secara serius insyaAllah Allah akan memelihara kita semua.

Friday, March 12, 2010

CINTA

Ramai pengunjung blog mendoa dan memberi kata kata rangsangan supaya saya segera sembuh. Saya mengucapkan berbanyak banyak terima kasih dan Allah sahaja lah yang dapat memberi balasan kepada semua .

Sejak tak berapa sihat kebelakangan ini tengok tengok juga TV untuk mencari idea .Baru ini tengok rancangan THE OPRAH WINFRED SHOW dalam segmen juara karaoke . Yang menarik minat saya ialah senikata lagu tersebut , lebih kurang :-
You can reach me by railway
You can reach me by trailway

You can reach me by an airplane
You can reach me by your mind

You can reach me by caravan

across the dessert like an Arab men

I dont care how you get me

Get here if you can

If I have my way

surely you would be mind

Ungkapan ini adalah ungkapan orang yang asyik bercinta dengan teman wanitanya . Alangkah indahnya kalau ungkapan seperti ini digunakan untuk mencari keredaan Allah. Datang kemesjid umpamanya , kalau tak berkereta , bermotosikal . Kalau tidak bermotosikal, berbasikal atau berjalan kaki. Matlamat kita mesti bertemu dan mendapat kasih sayang dari kekasih kita Allah s.w.t . Kalau tidak dapat juga solat berjemaah di mesjid teruskan lah dengan zikir seperti apa yang dikatakan oleh lagu tadi " You can reach me by your mind ".

Begitu juga dengan aktiviti lain . Berdakwah kedalam hutan . Berdakwah sekeliling bandar . Berdakwah kepada jiran dan keluarga , semuanya memerlukan pengorbanan . Oleh itu gunakanlah apa apa yang telah dikurniakan oleh Allah untuk mendapat keredaanNya.

Wednesday, March 10, 2010

SAYANGNYA KERETA


Awal awal pagi tadi saya menerima satu sms dari seorang sahabat yang melahirkan rasa kecewanya bekerja dalam satu kesatuan yang berpaksikan Islam. Ada diantara sahabat yang tadak mahu memegang jawatan katanya. Ada sahabat yang berjawatan tak tahu membuat kerja. Ada yang pandai komen aje. Dia pula tiba tiba terasa sama ada kehadirannya diperlukan atau tidak.

Tiba tiba saya terdapat jawapan permasalahan itu pada satu majalah yang ditinggalkan oleh anak saya dirumah - MOTOR TRADER . Manusia akan berbelanja sebahagian besar kewangan mereka untuk merubah kereta kereta impian masing masing. Kadang kadang hingga diluar kemampuan . Kereta pula dihias dengan aksesori tambahan . Kalau kotor di cuci , kalau tak berkilat di polish . Kalau kemik di cat semula . Kalau rosak terus di repair. Kalau tak wangi dibelikan pengharum kereta. Begitulah seterusnya.

Untuk apa ? Saya rasa

1. Sebagai keperluan

2. Sebagai 'status symbol'

3. Sebagai hobby

Berapa harga yang kita terpaksa bayar? Tentulah banyak , kadang kadang terpaksa berhutang. Kalau untuk nikmat sementara ini kita sanggup bekorban , bersusah payah , tak mengapalah kalau kita menghadapi sedikit rintangan bila bekerja untuk Islam. Manusia ini memang banyak cerewet.

Umpama cerita Luqman Hakim ,anaknya dan unta mereka. Apabila Luqman Hakim memberi anaknya naik unta , orang keliling mengatakan anaknya tidak menghormati bapanya. Apabila Luqman Hakim menaiki unta tersebut orang mengatakan yang Luqman Hakim tidak berlaku adil. Apabila Luqman Hakim dan anaknya menaiki unta itu orang mengatakan yang Luqman dan anaknya menzalimi unta tersebut. Apabila Luqman dan anaknya mengangkat unta tersebut mereka dikatakan oleh orang ramai sebagai gila. Itulah hakikat kalau kita mendengar komen manusia.

Jadi untuk kita sentiasa dijalan yang benar panduan kita mestilah kepada Allah dan Rasulnya. Segala cacat cela dari manusia di sekeliling kita anggaplah sebagai ujian dari Allah yang akan memantapkan lagi keperibadian kita dalam membuat kerja kerja Islam.

Tuesday, March 9, 2010

AKU TAK TAHU


Semasa saya mendapat stroke ,sebagai musibah dan peringatan dari Allah , ramai sahabat sahabat datang menziarah sebagai tanda simpati dan siraturrahim . Salah seorang sahabat membawa sebotol ubat yang di perbuat dari pokok semalu yang boleh membersihkan pembuluh darah , katanya . Kalau lah saya jumpa pokok ini di kawasan rumah atau di keliling surau sudah pasti saya akan mencabut dan membuang pokok itu jauh jauh. Pokok semalu ini bukan saja mempunyai duri yang tajam tetapi boleh juga mendominasi satu satu kawasan dengan cepat . Begitulah kita yang mempunyai sedikit ilmu ini sentiasa menghukum sesuatu dengan nilai tersurat ( face value ) , sahaja .

Baru baru ini saya terlihat dalam rancangan OPRAH WINFREY SHOW satu penemuan oleh seorang doktor di Amerika . Penemuan itu dikatakan boleh mengurangkan risiko penyakit resdung . Alat itu digunakan memasukkan air kedalam satu lubang hidung dan keluar mengikut lubang hidung yang kedua . Perbuatan itu samalah seperti kita memasukkan air kedalam hidung semasa mengambil wudhu' . Mereka begitu gembira dengan penemuan itu sebaliknya berapa orang dari kita yang mengamalkan perbuatan sunat itu. Oleh itu saya menyeru semua umat Islam untuk beramal dengan perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya, PASTI Allah akan memberi kita kebaikan didunia dan kebaikan di akhirat.

Di radio IKIM pula saya terdengar tiga pakar membuat 'research' tentang kebaikan pergerakan dalam solat. Salah seorang dari penyelidik itu ialah seorang berbangsa Cina yang bukan beragama Islam . Banyaklah penemuan penemuan telah di temui terutama dalam bidang saraf. Terlalu banyak untuk di perkatakan di sini , memadailah saya mengatakan salah satu kehebatan orang yang kerap bersolat , termasuk solat solat sunat ialah amalan ini boleh menguatkan anggota sex lelaki. Banyaklah bersolat tapi niatkanlah semata mata kerana Allah .Apa apa kebaikan lain yang didapati adalah bonus dari Allah, InsyaAllah .

Monday, March 8, 2010

ZIARAH


Dua tiga hari ini sejak kena stroke pada Khamis lalu , ramai sahabat handai , jemaah surau , kaum keluarga jauh dan dekat datang berziarah kerumah. Masing masing datang dengan buah tangan yang boleh di makan , di minum , digunakan dan doa doa untuk diamalkan .

Tetapi yang indahnya semua datang dengan nasihat , doa dan kata kata rangsangan . Ini membuat saya begitu gembira tentang makna nilai persahabatan yang sebenar . Sekembalinya mereka saya merujuk kitab hadis Riyadus Shalihin oleh Imam Nawawi . Mudah mudahan ia boleh memberi saya kekuatan mengharungi sedikit ujian ini dan boleh juga di kongsi oleh kita bersama.

