Tuesday, March 29, 2011

GAGAK BERZIKIR.

Ajaran Islam memberitahu kita yang binatang-binatang juga berzikir mengingati Allah. Kalau kita dapat mendengar betapa banyak mereka berzikir dan kadang-kadang berdoa untuk kita, tentulah kita akan cepat insaf dan memperbaiki amalan kita,. Tapi dengan kuasa Allah, kita kadang-kadang ditunjukkan benda-benda yang pelik. Perkara ini bukanlah untuk ditonton dengan perasaan hairan dan mempesona sahaja, tapi tontonlah dengan keinsafan, dan mengambil iktibar darinya. Video berikut umpamanya menunjukkan seekor gagak menyebut ALLAH, ALLAH, ALLAH.. Berapa banyak pula kita menyebut nama Allah dalam sehari semalam?

Saturday, March 26, 2011

MENGAPA BERTUDUNG?

Kita telah banyak mendengar hujah-hujah mengapa orang-orang perempuan wajib memakai tudung. Ada hujah dari Al-Quran, Hadith, ulama' dan lain-lain. Tapi baru-baru ini, saya ternampak perbualan dua wanita moden yang berhujah mengapa wanita mesti bertudung dan seorang lagi berhujah tidak mahu memakai tudung. Dalam pertukaran pendapat yang petah dan hebat ini, banyak yang saya dapat pelajari dan saya ingin berkongsi dengan penonton semua. Silakan menonton.



Thursday, March 24, 2011

PERTAHANKAN KEBENARAN.


Kira-kira 40km dari New York baru-baru ini ada satu rompakan bersenjata di City Bank. Walaupun kerani kewangan tersebut yang hanyalah seorang wanita, dia tetap berani mempertahankan wang dalam jagaan beliau. Wang yang dipertahankan beliau itu bukanlah wang miliknya dan dia berhadapan dengan ancaman dibunuh. Namun demikian dia sanggup mempertahankan hak dan kebenaran walaupun berdepan dengan risiko dibunuh.

Macam mana pula dengan ibu bapa zaman sekarang? Anak tidak menutup aurat. Anak keluar dengan boya (boyfriend), dan gila (girlfriend). Anak-anak merempit, anak-anak tidak solat dan banyak perbuatan yang tidak berfaedah dan melanggar hukum-hukum agama.

Persoalannya mengapakah ada ibu bapa yang tak sanggup mengatakan TIDAK terhadap perbuatan anak-anak mereka. Kalau dikatakan tidak pun, anak-anak itu tidak akan sampai ke tahap membunuh ibu bapa mereka. Anak-anak tersebut tidak akan memukul ibu bapa mereka. Paling teruk mereka cuma bermasam muka sahaja. Tetapi kalau anak-anak dibiarkan melakukan dosa dan kebatilan, risikonya lebih teruk dari dibunuh. Ibu bapa akan dipersoalkan oleh Allah dan anak-anak akan diseksa di api neraka jika tidak bertaubat. Kalau kerani kewangan tadi sanggup menyabung nyawa untuk mempertahankan harta majikannya, mengapa kita tidak sanggup mengatakan tidak kepada kebatilan anak-anak dan keluarga kita yang risikonya berganda-ganda dari tembakan sepucuk pistol. KATAKAN TIDAK KEPADA KEMUNGKARAN.

Thursday, March 10, 2011

THE END.

MAUT adalah satu kepastian. Tidak akan datang satu saat awal atau satu saat lewat. Tidak dapat dipastikan bagaimana pula kita akan mati. Oleh kerana itu, maka amat mustahak bagi kita supaya sentiasa dalam keadaan beramal baik supaya nyawa kita dicabut semasa kita dalam keadaan baik.

Berikut adalah satu video bagaimana seorang telah meninggal sewaktu beliau menyampaikan ceramah agama. Selamat menonton dan selamat mengambil iktibar dari kejadian berikut.


TINTED GLASS


Selalu bila saya memandu saya ternampak kereta-kereta yang menggunakan cermin yang amat gelap, "TINTED GLASS". Tak nampak langsung apa yang berlaku atau siapa di dalam kereta tersebut. Kalau di dalam kereta itu orang jahat, kita tak tahu. Kalau di dalam kereta itu kawan kita pun kita tak tahu. Yang pasti orang dalam kereta tersebut pasti nampak kita yang di luar ini, kalau tidak macam mana mereka boleh memandu dengan selamat.

