Friday, January 8, 2010

TAK DI MAKAN API

Saya jarang sekali mendengar radio, sebab tidak ada radio di rumah. Tapi bila di dalam kereta dengar juga berita ataupun rancangan lain secara rambang. Satu hari saya terdengar satu rancangan motivasi pendek dalam bahasa Inggeris yang saya rasa elok kita kongsi bersama pengajarannya.
Satu hari penyampai motivasi tersebut menziarahi sebuah rumah terbakar. Semuanya hangus. Piano yang dulunya mendendangkan lagu-lagu cuma tinggal tahi-tahi besi sahaja. Sofa yang lembut cuma tinggal "spring" sahaja. TV yang menghiburkan tuan rumah dulu cuma meninggalkan serpihan kaca bertaburan.
Tapi apabila rumah terbakar itu diselongkar lagi, dia terjumpa satu "Piggy Bank" yang diperbuat daripada tanah dan tidak hangus. Cuma sedikit tercalar di beberapa bahagian tabung tersebut. Terus pakar motivasi tersebut memberitahu kepada kawannya mengapa tabung tanah tersebut tidak terbakar. Rupa-rupanya semasa pembikinan, tabung itu telah dibakar terlebih dahulu. Jadi apabila rumah tempat tabung itu terbakar , tabung itu tidak terbakar lagi.
Jadi pengajaran yang boleh kita ambil ialah, ramai anak-anak zaman sekarang apabila mereka , terjebak dengan pelbagai gejala sosial , dadah, pergaulan bebas, merempit, mencuri, ragut dan seterusnya, seolah-olah mereka TERBAKAR dengan keadaan sekeliling.

Salah satu sebabnya ialah anak-anak tersebut semasa kecilnya tidak melalui proses pembakaran (TARBIAH) .

Tidak diajar bersusah payah. Tidak diberi disiplin supaya menghormati orang tua, keluarga, jiran, dan sahabat handai. Tidak diajar sifat-sifat murni yang lain, jadi bila masuk ke zaman remaja, mereka hangus terbakar oleh suasana keliling.

Bagi kita yang masih ada anak-anak kecil, didiklah mereka dengan nilai-nilai murni. Dedahkan mereka dengan keadaan yang serba sederhana. Jangan suap mereka dengan "Silver Spoon". Ajar mereka hormat-menghormati . Dalam kata pendek, ajarkan mereka pendidikan AGAMA ISLAM. Insya-Allah inilah kunci keamanan untuk dunia dan akhirat.


No comments:

Post a Comment