Thursday, September 26, 2013

SAYANG IBU ! SAYANG AYAH !




Lebih kurang seminggu yang lalu saya terjumpa seorang hamba Allah sesudah solat Magrib. Nampaknya dia macam kali pertama datang ke surau Al Hikmah . SS18 Subang Jaya dan kami terus berkenalan. Memandangkan umurnya yang agak muda, saya bertanya , “Sudah berumah tangga ke ?” Dia terus bercerita “Belum lagi. sebab tanggung jawab saya berat” katanya . “Bapa saya terlibat dalam kemalangan empat tahun yang lalu. Walau pun badannya tidak cacat , tapi pemikirannya sudah tidak berapa betul” keluhnya. “Kadang-kadang dia keluar merayau-rayau. Kadang-kadang duduk dalam tandas sampai empat jam”

Saya begitu simpati dan tersentuh mendengar cerita itu, hingga yang termampu saya katakan hanyalah meminta beliau bersabar. Diantara doa untuk ibu bapa ialah:

“Wahai Tuhan kami ! Berikanlah ampun bagiku dan kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan” (Qur’an : surah Ibrahim :41 )

“Wahai Tuhanku ! cucurilah rahmat kepada mereka kedua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil” (Qur’an : surah Al Isra :24 )

Diantara perkara-perkara yang boleh dilakukan anak-anak kepada ibu bapa yang masih hidup ialah :

1. Memberi nafkah

2. Menyediakan tempat tinggal

3. Memberi kasih sayang

4. Memberi perhatian

5. Memenuhi permintaan mereka

6. Melakukan apa yang di sukai

7. Bercakap dengan lemah lembut

8. Menghadiahkan kejayaan

9. Meluangkan masa bersama-sama

10. Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa

Kami berbual begitu lama hingga sampai waktu Isya’ . Tiba-tiba pemuda tersebut bertanya kepada saya . “Mengapa Pak Cik menangis ?” Tanpa saya sedari air mata saya menitis mengenangkan ibu dan bapa yang sudah meninggal . Saya tenangkan pemuda tersebut, “Jangan risau , saya cuma teringat ibu saya meninggal ketika saya berumur 8 tahun. Tidak ada apa-apa yang saya dapat balas jasanya. Bapa pula meninggal semasa saya baru bekerja . Tidak banyak yang saya sumbangkan membalas jasa ayah. Hanya Allah lah yang akan membalas susah payah mereka membesarkan saya”.  Kemudian kami terus solat Isya’ bersama . Terima kasih.


Quote of the day



No comments:

Post a Comment