Tuesday, January 12, 2010


Sebagai seorang yang suka bercucuk tanam, salah satu saat yang paling bahagia bagi saya ialah bila pokok-pokok yang ditanam hidup subur , berbunga atau berbuah.

Baru-baru ini pokok pisang "hiasan" yang saya tanam telah mengeluarkan jantung dengan warna yang sangat menarik. Tapi sayang pisang ini setakat mengeluarkan jantung sahaja , tapi tidak boleh mengeluarkan buah.

Walau bagaimanapun hidupnya pisang ini tidak sia-sia. Bila dia mengeluarkan daun-daun , ramai manusia yang dapat manafaat dari daun-daunnya. Boleh digunakan untuk membalut masakan , melapik buah-buahan , hiasan dan lain-lain. Jantungnya pula dimanafaatkan burung-burung yang meminum madunya . Warna jantung itu pula dapat menceriakan orang-orang yang memandangnya.

Kita sebagai manusia kadang-kadang mengeluh tidak boleh menyumbang kepada Islam, tidak dapat menolong manusia lain, kerana kita banyak kekurangan . Sebenarnya kita boleh buat macam-macam untuk Islam tanpa menggunakan wang ringgit. Paling mudah kita sebarkan salam. Mulai esok kita biasakanlah memberi salam dan ditambah dengan senyuman kepada orang-orang Islam. Kepada orang bukan Islam pula tunjukkanlah kelebihan ajaran Islam itu. Banyak membantu mereka, ramah, dan jadikan kita senang didampingi.

Kalau anak-anak sekolah pula tunjukkan kita ini , tidak memberi masalah kepada sekolah dan kawan-kawan. Bergiat aktif dalam kesatuan-kesatuan dan menjadi individu contoh.
Ada satu cerita di SMK Subang Jaya , seorang penuntut perempuan dari unit beruniform BSMM selalu tidak bersalaman dengan penuntut-penuntut lelaki dan perbuatan ini diperhatikan oleh seorang penuntut lelaki bukan Islam dalam kesatuannya. Satu hari apabila kesatuan mereka menerima hadiah dari seorang guru perempuan Islam dari sekolah lain , penuntut lelaki bukan Islam itu tidak bersalaman dengan guru tersebut.

Itulah perkara kecil yang boleh kita sumbangkan kepada Islam . Oleh itu kalau kita bukan seorang Ustaz , bukan orang kaya, bukan orang yang berkuasa, tapi kita masih boleh menyumbang untuk Islam dan manusia. Jadilah seperti pisang yang tidak berbuah tapi masih boleh menyumbang dengan banyak cara yang lain.

No comments:

Post a Comment