Thursday, January 14, 2010

BALIKLAH KEKAMPUNG




Semalam saya bercerita tentang keluhan seorang bapa yang saya panggil "Tok Janggut" tentang perangai anak remajanya yang hampir-hampir dijadikan pelacur. Alhamdulillah Allah selamatkan segalanya."Tok Janggut " mengeratkan semula ikatan keluarganya dengan sentiasa bersama dalam beberapa aktiviti .

Baru-baru ini saya terbaca kertas oral Bahasa Malaysia anak saya Ayuni di tingkatan empat dan agak relevan cerita percutiannya bila dia balik kekampung, kita ikuti ceritanya:-


Saya selalu bertanya kepada ayah mengapa orang kampung yang sudah berpuluh tahun tinggal dibandar masih mahu balik kekampung. Raya balik kampung , musim buah balik kampung, dan cuti sekolah balik kampung. Ayah mengatakan , "Ayuni, nanti ayah akan bawa Ayuni balik kampung dan Ayuni akan tahu jawapannya".

Suatu hari kami pun balik kekampung diGopeng Perak. Sampai dikampung, tiba-tiba sudah timbul satu ketenangan dihati dan suasana keliling sudah tidak menekan lagi. "Mengapa begini ayah?" saya bertanya "Tak nampak keliling kita ? pokok-pokok menghijau , itulah yang memberi ketenangan , dan kesejukan kepada kita ".

Seterusnya kami terpaksa menyeberang sebuah sungai yang agak lebar. Subhanallah! indahnya sungai itu. Airnya yang jernih mengalir dengan perlahan, sesekali deras bila mengaliri batu-batu besar yang menghalang arus. Percikan air itu sudah cukup untuk mengajak pengunjung turun dan bermain dengannya . Kelihatan juga pepatung mandi-mandi dan berkejar-kejaran dengan pasangannya . Budak-budak ditepi sungai memancing ikan sambil memarahi kawan-kawannya yang mandi berhampiran tempat mereka memancing . Apabila melihat burung-burung berterbangan teringatlah saya akan peribahasa yang mengatakan "Setinggi-tinggi bangau terbang akhirnya hinggap kebelakang kerbau juga" , yang maksudnya mungkin bertepatan dengan orang-orang kota yang selalu balik kekampung.

Akhirnya kami sampai kedestinasi yang terkenal di Perak dan juga di Malaysia iaitu Gua Tempurung . Kelihatan ramai pelancung dari seluruh Malaysia dan ada juga dari luar negara.

Apabila melihat kedalam Gua tempurung tersebut, kami sekeluarga terpegun melihat keagungan Allah. Stalagmit dan stalaktit itu sahaja mengambil masa berjuta tahun untuk terhasil, manusia cuma mampu melihat. Binatang-binatang di gua seperti ular, kelawar, ikan dan lain-lain hidup dengan kelompoknya tanpa manusia memberi bantuan apa-apa kecuali hanya mampu menikmati gelagatnya. Air mengalir dengan jernih, hingga boleh diminum begitu sahaja. Tiba-tiba saya nampak air mata ayah berlinang sambil memengang tangan saya mengajak balik. Berat rasa nak meninggalkan kampung, tapi semuanya sudah dirakam dalam kenangan saya . Selamat tinggal kampung , kami akan datang semula, Insyallah ...

No comments:

Post a Comment