Dari Abu Said dan Abu Hurairah radhiallahu'anhuma dari Nabi s.a.w sabdanya : "Tidak suatupun yang mengenai seseorang Muslim - sebagai musibah- baik dari kelelahan, tidak pula sesuatu yang mengenainya yang berupa kesakitan, juga kesedihan yang akan datang ataupun yang lampau, tidak pula yang berupa hal yang menyakiti - yakni sesuatu yang tidak mencocoki kehendak hatinya , ataupun kesedihan - segala macam dan segala waktunya , sampaipun sebuah duri yang masuk dalam anggota tubuhnya , melainkan Allah menutupi kesalahan kesalahannya dengan sebab apa apa yang mengenainya- yakni sesuai dengan musibah yang diperolehnya- itu"

Keterangan:

Kesakitan apapun yang diderita oleh seseorang mukmin, ataupun bencana dalam bentuk bagaimana yang ditemui olehnya itu dapat membersihkan dosa dosanya dan berpahalalah ia dalam keadaan seperti itu, tetap bersabar dan tabah. Sebaliknya kalau tidak sabar serta mengeluarkan kata kata yang tidak sopan maka bukan pahala yang didapatkan , tetapi makin menambah besar dosanya . Oleh sebab itu jikalau kita tertimpa oleh kesakitan atau malapetaka , jangan sampai melenyapkan pahala yang semestinya kita peroleh.

Saturday, March 6, 2010

SABAR


Tiga hari kebelakangan ini apabila ditimpa oleh stroke, saya membaca beberapa buku untuk mengisi waktu yang lapang. Dengan izin Allah saya terbaca satu hadis dari kitab Riyadus Solihin yang baik digunakan sebagai motivasi disaat-saat ketika ditimpa musibah ini.

Dari Anas r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : Jikalau Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang hamba-Nya, maka ia mempercepatkan suatu seksaan/penderitaan/sewaktu di dunia, tetapi jikalau Allah menghendaki keburukan pada seorang hamba-Nya, maka orang itu dibiarkan sajalah dengan dosanya, sehingga nanti akan dipenuhkan balasan-seksaannya-pada hari kiamat.

Dan nabi s.a.w bersabda, juga riwayat Anas r.a : Sesungguhnya besar balasan-pahala- itu menilik besarnya bala yang menimpa dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka mereka itu diberi cobaan . Oleh sebab itu, barang siapa yang rela-menimpa bala tadi, ia akan memperoleh keredhaan dari Allah dan barang siapa yang uring-uring maka ia akan memperoleh kemurkaan Allah pula.

Diriwayatkan oleh imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah hadis Hasan.

Friday, March 5, 2010

JATUH !

Pagi semalam ( 4/3/10) sesudah mandi saya pun hendak ke surau menunaikan solat subuh. Semasa membuka kereta saya tiba tiba terjatuh ke lantai. Saya bangun dan terjatuh lagi. Saya menjerit meminta tolong pada isteri memapah saya ke dalam rumah. Anak anak di bangunkan segera kerana mereka akan berjalan kaki ke sekolah.
Semasa mereka hendak meninggalkan rumah saya memeluk Liyana dan Ayuni sambil bercucuran air mata, terasa seolah olah saya tidak akan berjumpa dengan mereka lagi. Lebih kurang jam sepuluh pagi anak saya yang sulung Muzri datang kerumah sesudah mengambil cuti pada hari tersebut. Isteri saya Rosnah pun nampaknya memberi layanan yang lebih baik dari hari hari biasa .
Oleh kerana badan saya seolah olah hampir lumpuh sebelah kanan , maka saya terpaksalah baring keseluruhan hari sambil membatalkan beberapa temujanji yang telah diatur sebelum ini. Patutlah Allah sentiasa mengingatkan kita supaya selalu mengingati Dia kerana sihat dan sakit , hidup dan mati adalah seperti padam dan nyalanya lampu di rumah kita .
INILAH PERINGATAN DAN INILAH BAYANGAN MAUT AGAKNYA.
Harap pembaca mendoakan kesihatah saya pulih semula . Terima Kasih.

Wednesday, March 3, 2010

CERITA DARI AUSTRALIA BAHAGIAN 2


Kelmarin kita telah bercerita tentang pemidato Bahasa Malayu dari Australia . Guru sekolah rendah beliau bukan saja menilai keputusan (results) sebagai kecermelangan tetapi mengambil kira USAHA sebagai kecermelangan .
Diakhir pidato tersebut dia pun menceritakan seorang kawan bertanya "Kerja apa yang kamu akan buat sesudah menerima ijazah nanti ?" .Pemidato tersebut menjawab "Mengapa kita risau tentang kerja , perkara yang lebih bernilai dari pekerjaan telah kita dapati , iaitu ilmu " . Begitulah persepsi kita dengan orang lain amat berbeza.

Umpamanya kalau kita menghantar anak-anak belajar ke Universiti Islam di luar negara , bila balik dah fikir nak cari kerja di pejabat pejabat Agama seolah olah nak jual ilmu ilmu yang sudah dipelajari . Lupa yang paling tinggi nilainya ialah bila ilmu itu di amalkan untuk mencari keredaan Allah .

Baru baru ini dalam satu serbuan terhadap dua blok asrama di Universiti yang bernama Islam di negara kita , terdapat 200 orang penuntut lelaki Islam tidak pergi mengerjakan solat Jumaat. Apalah nilai ijazah jika di bandingkan dengan dua rakaat solat Jumaat.

Begitulah dalam banyak perkara lain di mana manusia di perakui memiliki ilmu agama tetapi tidak beramal dengan ilmu itu.Inilah yang dikatakan pemidato dari Australia tersebut. Apalah erti kerja kalau kita terlupa dengan nilai ilmu yang ada pada kita itu.

Marilah kita sama sama mengubah sudut atau persepsi pandangan kita kepada pandangan yang di pandu oleh keimanan . Kalau tidak selama lamanya kita akan melihat tunggul kayu itu sebagai hantu dan selama lamanya kita akan takut kepada bayang bayang kita .

Tuesday, March 2, 2010

CERITA DARI AUSTRALIA BAHAGIAN 1


Lebih kurang setahun lalu saya menonton peraduan pidato Bahasa Melayu yang di siarkan secara lansung melalui TV . Kebanyakan peserta amat menarik , tetapi untuk perbincangan hari ini saya kemukakan peserta dari Australia yang memenangi tempat ketiga.

Dia memulakan pidatonya dengan menceritakan pengalaman awal persekolahannya. Pada satu hari dia dan ayahnya terpaksa mengharung hujan lebat dengan hanya bermotosikal . Dia terpaksa kesekolah juga hari itu kerana ada pepereksaan. . Dalam basah kuyup budak perempuan itu ditanya oleh gurunya . "Sesudah A apa ? . "B cikgu " jawabnya. "Sesudah B ?" . "C cikgu" jawabnya . "Sesudah C apa? " . Budak perempuan tersebut terpinga pinga tidak boleh menjawab. "Tidak mengapa "kata Cikgu tersebut. "Awak telah bersusah payah dalam hujan datang untuk menghadiri ujian ini lebih bermakna dari menjawab apa sesudah C" .

