Thursday, January 7, 2010

AZAM BARU

Baru-baru ini kita dikunjungi lagi oleh dua tahun baru. Tahun baru Hijrah 1431 dan tahun baru Masihi 2010. Mahu tidak mahu kita mesti menerima hakikat yang tidak lama lagi kita akan sampai ke destinasi terakhir kita didunia ini - maut .
Ramai kawan-kawan kita telah membuat azam tahun baru dan tak tahu berapa orang pula yang telah melihat kembali mengapa azam tahun sudah tidak berjaya .Walau bagaimanapun azam yang sangat menarik hati saya ialah azam satu tunggul kayu yang saya bawa dari Sungai Besar baru-baru ini. Tunggul kayu itu yang dipotong diatas dan dibawah, saya letakkan diatas lantai yang bersimen . Tidak ada tanah, tidak berakar , tiba-tiba tunggul itu mengeluarkan daun, kemudian mengeluarkan ranting-ranting kecil. Mungkin naluri tunggul ini tahu yang dia tidak akan hidup lama . Tapi dia tidak pernah berputus asa . Tumbuh dulu , tumbuh dengan segera , sama ada boleh hidup atau tidak , itu ketentuan Allah.

Dalam mentafsir surah Al-Waqiah , seorang penceramah memberitahu saya , kalau ditakdirkan kita tahu esok akan kiamat ,dan kita seorang petani kita tidak sepatutnya berhenti bercucuk tanam . Begitulah kuatnya arahan supaya tidak berputus asa dalam kehidupan kita.


Kalau kita seorang penuntut jangan putus asa kalau gagal sekali. Jika sakit , jangan merungut bila lambat sembuh.Kalau kita pendakwah , jangan kesal bila manusia belum berubah , dan banyak contoh-contoh yang lain. Pokoknya dalam kehidupan ini kita mesti mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap pertolongan Allah dan jangan sesekali berputus asa.


Bertawakallah kepada Allah seperti dalam surah At-Thalaq ayat 3 maksudnya "Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah maka Dia pasti mencukupi untuknya " Terima kasih , selamat beramal dan sampaikan kepada keluarga, jiran dan sahabat handai kita.

No comments:

Post a Comment