Wednesday, March 9, 2011

SYARAHAN.


Semalam terjumpa satu syarahan oleh penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan. Rasanya sebagai bahan bacaan ringan elok kita teliti bersama syarahan tersebut. Yang baik kita ambil sebagai pengajaran.

Assalamualaikum w.b.t saudara pengerusi majlis, para hakim yang bijaksana, seterusnya saudara dan saudari yang dikasihi sekalian.

Dalam zaman kegawatan institusi kekeluargaan sekarang ini, saya memilih tajuk “Pendidikan Al-Quran membina keluarga sejahtera”. Mudah-mudahan ini dapat sedikit sebanyak memberi manfaat kepada kita semua.

Al-Quran seperti kita semua ketahui ialah kitab suci kita, orang-orang Islam. Sejahtera pula mengikut Kamus Dewan bermaksud aman, senang, tenteram, dan terpelihara dari kesusahan. Jadi mari kita lihat satu persatu bagaimana pendidikan Al-Quran ini boleh membina keluarga yang bahagia.

Hadirin hadirat yang dikasihi sekalian.

Cara anak-anak berkelakuan kepada ibu bapa jelas diterangkan dalam surah Isra’ ayat 23. Sebahagiannya bermaksud... “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada dua ibu bapa” , kemudian dalam ayat yang sama mengatakan... “Dan janganlah kamu berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan ah” , dan “Janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang kasar”. Kalau macam inilah saranan-saranan dari Al-Quran, mana mungkin ada anak-anak yang derhaka jika ajaran Al-Quran tersebut dipatuhi.

Bagi masalah anak-anak haram yang dibuang merata tong sampah pula hadirin dan hadirat sekalian, Al-Quran telah memberi peringatan 1400 tahun dahulu dalam ayat 32 surah Isra’ juga, Allah mengatakan... “Dan janganlah kamu hampiri zina, sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat”. Inilah pendinding dan formula terhadap kesejahteraan keluarga.

Cikgu-cikgu dan kawan-kawan yang dikasihi sekalian.

Ibu bapa pula tidak terlepas dari tanggungjawab. Mereka diingatkan Allah dalam Al-Quran dalam surah At-Tahrim ayat 6 bermaksud “Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya : Manusia dan batu berhala. Alangkah sejahteranya satu-satu keluarga itu kalau semua pendidikan Al-Quran dipatuhi sepenuhnya.

Para hadirin sekalian, contoh yang saya berikan tadi hanyalah sekelumit dari petunjuk yang besar di dalam Al-Quran yang boleh kita jadikan pedoman untuk kesejahteraan keluarga.

Secara sinis ada orang bertanya, “Adakah cara membuat roti canai ditunjukkan dalam Al-Quran?” . Jawabnya ada. Dalam juzu’ ke 14 ada ayat yang mengatakan lebih kurang maksudnya “ Bertanyalah kamu kepada yang tahu tentang apa-apa yang kamu tidak tahu.” Ini menunjukkan kaedah untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi manusia. Ini menunjukkan semua persoalan terdapat di dalam kitab suci Al-Quran termasuklah isu-isu besar seperti kesejahteraan keluarga.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Saya akhiri syarahan saya hari ini dengan serangkap pantun :

Jangan sesat semasa kembara,

Guna peta petunjuk jalan,

Kalau keluarga nak jadi sejahtera,

Kembalilah kita kepada Al-Quran.

Sekian, Assalamualaikum w.b.t


1 comment:

  1. bacaan yang ringan tetapi amat bermakna utk direnungkan

    tq 4 shared

    ReplyDelete