Terus saya teringat kepada cerita seekor burung kecil yang diberi nama burung kerikil. Burung ini membawa beberapa titik air untuk memadamkan api besar yang membakar Nabi Ibrahim . Semua burung burung besar mentertawakan burung kerikil tersebut dan mengatakan yang api tersebut tidak akan terpadam dengan beberapa titik air yang dibawa kerikil dengan paruhnya itu. Kerikil terus menjawab , kalau Allah bertanya , aku akan mengatakan yang aku telah cuba memadamkan api itu Ya Allah , tapi tidak terdaya. Tapi kalau Allah bertanya kepada engkau burung burung besar , apa nak kau jawab ?

Jadi moral cerita kita pada hari ini ialah kita mesti mencuba , mesti berikhtiar , mesti memulakan sesuatu . Kejayaan adalah milik dan izin dari Allah. Jangan banyak mengeluh sebelum mencuba . Allah tidak akan bertanya mengapa kamu kalah , tapi Allah akan bertanya mengapa kamu tidak berusaha.

Monday, March 1, 2010

MEMILIH


Awal pagi Ahad saya pergi ke Pasar Tani Shah Alam. Saya bertanya kepada anak, apa orang ramai ini buat, jawab dia membeli belah. Saya kata bukan , mereka ini memilih . Yang digerai basah mereka memilih ikan, sayur dan daging yang segar.

Yang digerai makanan dan minuman pula mereka memilih yang sedap dan sesuai dengan tekak masing-masing. Begitulah dengan gerai-gerai lain mereka memilih yang tercantik , termurah , terbaru dan tertua kalau digerai antik.

Kehidupan adalah memilih hinggalah dimana kita sesudah mati pun mesti dipilih dari sekarang.

Kalau kita memilih syurga di ahkirat nanti semua perbuatan kita mesti menjurus ke arah perkara -perkara yang melayakkan kita ke syurga.

Makan minum mesti halal . Kawan-kawan mesti dari satu fikrah , yang tidak menjerumuskan kita kejalan yang salah. Belajar agama pun kena tengok-tengok , jangan berguru kepada yang menyesatkan , kepada guru-guru yang boleh membawa kita ke langit .Kalau ada cerita cerita pelik , rujuk kepada sahabat dan ustaz -ustaz yang boleh dipercayai . Kalau nak berpesatuan , nak masuk club , cari yang bersih dari merosakkan akidah . Pendek kata , semuanya mestilah HALAL.

Satu hari Rasulullah salallahualaiwasalam mengatakan kepada sahabat sahabat . Semua orang akan masuk syurga kecuali yang tidak mahu. Sahabat bertanya , adakah yang tidak mahu? Ya Rasulullah ? . Rasulullah salallahualaiwasalam menjawab , Ada, mereka-mereka yang tidak beramal dengan perintah Allah adalah mereka yang tidak mahu masuk syurga .

Oleh itu kehidupan adalah memilih . Pilihlah yang diredai oleh Allah dan Rasul , InsyaAllah kita akan sampai ke matlamat yang kita pilih ia itu SYURGA Allah .

Saturday, February 27, 2010

PENCURI


Sesudah keluar dari kereta pada satu Subuh minggu lalu , saya ternampak dua anggota polis sedang mengelilingi satu Mercedes benz 200 yang lampu kecemasannya sedang menyala. Pintunya kata polis tersebut separuh terbuka dan ada handphone didalamnya. Saya pun bergegas kesurau untuk membuat pengumuman dan tuan kereta tersebut pun terus menguatkan pintu keretanya . Satu suasana yang cantik , dimana penguatkuasa undang-undang dan orang awam bekerjasama mengelakkan kecurian dan bantu membantu antara satu dengan lain.

Malangnya ada banyak gambaran lain diSubang Jaya dan tempat-tempat lain dinegara kita, budak-budak muda menagih dadah dibelakang-belakang kedai, merokok tak payah cerita lagi. Anak-anak Islam bercumbu-cumbu dibawah pokok. Ada juga yang bersekedudukan . Akhlak muda mudi digerai-gerai makan sudah macam binatang , kecuali mereka ini hanya ada dua kaki.VCD lucah dijual secara terbuka dan banyak lagi.Jadi tidak adakah badan-badan , orang ramai , orang yang berkuasa yang sanggup bekerja sama membanteras kecurian akidah, kecurian keimanan , kecurian akhlak-akhlak Islam anak-anak kita ini?

Kalau cerita awal tadi diambil iktibar , kecurian handphone itu mungkin nilainya RM1,000 . Kalau kereta yang dicuri mungkin nilainya RM 200,000 . Tapi bayangkanlah nilai keimanan , akhlak dan akidah anak-anak kita TIDAK TERNILAI . Tetapi mengapa orang tidak bergegas menghalangnya , tidak menjerit meminta tolong . Tidak memasang ALARM sebagai langkah berjaga-jaga . Sebenarnya manusia Islam sekarang telah menghadapi KRISIS NILAI itu sendiri.

MOHONLAH KEPADA ALLAH


Semasa azan Magrib kelmarin beberapa orang pekerja Islam menggantungkan banner mengajak orang bergotong royong membersihkan kawasan untuk mengelakkan denggi.

Sesudah azan mereka pun terus pulang ataupun meneruskan tugas mereka mengantung banner yang lain.

Alangkah indahnya kalau mereka sama-sama solat Magrib dan meminta bantuan kepada Allah supaya menjauhkan penduduk Malaysia dari jangkitan denggi.

Manusia selalu memikirkan yang kejayaan dan kegagalan adalah atas usaha mereka semata-mata tetapi lupa kuasa sebenarnya adalah dari Allah subhanahuataala , kita cuma berikhtiar sahaja. Jangan lupakan Allah ya !

Thursday, February 25, 2010

YAKIN DAN BERJAYA - BAHAGIAN 2


Hari ini kita akan menyambung formula kejayaan dari buku 'BELIEVE AND ACHIEVE' oleh W. Clement Stone.

8. Disiplin diri
9. Rancang Masa dan Perbelanjaan anda
10. Kekalkan Kesihatan Fizikal dan Mental anda .
11. Menggarap Pemikiran Holistik
12. Kerjasama Berpasukan
13. Visi yang Kreatif
14. Fokus dalam satu-satu Matlamat
15. Pemikiran yang Tertumpu
16. Keyakinan yang diamalkan.
Selamat mencuba dan jangan lupa mengikuti usaha anda dengan doa.

Wednesday, February 24, 2010

YAKIN DAN BERJAYA


Ramai orang yang ingin dirinya baik dari segi pelajaran , pekerjaan atau apa-apa bidang pun tercari-cari akan formula kejayaan yang boleh dipraktikkan. Memang banyak formula telah ditulis ataupun disyarahkan , diantaranya terdapat dalam buku 'BELIEVE AND ACHIEVE' oleh W. Clement Stone .


Saya akan turunkan diantara formula itu secara ringkas . Mudah mudahan satu hari nanti kita akan sampaikan secara terperinci .


BAHAGIAN PERTAMA


1. Pemikiran mental yang positif


2. Tujuan dan matlamat yang khusus .


3. Buat sesuatu lebih dari sepatutnya.


4. Belajar dari kegagalan.


5. Inisiatif sendiri yang kuat.


6. Semangat dan minat yang kuat.


7. Keperibadian yang menarik.


Esok InsyaAllah kita akan menyambung bahagian kedua topik ini .Selamat beramal dan selamat berjaya.

Monday, February 22, 2010

SERIBU GUNA


Satu petang, saya minum di gerai bawah pokok di Subang Jaya. Saya ternampak satu 'wiper' kereta terletak diatas meja. Tertanya-tanya apa gunanya. Tiba-tiba tuan gerai menyapu meja dengan 'wiper' tersebut. Cepat dan bersih tugasnya.


