Tuesday, March 12, 2013

15 CUCUK SATE PERUT





Mahal sungguh siikan kering

Mahal lagi kelapa parut

Kalau lalu diChangkat Jering

Singgahlah makan sate perut

Begitulah bayangan dikepala saya bila menerima satu jemputan perkahwinan ke Taiping. Sate perut dijadikan agenda utama. Malangnya, kami terkejut bila kami hanya dibenarkan membeli 15 cucuk sate perut sahaja untuk dua orang. Stok perut terhad kata penjualnya. Bertambah ghairahlah nafsu makan saya bila disekat untuk makan banyak.


Sementara menunggu sate dibakar, saya merancang bagaimana nak tambah order, sama ada nak suruh isteri saya buat tempahan digerai yang sama atau kami beli digerai lain sebagai “take away” . Sambil-sambil mengatur strategi nak tambah order, sate pun sampai. Kami mulakan makan sate , makan punya makan , 15 cucuk sate perut yang diidam-idamkan sejak begitu lama tak mampu nak dihabiskan oleh dua orang.


Sabda Rasullullah s.a.w bermaksud :

“Hari kiamat telah hampir dan manusia masih lagi bertambah tamak kepada dunia dan bertambah jauh daripada Allah” ( HR Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim)
 
Begitulah realiti “dunia” kita ini. Semuanya nampak cantik . Semuanya nak dikumpul. Semua rasanya nak dimakan tapi semuanya tidak mampu dihabiskan, akhirnya terbazir sahaja. Apabila perkara yang patut kita kumpulkan , tidak kita kumpulkan , bekalan akhirat. 

Bekalan yang sepatutnya dalam agenda satu dunia untuk dibawa ke satu akhirat. Inilah sepatutnya usaha yang mesti dirancang begitu terperinci supaya dalam kehidupan yang singkat ini dapat kita mengumpul bekalan akhirat yang maksima. Bukan mengatur strategi membanyakkan order “sate perut” saperti yang saya lakukan.

Rasullullah s.a.w telah memperingatkan kita tentang sifat tamak dalam Hadisnya bermaksud:

“Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta , nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat” ((Riwayat Ahmad)

Quote of the day

As pride increases, intelligence decreases”

No comments:

Post a Comment