Berat sungguh rasanya hati saya untuk menulis hari ini apabila mengenangkan betapa rakus , zalim dan tidak berhati perut spesis yang bernama manusia . pada awal tahun ini kira- kira empat belas ekor gajah dari spesis pigmy telah dijumpai mati di Sabah dipercayai diracun. Gajah Kerdil Borneo ini sudah disenaraikan sebagai binatang yang hampir pupus dan bilangannya semakin merosot hari demi hari. Gajah yang diracun itu bukan saja dijumpai mati, tetapi gadingnya telah dicuri, menunjukkan perbuatan ini seolah-olah dirancang.
Satu pemandangan yang lebih menyayat hati ditempat gajah-gajah itu mati ialah apabila seekor anak Gajah berdiri disebelah ibunya tanpa mengetahui apa yang berlaku, menangis-nangis meminta susu ibunya. Hati manusia macam mana yang sanggup melakukan semua ini.
Dalam Islam , agama yang syumul , semua makhluk dititik beratkan termasuk binatang. Kita selalu mendengar kisah ada manusia yang dimasukkan keneraka kerana menyiksa binatang, ada pelacur yang dimasukkan kesyurga kerana memberi anjing kehausan minum. Hinggakan burung yang kecil akan meminta pengadilan kepada Allah jika dia dibunuh dengan sia-sia tanpa sebab yang munasabah.
Pada kurun ke 13 , pakar perundangan Islam ketika itu telah mewujudkan ‘hak binatang’ yang dirumus dari Al Qur’an dan Sunnah Nabi Muhammad S.AW . Sekaligus membuktikan bahawa Islam menitik beratkan semua makhluk termasuk binatang:
1.Manusia mesti memberi binatang makanan dan perlindungan yang sepatutnya walaupun binatang itu sudah tua, sakit atau tidak boleh bekerja lagi.
2. Manusia tidak boleh membebankan binatang lebih dari yang mampu dibawa atau dikerjakan.
3. Manusia tidak boleh meletakkan binatang bersama binatang lain atau sejenis yang boleh meluka atau mendatangkan bahaya pada mereka.
4. Manusia mesti menyembelih binatang dengan penuh hormat.
5. Manusia hanya boleh melapah kulit atau memotong tulang binatang setelah binatang itu sudah mati
6. Manusia tidak boleh menyembelih anak binatang dihadapan atau dalam penglihatan ibunya.
7. Manusia mesti menyediakan tempat tinggal atau tempat mandi binatang dengan selesa.
8. Manusia mesti menyediakan pasangan untuk binatang pada waktu mengawan.
9. Manusia tidak boleh membuang atau membazirkan daging binatang yang diburu, dan mesti memberi perhatian dari awal supaya binatang tidak mati dengan tidak halal ( haram)
Islam itu amat indah dan sempurna hinggakan binatang pun dapat keadilan dan pembelaan jika manusia beramal dengannya sebaik mungkin. Dalam sejarah Islam umpamanya:
Anas ibn Malik menceritakan “Apabila kami tiba di tempat rehat, kami tidak akan solat, selagi barang-barang dibelakang binatang tidak diturunkan dan binatang-binatang itu dibebaskan untuk berehat”.
Abdullah ibn Mas’ud pula bercerita “Satu hari kami dalam perjalanan bersama Rasullullah S.A.W dan terjumpa seekor burung kecil bersama dua anaknya. Kami mengambil anak burung tersebut yang terus berbunyi dengan bising. Rasullullah S.A.W bertanya “Siapa yang mengambil anak burung itu , segera kembalikan ia kesarang bersama ibunya”
Begitulah seninya agama Islam . Jika burung sekecil itupun diambil kira dan diberikan haknya oleh Islam , inikan pula gajah yang besar dan hampir pupus pula. Tentulah Islam mengambil berat akan hak gajah tersebut. Yang paling utama kita mestilah mengamalkan Islam dalam diri kita , keluarga kita , masyarakat kita dan negara kita . Inshaa Allah dunia dan makhluk didalamnya akan selamat. Terima kasih.
Quote of the day
No comments:
Post a Comment