Kalaulah manusia mengambil iktibar dari cerita "wiper" ini, tentulah kehidupan kita lebih bermakna. Walaupun sudah berumur lanjut tapi masih boleh menyumbang kepada manusia.


Orang-orang 'lama' kita sepatutnya menyertai kumpulan NGO untuk memberi sumbangan kepada masyarakat. Boleh juga menganggotai kumpulan menyelamatkan binatang seperti "PAWS" atau "SPCA". Boleh juga memberi tusyen kepada anak-anak. Mengajar 'first aid' atau apa-apa ilmu kepada orang ramai.


Kalau tidak mahu menganggotai NGO, boleh buat sendiri-sendiri seperti membersih masjid dan surau. Yang mustahaknya, kita mesti mengisi masa lapang sebaik mungkin. Maklumlah, sabda Rasululllah S.A.W yang bermaksud lebih kurang begini, hanya tiga perkara yang akan kita bawa ke akhirat nanti :

1. Sedekah jariah

2. Ilmu berguna yang kita ajarkan

3. Doa anak yang soleh

Kalau kita fokuskan amalan-amalan kita kearah tiga ini, Insya-Allah saat-saat akhir hidup kita akan lebih bermakna walaupun sudah tidak glamour seperti dulu lagi.


Allah itu maha kaya. Segala perbuatan baik kita akan dihargai. Walupun setakat menghidang air dijamuan-jamuan di masjid dan surau. Walaupun setakat menyusun kasut-kasut jemaah, walaupun mengutip daun berterbangan di karpet masjid. Walaupun setakat senyum kepada sahabat. Yang penting sentiasalah membuat kebajikan sebelum kita disimpan.

Sunday, February 21, 2010

SIRAM AKIDAH DAN AMALAN ANAK-ANAK KITA


Pagi tadi sesudah tukar batang cangkul yang baru, seronok betul mengubah landskap di depan surau tu. Tapi sebab tanah yang ditanam rumput itu curam, kejap-kejap rumput yang baru ditanam tu melongsor. Terpaksalah kepingan rumput-rumput itu dipakukan tanah dengan kayu supaya tidak melongsor lagi. Kemudian disiram pula dengan harapan akarnya tumbuh segera.

Begitulah dengan anak-anak atau orang dewasa yang berperangai macam anak-anak. Sebelum keyakinan mereka kepada Islam mantap, sebelum amalan mereka berterusan, kita mesti memujuk, memupuk, dan menggalakkan mereka. Disiram pula dengan kata-kata nasihat dan sedikit puji-pujian. Mudah-mudahan mereka akan mantap dengan akidah Islam dan istiqamah dengan amalan dan ibadah mereka. Insya-Allah.

Saturday, February 20, 2010

TIADA TUAN, SIAPALAH SAYA?


Pagi semalam,terlalu seronok mencangkul di surau hinggakan batang cangkul patah. Malangnya bila batang cangkul dah patah, mata cangkul yang diperbuat dari besi itu tidak boleh digunakan. Jadi besi yang kuat itupun tidak boleh digunakan kalau batang cangkul yang diperbuat dari kayu itu sudah patah.

Begitulah kita didunia ini, . Kalau kita kaya, jangan pandang rendah kepada orang miskin. Jika kita berpelajaran, jangan pandang rendah kepada mereka yang tidak berpendidikan. Kalau kita tidak dikurniakan oleh Allah kecantikan, jangan sisihkan mereka yang tidak "berupa" pula.

Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semua dijadikan bersebab dan dan memerlukan antara satu sama yang lain. Ada kawan saya yang banyak pengalaman kereta rosak di perjalanan, kebanyakan yang berhenti membantu adalah mereka-mereka yang menaiki motorsikal dan berbasikal. Yang berkereta besar terlalu sibuk atau berasa takut untuk berhenti. Ada juga orang-orang yang berpelajaran yang tak pernah senyum kepada mereka yang kononnya "berstatus" rendah, akhirnya memerlukan buruh-buruh itu menguburkan mereka yang "berstatus" tinggi.

Begitu juga ramai dari mereka yang cantik-cantik mencebur kedalam kancah dosa-dosa. atau bekerja dengan professor yang tidak halal rezekinya.

Sebab itu, Allah ada mengatakan, kadang-kadang perkara yang kita sangkakan baik untuk kita tapi tidak baik untuk kita dan sebaliknya. Ingatlah kita didunia ini memerlukan antara satu dengan lain. Oleh itu, kita semua perlu saling hormat-menghormati antara satu dengan lain. Terima Kasih.

Friday, February 19, 2010

YANG TERTUTUP LEBIH MAHAL

Kelmarin isteri saya membeli sekotak teh berharga RM10.00 mengandungi 100 uncang teh kecil. Sebulan lalu pula saya membeli sekotak teh yang berjenama sama, harga sama tetapi mengandungi 50 uncang sahaja. Mengapa? Saya tertipu ke? Sesudah diselidik , rupa-rupanya teh yang mengandungi 50 uncang kecil itu dibalut dengan sarung plastik supaya tetap bersih dan tidak tercemar walaupun dengan debu yang halus.
Rupa-rupanya sesiapa yang mengikuti spesifikasi kesihatan sedunia akan tinggi harga pasarannya sebab ia terhindar dari macam-macam pencemaran.

Begitu juga kita sebagai hamba Allah. Jika Allah mengarahkan kita menutup aurat, mesti ada hikmahnya, lagipun itu perintah dari Allah, kita tidak sepatutnya membantah atau nak mencari justifakasi untuk mengikut perintah Allah.

Kalau aurat perempuan, banyaklah yang menjadi aman...Lelaki tidak akan terganggu dengan rambut yang ikal mayang. Perempuan dengan rambut yang beruban atau jarang pula tidak akan menjadi ejekan, dan tidak akan menimbulkan fitnah. Yang berkelumumur pula tak payahlah terasa tidak selesa bila berhadapan dengan orang ramai.

Yang sakit pula, tak payahlah tunggu kepala jadi botak baru bertudung. Jadi, kalau nak jaga kesihatan, makanan mesti dibalut dan dibungkus, Nak jaga keimanan aurat mesti ditutup dan dikawal.

Wednesday, February 17, 2010

SUDAH SEMBAHYANG MAGRIB? KATA AH CHONG

Sebelum Magrib tadi saya dan beberapa orang kawan pergi meraikan seorang kenalan Cina yang bukan Islam. Dia datang dari Batu Kurau Taiping Perak, dan kami berjanji berjumpa diKelang. Sebelum berjumpa dia mengingatkan kalau tak sempat sembahyang Magrib tak apalah, jumpa esok saja.

Dia seorang bukan Islam mengingatkan kita tentang solat Magrib. Dia juga semasa bersama saya diwaktu Magrib diTaiping suatu hari dulu menyuruh saya solat Magrib , dia boleh tunggu diluar masjid katanya. Mudah-mudahan Allah akan memberi hidayah kepadanya.

Tetapi yang sedihnya , ada orang-orang Islam yang tak tahu atau buat-buat tak tahu bila masuk waktu solat. Di shopping complex , dipasar malam , dikedai-kedai makan dan dimerata tempat.