Teringat saya tentang alam malaikat dan alam manusia. Malaikat boleh melihat kita. Malaikat yang mencatitkan kebaikan dan keburukan manusia hari-hari, malah setiap saat memerhatikan kita untuk direkodkan amalan di bahu kanan dan kiri. Kalau manusia banyak solat malam, malaikat tidak pernah tertidur untuk mencatit kebaikan mereka. Bangun subuh pula malaikat masih mencatit semua tingkah laku manusia. Seterusnya semua perbuatan yang manusia lain tidak nampak, pasti dicatit juga oleh malaikat. Tiada jalan untuk melepaskan diri dari pandangan dan perkiraan malaikat. Kalau dunia manusia dan dunia malaikat itu tidak di"tinted", tentulah cara hidup kita lain dari yang kita lakukan sekarang ini.

Yang dahsyat lagi ialah kita tidak dapat juga melihat malaikat maut. Mungkin malaikat maut itu sudah datang berkali-kali memberi peringatan yang dia akan mencabut nyawa kita, malangnya kita tidak perasan. Mungkinkah tahun depan, bulan depan, atau esok nyawa kita akan di cabut. Atau tak sempat cerita ini habis di baca nyawa kita sudah dicabut.

Kita memang yakin terhadap alam malaikat tapi janganlah tunggu Allah membuka "tinted" di antara kita dan malaikat baru kita nak beribadah, kerana pada masa itu semuanya sudah terlambat. Tingkatkan amalan kita sekarang juga.

Wednesday, March 9, 2011

AHMAD DEEDAT JAWAB SOALAN WANITA KRISTIAN

Seorang wanita kristian bertanyakan AHMAD DEEDAT berkenaan pemakaian purdah kepada wanita Islam. Jawapan diberi sungguh menarik dan mudah difahami. Kita tonton bersama.

SYARAHAN.


Semalam terjumpa satu syarahan oleh penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan. Rasanya sebagai bahan bacaan ringan elok kita teliti bersama syarahan tersebut. Yang baik kita ambil sebagai pengajaran.

Assalamualaikum w.b.t saudara pengerusi majlis, para hakim yang bijaksana, seterusnya saudara dan saudari yang dikasihi sekalian.

Dalam zaman kegawatan institusi kekeluargaan sekarang ini, saya memilih tajuk “Pendidikan Al-Quran membina keluarga sejahtera”. Mudah-mudahan ini dapat sedikit sebanyak memberi manfaat kepada kita semua.

Al-Quran seperti kita semua ketahui ialah kitab suci kita, orang-orang Islam. Sejahtera pula mengikut Kamus Dewan bermaksud aman, senang, tenteram, dan terpelihara dari kesusahan. Jadi mari kita lihat satu persatu bagaimana pendidikan Al-Quran ini boleh membina keluarga yang bahagia.

Hadirin hadirat yang dikasihi sekalian.

Cara anak-anak berkelakuan kepada ibu bapa jelas diterangkan dalam surah Isra’ ayat 23. Sebahagiannya bermaksud... “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada dua ibu bapa” , kemudian dalam ayat yang sama mengatakan... “Dan janganlah kamu berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan ah” , dan “Janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang kasar”. Kalau macam inilah saranan-saranan dari Al-Quran, mana mungkin ada anak-anak yang derhaka jika ajaran Al-Quran tersebut dipatuhi.

Bagi masalah anak-anak haram yang dibuang merata tong sampah pula hadirin dan hadirat sekalian, Al-Quran telah memberi peringatan 1400 tahun dahulu dalam ayat 32 surah Isra’ juga, Allah mengatakan... “Dan janganlah kamu hampiri zina, sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat”. Inilah pendinding dan formula terhadap kesejahteraan keluarga.

Cikgu-cikgu dan kawan-kawan yang dikasihi sekalian.

Ibu bapa pula tidak terlepas dari tanggungjawab. Mereka diingatkan Allah dalam Al-Quran dalam surah At-Tahrim ayat 6 bermaksud “Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya : Manusia dan batu berhala. Alangkah sejahteranya satu-satu keluarga itu kalau semua pendidikan Al-Quran dipatuhi sepenuhnya.

Para hadirin sekalian, contoh yang saya berikan tadi hanyalah sekelumit dari petunjuk yang besar di dalam Al-Quran yang boleh kita jadikan pedoman untuk kesejahteraan keluarga.

Secara sinis ada orang bertanya, “Adakah cara membuat roti canai ditunjukkan dalam Al-Quran?” . Jawabnya ada. Dalam juzu’ ke 14 ada ayat yang mengatakan lebih kurang maksudnya “ Bertanyalah kamu kepada yang tahu tentang apa-apa yang kamu tidak tahu.” Ini menunjukkan kaedah untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi manusia. Ini menunjukkan semua persoalan terdapat di dalam kitab suci Al-Quran termasuklah isu-isu besar seperti kesejahteraan keluarga.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Saya akhiri syarahan saya hari ini dengan serangkap pantun :

Jangan sesat semasa kembara,

Guna peta petunjuk jalan,

Kalau keluarga nak jadi sejahtera,

Kembalilah kita kepada Al-Quran.

Sekian, Assalamualaikum w.b.t