Saturday, March 30, 2013

MENUNGGU



Minggu ini ke JB lagi, sebagai teman pada seorang sahabat . Sementara dia mesyuarat saya menunggu diluar dan dapat ilham untuk menulis blog hari ini yang bertajuk ‘MENUNGGU’

Menunggu boleh menimbulkan berbagai perasaan, sedih kepada yang menunggu jenazah. Gembira kepada yang menunggu hari perkahwinan , cemas kepada yang menunggu kelahiran anak. Resah kepada yang menunggu hukuman yang akan dijatuhkan. Teruja kepada yang nak cuti keluar negara dan banyak perasaan lagi.Tetapi perkara yang paling mustahak ialah bagaimana kita menggunakan waktu semasa menunggu itu.

Kita semua sedang menunggu. Penungguan yang paling besar. Menunggu mati.selepas itu menunggu hari pengadilan dan seterusnya menunggu hari pembalasan. Adakah kita sudah terlupa yang kita sedang menunggu itu semua. Kalau ingat dan tahu yang kita sedang menunggu-Alhamdulilah.

Salah satu tempat menunggu yang merimaskan ialah semasa menunggu kitab amal saperti yang dijelaskan berikut:

“Dan pada Hari Kiamat engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut dalam keadaan cemas dan MENUNGGU panggilan , tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya serta dikatakan kepadanya: ‘Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang telah kamu kerjakan”.

Kepada manusia yang tidak yakin bahawa Allah boleh membangkitkan manusia semula, cubalah baca dan renungkan ayat dibawah:

“Apakah manusia mengira bahawa Kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya ( Bahkan) Kami mampu menyusun (kembali) jari jemarinya dengan sempurna. Tetapi manusia hendak membuat maksiat terus menerus. Dia bertanya “Bilakah hari kiamat itu?” ( Al Qiyaamah 3-5)

Pada ketika itu manusia betul-betul terperanjat dan menyesal.

“Maka apabila mata terbeliak ( ketakutan) dan bulan pun telah hilang cahayanya, lalu matahari dan bulan dikumpulkan , pada hari itu manusia berkata “kemana tempat lari” Tidak ! Tidak ada tempat berlindung ! Hanya Tuhanmu  tempat kembali pada hari itu” ( Al Qiyaamah 7-12)

Jadi janganlah kita sibuk menghitung dan tertanya-tanya tanda kiamat, kerana tanda kiamat sudah jelas. Banyakkan persiapan sambil menunggu.:

Dalam hadis  diriwayatkan Anas , bahawa seorang lelaki datang menemui Nabi s.a.w lalu dia berkata “Wahai Rasulullah s.a.w , bilakah akan berlaku hari kiamat?” jawab Baginda ; “Apakah yang sudah engkau sediakan untuk menghadapi hari kiamat ?” Jawab lelaki itu “Aku tidak bersedia menghadapinya dengan banyak melakukan sembahyang , berpuasa(puasa sunat) atau bersedekah tetapi aku amat kasih akan Allah dan Rasulnya” maka sabda Baginda : “Engkau akan bersama dengan yang engkau kasihi”.

Pilihlah orang yang dikasihi dengan betul. Jangan dipilih penghibur yang melalaikan anda semasa menunggu. Jangan dipilih ketua, bos dan pemimpin yang tidak mendatangkan manafaat semasa menunggu.Jauhi mereka yang tidak faham erti menunggu yang sebenarnya. Pilihlah Allah dan Rasulnya s.a.w. Terima kasih kerana sudi menunggu hingga ke akhir ayat.

Quote of the day

The greater the difficulty , the greater the glory


No comments:

Post a Comment