Ada juga semasa mesyuarat-mesyuarat waktu solat berlalu begitu sahaja. Apa dah jadi kepada penganut Islam zaman ini ?

Monday, February 15, 2010

BUANG BAYI


Hari-hari kita mendengar orang buang bayi . Ada yang dah meninggal dan ada yang dijumpai masih hidup. Dengar pun ngeri, kalau tengok gambar lagi ngeri. Kalau tengok betul-betul , tak tahu nak cakap lagi menggerunkan. Siapa nak disalahkan , kita semua agaknya.

Hari ini banyak sekali saya terjumpa gambar bayi dibuang merata-rata. Gambar bayi dikotak-kotak rokok , yang memeranjatkan lagi saya pernah meminta kotak rokok yang dah kosong untuk menyimpan gambar bayi-bayi tersebut. Kawan itu terkejut kerana tidak mengetahui gambar-gambar begitu telah diletakkan dikotak rokok. Begitulah masyarakat yang tidak peduli . Tidak kisah apa yang disedut dan dimakan. Tidak kisah membuang gambar bayi dan sampah merata-rata , dan akhirnya tidak rasa bersalah membuang bayi sendiri.

Sebenarnya manusia sudah tidak kisah walaupun MEMBUNUH . Sama- samalah kita peduli kepada masyarakat yang tidak peduli ini.

Budak main kejar-kejar

Kejar-kejar dekat pokok

Budak belum habis belajar

Dah pandai hisap rokok

Malam-malam pasang lilin

Lilin dipasang tepi perigi

Walau remaja belum kahwin

Sudah dapat seorang bayi

Bila remaja dapat bayi

Muka malu tidak terkira

Terus remaja nekad dihati

Buang saja merata-rata

Saturday, February 13, 2010

INGAT

Tiga minggu sudah saya ternampak satu poster kecil di bilik study seorang pelajar. Poster itu ringkas tapi mempunyai makna yang mendalam . Kita renung bersama.

I- INSAF
INGAT - INGAT ALLAH
INGAT - NIKMAT ALLAH
INGAT - SEKSA NERAKA
INGAT - AMANAH ALLAH
INGAT - FALSAFAH HIDUP

Jadi maksudnya , kalau kita selalu ingat perkara -perkara diatas . InsyaAllah kita akan selamat didunia dan akhirat.

Friday, February 12, 2010

MUSANG BERBULU MUSANG


Malam Sabtu lalu saya balik lewat ke rumah . Setiba di kawasan SS14/8 saya ternampak satu ekor musang besar melintas jalan. Sebelum itu dalam sebulan lalu, balik dari solat Isyak saya terserempak dengan seekor ibu musang membawa empat ekor anak-anaknya melintas jalan SS18/3 . Sebelum itu saya juga pernah terserempak dengan beberapa ekor musang disana sini di Subang Jaya. '
Persoalannya disini bagaimana musang musang ini boleh 'SURVIVE' di Subang Jaya walaupun bandar ini sudah di bangunkan lebih dari 30 tahun, masih mengekalkan identiti musang . Masih memakan buah atau makan binatang kecil seperti tikus dan lain-lain.
Yang nak diceritakan disini ada segelintir anak-anak Islam kita bila pergi belajar atau bekerja diluar negara sudah terpengaruh dengan cara hidup negara-negara yang didudukinya. Malang lagi ada yang menukar cara makan minum mereka hingga sudah tidak ada beza diantara yang halal dan yang haram.
Lebih memeranjatkan lagi ada anak-anak orang Islam kita yang hijrah dari kampung kebandar-bandar diMalaysia , telah terjebak dengan 'CULTURE SHOCK' . Berubah sama sekali, yang lelakinya seolah -olah lupa daratan , yang perempuannya mendedahkan aurat dan berpakaian ketat macam sarung nangka dikampung dulu. Senang sangat terikut -ikut dengan keadaan negatif disekeliling.
Ada yang bersekedudukan lelaki dan perempuan . Maka lahirlah anak haram yang dicampakkan didepan mesjid dan surau. Dosa tidak boleh terampun dengan membuang bayi didepan mesjid , tapi datanglah kemesjid bertaubat , dan mencari titik perubahan.
Dulu kita mengata musang berbulu ayam, rupa-rupanya musang lah yang mempunyai jati diri yang kuat , walau dimana dia berada.

Thursday, February 11, 2010

PONDOK IDAMAN

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Adnan dari Kapit Sarawak yang sudi menjadi pengikut blog saya. Saya juga berasa malu kerana Ustaz lebih banyak mengetahui selok belok ugama . Walau bagaimanapun , bila bercakap tentang Sarawak , saya teringat tentang dua lawatan saya ke Kampung Budaya Sarawak.
Untuk mereka yang belum ke Kampung Budaya Sarawak ini , eloklah cuba melawat jika ada peluang. Kampung Budaya ini terletak dikawasan yang di kelilingi oleh kawasan yang menghijau dan dilatar belakangi oleh Gunung Sentubung. Diantara rumah rumah yang bereka bentuk tiap tiap suku kaum dari Sarawak , terdapat juga kolam kolam yang menambah seri lagi Kampung Budaya tersebut.

Kemuncak kepada lawatan tersebut ialah lawatan ke Dewan Kebudayaan dimana pertunjukan kebudayaan diadakan setiap beberapa jam . Persembahan diadakan begitu teliti hinggakan sumpitan kearah belon tepat mengenai sasarannya.

Disini saya ingin mengajak pembaca , terutama yang kaya kaya , kerajaan negeri , kerajaan Malaysia atau mana mana orang yang ada duit lebih , untuk merenung satu projek PONDOK IDAMAN yang mudah mudahan akan terbina satu hari kelak.

PONDOK IDAMAN ini ialah pusat pengajian Islam yang dibina ala tarikan pelancung . Bangunannya dibina ditempat yang indah , mengandungi senibina dari berbagai latar belakang . Penuntutnya diajar dari bergabai bahasa dan terbuka kepada pelbagai bangsa dan dari pelbagai negara.

Didewan khas diadakan pidato dan pertunjukan kesenian Islam, bukan saja saja nak tunjuk, tapi ia nya bermotifkan dakwah dan tarikan untuk mengetahui Islam lebih mendalam lagi.Ada juga mini muzium , dan sejarah sejarah berkaitan Islam . Ringkasnya, keindahan PONDOK IDAMAN akan dapat membayangkan keindahan Islam itu sendiri.

Konsepnya sama dengan Kampung Budaya Sarawak, cuma pengisiannya adalah Islam dan dakwah yang terbuka kepada semua pengunjung dari dalam dan luar negara.

Wednesday, February 10, 2010

RUANG PAHALA DI MANA MANA


Petang tadi , lebih kurang jam 6 petang terpaksa pergi ke supermarket lagi , nak beli barang barang untuk anak . Letak kereta di tingkat atas , nak beli barang di 'lower ground' , sambil turun kebawah nampak ruang berniaga penuh merata rata , dikiri dan di kanan , di ruang ruang pejalan kaki , diatas dan dibawah hinggalah di parking lot pun ada kedai tayar dan lain lain. Matlamat tak lain tak bukan nak cari rezeki .Baguslah niat itu.

Tapi ada peluang yang boleh dibuat di merata-rata tempat , peluang nak buat pahala . Dirumah sambil duduk-duduk boleh berzikir . Bangun malam 'call' sahabat , saudara mara untuk solat malam. Sambil memandu , boleh beri jalan kepada orang lain dulu . Senyum pada orang orang tertentu. Tolong orang menyeberang jalan . Bantu orang orang buta . Ajak orang ke mesjid . Beri nasihat pada anak- anak muda dan banyak lagi.

Dunia ini seolah -olah satu 'Hypermarket ' untuk membuat pahala yang Allah sediakan untuk kita umat Islam , sama ada nak buat atau tidak saja. Kita sebagai orang yang Allah berikan hidayah , mestilah mengambil peluang ini secepat mungkin. Hinggakan kalau tuan dan puan sampaikan cerita ini kepada kawan kawan pun Allah akan beri ganjaran . InsyaAllah ....Apa lagi sampaikanlah.

Tuesday, February 9, 2010

MELEPASI KAUNTER AKHIRAT

Pagi tadi pergi hantar isteri beli barang barang dapur di sebuah supermarket. Semasa berbaris nak bayar , kata isteri saya , orang dihadapannya membayar dengan credit card , malangnya tak diterima kerana sesuatu sebab. Malangnya lagi dia pun tak ada wang tunai , jadi terpaksalah tinggalkan saja barang barang itu dan balik dengan tangan kosong .
Balik rumah mungkin dikeluarkan wang dari bank , atau minta isterinya atau ambil dari berbagai sumber lain.

Tapi cuba kita bayangkan kalau diakhirat nanti semua mata wang , atau apa apa credit card tidak diterima dan tidak ada nilai lansung. Yang sah diperlakukan hanyalah pahala. Pahala lah yang menentukan sama ada kita ke syurga atau neraka ( kecuali dengan kehendak Allah ). Pahala itu pula hanya boleh didapati dengan amalan didunia.

Kalau tak dapat melepasi atau tak dapat membayar dikaunter dunia ini , banyak cara lain boleh membeli barang lagi. Tapi kalau tak lepas kaunter kiraan di akhirat amat amat buruk padahnya.

Sama samalah kita mempersiapkan mata wang diakhirat iaitu pahala , supaya kita tidak kecundang nanti.

Monday, February 8, 2010

JUMPA ANJING


Hari Sabtu lalu sesudah solat Asar saya terbaca satu iklan 'ANJING HILANG' sebelum balik dari surau. Tiba tiba saya ternampak anjing yang dimaksudkan diseberang jalan. Sesudah menalipon tuan punya anjing tersebut , saya diminta memerhatikan anjing itu supaya tidak terlepas dari pandangan. Dalam jangkamasa setengah jam tuan anjing tersebut itu pun sampai dan menangkap anjingnya yang kebetulan baru dibawa keSubang Jaya dari Damansara. Sebab itu lah anjing itu sesat.


Beberapa perkara yang saya ingin kongsi dengan pembaca disini.

1. Tuan anjing terkejut bila melihat orang yang mengambil berat tentang anjingnya ialah seorang Islam, yang berjubah pulak. Mudah mudahan dia dapat memberi satu persepsi yang lebih baik terhadap orang Islam.

2. Mereka memanggil saya kemudian dan memberitahu yang mereka tidak menjangka yang anjing itu akan ditemui. 'Kerja Tuhan' katanya. Saya mengiyakan yang segala-galanya adalah kerja tuhan didunia ini, kita hanyalah berusaha saja.

3. Mereka meminta alamat rumah saya kerana nak memberi sedikit hadiah , saya jawab "tak payahlah , kalau awak gembira , saya pun gembira" .

Pembaca tentu lebih faham , dakwah itu ada berbagai bentuk, kalau kita dapat mempamirkan keindahan Islam itu secara amali pun sudah memberi kesan kepada orang-orang yang bukan Islam.

Mudah mudahan lebih ramai diantara kita yang dapat mempamirkan keindahan Islam itu.

Sunday, February 7, 2010

Dera Suami

Melihat gambar belakang seorang suami yang lebam dipukul oleh isterinya amatlah menggerunkan. Mana mungkin seorang suami tidak sempat melarikan diri apabila didera oleh isteri, selama tujuh tahun tu. Tapi, itulah hakikatnya dengan suami malang ini. Mungkin dia begitu sabar untuk menunggu isterinya berubah.
Cuba bayangkan kalau seorang isteri membelakangi suaminya ditempat tidur pun sudah berdosa . Mengjegil mata pada suami, meninggikan suara, bermasam muka, dan banyak lagi perkara yang kita sangka kecil, tapi banyak dosanya.
Kalau puan-puan rasa suami itu boleh dibuli kerana apa-apa kekurangan padanya, ingatlah buli Allah pada puan-puan di akhirat nanti lebih dahsyat dari segala buli didunia ini. Fikir, renung, ingat dan hati-hati dengan tingkah laku kita didunia ini. Perjumpaan dengan Allah itu amat hampir.

Friday, February 5, 2010

Perjalanan

Hujung minggu lalu saya bersama keluarga pergi ke Ipoh untuk menghadiri satu majlis perkahwinan di Manjoi. Sebelum perjalanan saya membuat beberapa persiapan untuk memastikan kereta tidak ada masaalah dalam perjalanan. Oleh kerana tayar sudah sangat botak , saya terpaksa menukar kempat-keempat tayar. Coolant ditambah supaya engine tidak panas. Air kereta juga di tambah supaya kereta mudah dihidupkan. Oleh kerana sekarang musim hujan, wiper pun diperiksa. Begitu juga minyak hitam diperiksa. Perjalanan yang tidak begitu jauh tapi diberi perhatian yang begitu rapi.
Sifat ini memanglah baik,tapi ada satu lagi perjalanan yang begitu jauh, kalau tidak diberi perhatian akan memberi padah yang lebih teruk : Perjalanan ke AKHIRAT. Apa persiapan yang boleh disamakan dengan kereta tadi? Tayar, mungkin kita boleh samakan dengan sesuatu yang membawa hala tuju atau landasan kita didunia ini. Jadi, landasan mestilah betul. Air bateri dan bateri : sesuatu yang memberi kekuatan kepada manusia untuk beribadah. Coolant atau penyejuk radiator : mungkin kesabaran dalam kehidupan.. Engine oil : mungkin amalan yang menguatkan hati dan jiwa. Wiper: mungkin pandangan yang membezakan yang betul dan yang salah.
Walau apapun, cerita ini hanyalah untuk menarik perhatian kita untuk membuat persiapan dalam perjalanan , yang pasti ini untuk menuju akhirat. Semua kita sudah tahu akan kaedahnya, amal-amalkan sajalah kaedah itu.Semoga semua amalan kita diberkati Allah dan diterima sebagai ibadah. Amin.

Wednesday, February 3, 2010

RESIPI KEBAHAGIAAN


Sesiapa diantara kita yang todak tenteram, tidak aman, tidak bahagia, dan selalu resah, cubalah renungkan surah an-Nur ayat 31 ini; maksudnya :

Dan bertaubatlah engkau semua kepada Allah, sekelian orang mu'min, supaya semua memperoleh kebahagiaan.

Monday, February 1, 2010

ACCIDENT !


Dua malam sudah saya balik dari satu meeting , tiba-tiba tersangkut dalam jam. Tak lama kemudian saya terdengar bunyi ambulan dan kami sama-sama tiba ketempat punca jam tersebut- kemalangan jalan raya .

Orang yang terlibat dalam kemalangan itu pun diusung kedalam ambulan . Teruk nampaknya mukanya dan pucat. Entah sempat sampai ke hospital entah tidak.Kita pun begitu . Apa akan jadi esok, semua orang tak tahu. Yang mustahak semua kita mesti dalam keadaan sedia selalu.

Solat di segerakan . Tanggung jawab dilaksanakan . Hutang piutang diwasiatkan . Zikir dibaca selalu. Tugasan agama selalu dibereskan . Mudah mudahan bila Allah memanggil kita kembali taklah banyak perlu dijawab . InsyaAllah.

Saturday, January 30, 2010

TAKUT ?


Semasa melihat-lihat kalendar motivasi yang dibeli anak baru-baru ini , saya terlihat pada motivasi bulan Ogos berbunyi "buat satu perkara yang MENAKUTKAN anda setiap hari . Maksudnya saya rasa , kalau kita takut sesuatu , cuba atasi ketakutan itu dengan melakukannya.

Dulu masa anak-anak saya masih kecil , mereka selalu saya dedahkan bermain dengan cacing hingga mereka tidak takut dengan cacing lagi . Begitulah dengan benda -benda atau perbuatan perbuatan yang lain .

Dalam kontek ibadah dan tuntutan tuntutan Allah yang lain pula , memang banyak perkara yang menakutkan orang-orang Islam. Menutup aurat umpamanya . Malam ini kita cuba-cuba memakai tudung, esok terus pakai tudung bila keluar rumah .InsyaAllah pakaian menutup aurat itu tidak akan MENAKUTKAN lagi.

Kalau takut sangat dengan solat berjemaah kesurau dan mesjid, cuba pergi malam ini. Walaupun ramai yang tak dikenali dimesjid, pasti ada yang senyum dan menegur anda. Pergilah, jangan TAKUT lagi.

Begitulah dengan perbuatan -perbuatan yang menakutkan anda yang lain, kita cuma takut dalam perasaan sahaja, kalau cuba lakukan sekali , perbuatan itu tidak akan menakutkan lagi.

Satu perkara yang menakutkan dan yang malas untuk saya lakukan ialah solat malam.Apa kata malam ini tuan-tuan tolong saya dengan kita ramai-ramai bangun solat malam, mudah-mudahan satu hari nanti kita akan biasa solat malam dan tak TAKUT TAKUT lagi. Malam ini tau !

Friday, January 29, 2010

BACA !

Membaca memanglah amalan mulia . Al-Qur'an suruh kita membaca. Guru suruh kita membaca. Mak ayah lagi teruk, terpaksa membebel suruh anak-anak membaca . Susah, tapi kita semua kena ajak jugalah semua membaca.
Yang hairannya orang luar negara pula amat suka membaca .Dalam tren membaca .Dalam bas membaca . Dalam kapal terbang membaca, malah ada yang membaca sampai ke jamban . Jangan ada budak-budak kita yang terlalu rajin pulak sampai bawa Qur'an ke jamban.

Baru-baru ini saya berkunjung ke Perpustakaan Selangor dan terbaca satu sajak yang menggalakkkan anak-anak membaca. Kita perhatikan bersama kalau-kalau ia boleh dimanafaatkan bersama.

Bacalah
Suara itu bergema lagi
Kesedaran serasa terpanggil
menyentuh rimbarasa mereka yang menghayati
kenikmatan membaca
Anak-anakmu
bakal mewarisi cakerawala ini
berikan mereka buku selain susu
Warnakan hidupnya
dengan budaya tulis baca
terbinalah istana minda
seluruh jagatraya akan sujud
mengutip mutiara gugur dikakinya

Kalau diberikan seribu mata
namun tertutup hatinya
untuk membaca
jadilah dia manusia papa
terpenjara dalam kejahilan
sepanjang usianya
Bacalah
demikian membaca itu
Sirat ilmu
Taburkan wajah bumi ini
dengan kuntum-kuntum wangi
jendela bunga akan terbuka
embaran demi lembaran risaah mengalir
mengalir sungai sungai pasrah
didasari arus kebenaran

Wednesday, January 27, 2010

MESJID KETIGA TERBESAR DIDUNIA





Hari ini saya terbaca diakhbar tentang sebuah mesjid baru yang menjadi mesjid ketiga terbesar didunia , ia itu Mesjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi United Arab Emirates. Statistic Mesjid tersebut :


Kubah - 82 buah


Bilik - 1096 buah


Permukaan 4 menara dan permukaan luaran - 115,119 sq .m


Ruang solat - 22,412 sq.m


Bilangan jemaah yang boleh ditampung - 30,000 orang




Karpet


Karpet buatan tangan yang terbesar didunia


Penenun - 1,200 orang


Jangkamasa siap - 18 bulan


Penggunaan - 38 ton bulu


Simpulan anyaman - 2.2 billion


Keluasan karpet - 5,625 sq.m


Kubah utama - 70 m tinggi


Lampu Chandelier- 15m panjang


Berat - 10 ton


Kos pembinaan - US 715 million/ RM 2.4 billion


Tapi semua fakta yang disampaikan ini hanyalah untuk renungan dan perbandingan sahaja. Alangkah baiknya kalau ada kerajaan atau Badan badan didunia ini yang sanggup membelanjakan kewangan sebanyak itu untuk urusan dan kegiatan dakwah.


Kalau dakwah dijalankan , tentulah lebih ramai orang beramal , dan barulah mesjid-mesjid didunia ini akan lebih dikunjungi oleh orang-orang yang nak bersolat dan bukan oleh pelancung sahaja.


Kalau bajet yang sebanyak itu pula digunakan untuk mengembangkan Islam ,bertambah lagilah umat Islam dan secara otomatik mereka mereka ini akan membina lebih banyak mesjid dan mungkin yang lebih besar pula.


Walau apapun yang kita bincangkan hari ini ia hanya untuk dijadikan sebagai renungan. Tiap-tiap orang yang mempunyai kuasa , mesti melaksanakan tanggung jawab masing-masing. Yang berkuasa besar , , besarlah tanggung jawab nya .Yang kaya mengikut kemampuan masing-masing.
Orang biasa mesti juga menjalankan usaha-usaha dakwah dalam bidang kemampuan masing-masing. Yang mustahak , kita mesti membelanjakan semua rezeki yang diberikan oleh Allah tanpa pembaziran dan berbelanja mengikut keutamaan . Akhir kata , jangan lupa solat berjemaah kemesjid hari ini.









Monday, January 25, 2010

KETAKWAAN ASAS PENCAPAIAN CEMERLANG

Sekembali dari sekolah kelmarin, anak mengajak saya berbincang tentang tajuk syarahannya "Ketakwaan asas pencapaian cemerlang"
Mula-mula saya menyuruh dia melihat Kamus Dewan yang memberi erti takwa sebagai "Ketaatan mengerjakan perintah Allah " . Kalau itulah asasnya kata saya tentulah semua beres.

Sebagai seorang penuntut Ayuni mesti mengikut semua arahan Allah , diantaranya taat kepada ibu bapa , dan hormati guru-guru. Betulkan hubungan dengan Allah dan betulkan hubungan dengan manusia .
Jangan terlibat dengan perkara -perkara terlarang dan sentiasa mengajak kawan-kawan kepada kebaikan . Dan melarang mereka-mereka yang dalam bidang kuasa Ayuni kepada kebaikan. Kalau inilah asas kehidupan Ayuni, ayah pasti pencapaian cemerlang akan mendatang, InsyaAllah.

Bagi orang yang bekerja , berniaga atau apa-apa profesion pula jika ketakwaan diletka sebagai asas , semuanya akan cemerlang juga.Dalam urusan seharian tidak ada tipu-menipu, tidak ada sabotaj, dan perbuatan-perbuatan keji lain.

Atas dasar ketakwaan juga Islam hanya mengatur cara-cara bekerja . Umpamanya Rasullullah s.a.w. ada memberi garis panduan kepada kerja-kerja yang baik. Dalam hadis Rasullullah s.a.w yang bermaksud lebih kurang "Allah amat kasih kepada orang-orang yang apabila dia melakukan sesuatu , dia akan melakukan dengan baik dan lebih baik dari masa kesemasa. "
Kalau dalam perbincangan yang sedikit inipun kita dapat memberi gambaran bagaimana ketakwaan itu jika betul-betul dipraktikkan akan membuahkan pencapaian yang cemerlang. yang pasti segala--galanya mesti diasaskan kepada KETAKWAAN , barulah kita dapat ketawa didunia dan ketawa diakhirat. InsyaAllah .

Sunday, January 24, 2010

HARI INI SEPATUTNYA LEBIH BAIK DARI SEMALAM


Dalam satu perjalanan bersama keluarga ke Teluk Intan dua bulan yang lalu , anak-anak memilih Mesjid Kuala Selangor untuk berhenti solat. Besar , cantik dan senang parking kata mereka. Tiba-tiba sesudah solat , semua merungut. Bilik air busuk, air dah tergenang macam kolam, lampu malap, kalau ada peragut pun mungkin tak nampak, terlalu daif , tak setimpal dengan imej mesjidnya yang indah itu.
Inilah sebenarnya keadaan di kebanyakan bilik air disurau-surau dan mesjid -mesjid diseluruh Malaysia. Kunci bilik air dah tanggal , melabur pun tidak ada ketenangan . Ada setengah bilik air , najis dah kering dalam mangkuk tandas. Puntung rokok tak usah dikira lagi, bertaburan, seluar dalam pun ada yang tercicir . Berserabut !!!

Alhamdulilah , semalam dalam perjalanan keSungai besar saya berhenti lagi di Mesjid Kuala Selangor , dan terperanjat gembira melihat tandas mesjid itu sudah banyak berubah. Bilik airnya sudah kering bersih. Lampu sudah terang benderang . Tandas sudah tidak busuk lagi. Saya ucapkan tahniah kepada AJK dan pentadbiran mesjid yang sudah menaikkan taraf kebersihan mesjid ketahap yang lebih baik.

Sebenarnya kebersihan tandas adalah tanggungjawab bersama kita pengguna mesjid dengan pentadbir mesjid. Oleh kerana kita tak sempat nak sama-sama membersihkan tandas tersebut, kita gunakan tandas dengan cermat dan lepas tu , hulur-hulurlah kedalam tabung mesjid untuk nenambah kewangan membersih tandas-tandas itu. Kerjasama ini mudah-mudahan dapat mengubah imej mesjid dan mengembalikan imej orang Islam diMalaysia.

Saturday, January 23, 2010

'SPECIAL OFFER'

Malam tadi balik dari meeting dengarnya ada offer makan disebuah hotel di Shah Alam , kuew teow rm 1.99 dan teh tarik 99 sen . Saya dan kawan-kawan menuju ke hotel tersebut dengan harapan dapat jimat duit sikit , maklumlah zaman ekonomi merudum ini , sesampai disana nampak ramai orang yang keluar hotel dengan hampa, katanya char kue teow dah habis, kami pun turut balik seperti dalam cerita "lebai malang"

Apa yang saya nak ajak kita merenung hari ini ialah banyak "special offer" lagi yang manusia tak ambil kisah. Offer ini kalau dikejar mempunyai nilai lebih tinggi dari char kuew teow atau apa-apa makanan didunia ini.

Offer itu ialah amalan-amalan dalam agama Islam kita. Masa duduk-duduk termenung umpamanya kita boleh berzikir tanpa modal, menolong orang buta menyeberang jalan , mengutip duri , paku atau apa-apa gangguan dijalan, memberi senyuman dan banyak perkara-perkara lain yang kita rasa kecil tapi mempunyai nilai pahala yang tinggi di sisi Allah.

Saya selalu terdengar satu riwayat dimana seorang sahabat menyesal kerana tidak melakukan sesuatu dengan banyak didunia. Sedang nazak sahabat itu berkata "Alangkah baiknya kalau jauh, alangkah baiknya kalau semua dan alangkah baiknya kalau baru " . Apabila ditanya kepada Rasulullah s.a.w , baginda menceritakan apa yang berlaku .
Semasa nazak , sahabat itu telah dibayangkan pahala-pahala yang beliau telah lakukan dalam hidupnya . Satu hari beliau pernah menunjukkan jalan kepada seorang yang datang berziarah , perjalanan begitu dekat , tetapi pahalanya begitu besar. Itulah sebabnya sahabat yang nazak itu mengatakan alangkah baiknya kalau jauh. Sahabat itu pernah bersedekah separuh roti, dan terkejut melihat pahala yang banyak bagi separuh roti, beliau terus mengeluh alangkah baiknya kalau semua . Begitulah dengan baju terpakai ( second hand ) yang disedekahkan sahabat itu begitu besar nilainya disisis Allah hingga dia mengatakan alangkah baiknya kalau dia berikan baju baru.

Begitulah , banyak lagi 'special offer' yang kita patut rebut bersungguh-sungguh. Walaupun banyak orang yang tidak nampak sangat nilainya disisi Allah. Cerita kita hari ini adalah cerita biasa, kalau kita dah beramal , tambahkan amalan , ajak orang lain untuk beramal sama.

Friday, January 22, 2010

GANGGUAN SYAITAN

Tadi saya pergi solat Jumaat di Masjid Abu Bakar di SS19 Subang Jaya. Sebelum solat ada kuliah pendek dan Imam tadi berbicara tentang dua cara syaitan menganggu manusia.

Pertama bagi orang yang meringan-ringankan ibadat, syaitan akan meransang orang seperti ini supaya lebih relax lagi hingga terlepas ibadat, sama ada solat , zakat atau ibadat-ibadat lain.

Bagi mereka yang terlalu serious dengan ibadat pula, syaitan menggangu dengan cara lain. Umpamanya kalau seseorang terlebih teliti tentang mengangkat takbir , syaitan akan menggangu hingga dia was-was.

Bagi yang terlalu teliti mengambil wuduk pula , akan diganggu hingga basah seluruh tubuh. Begitu juga ibadat-ibadat lain yang banyak di manipulasi oleh syaitan.

Tentang impian dunia pula, Imam memperingatkan jemaah supaya berpada-pada. Kalau rumah besar yang diidamkan , ia mungkin hancur bila ditimpa bencana. Kalau wanita cantik yang diimpikan ia mungkin akan meninggal dan begitulah dengan impian -impian dunia yang lain.
Jadi Imam mengajak kita membuat impian , cita-cita yang lebih besar ia itu syurga dan pertemuan dengan Allah. Jika ini yang dikejar , pasti , walau apapun yang terjadi , impian itu tetap akan tercapai. InsyaAllah . AWAS TIPU DAYA SYAITAN. AWAS TIPU DAYA DUNIA.