Monday, September 30, 2013

TANGGUNG JAWAB PERGAULAN DALAM ISLAM PART 2




Al Qur’an dan Hadis Rasullullah S.A.W telah menggariskan beberapa panduan bagi kita umat Islam untuk bergaul dan berinteraksi dengan berbagai kumpulan manusia di dunia ini. Amat bermanafaat sekali jika kita dapat menyebarkan perkara ini kepada keluarga dan masyarakat keliling supaya kehidupan kita di dunia lebih bermakna dan pergaulan kita dapat di kira sebagai ibadah, In shaa Allah.

Tanggung Jawab  Pergaulan Hari Ini Ialah Bersama :

3. Kanak-kanak

Surah Al Israa’ ayat 31 bermaksud:

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan , Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar”

Maksud Hadis Rasullullah S.A.W , “Datang seorang Arab Badwi kepada Nabi S.A.W lalu berkata “Apakah kalian mencium anak laki-laki ? , kami tidak mencium mereka” Maka Nabi S.A.W berkata “Aku tidak boleh berbuat apa-apa kalau Allah mencabut rasa rahmat/sayang dari hatimu” ( HR Bukhari dan Muslim)


4. Anak Yatim dan Kanak-Kanak Melarat

Surah An Nisaa’ ayat 5 :

“ Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta ( mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu, dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu perniagakan) dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata baik.”

Surah An Nisaa’ ayat 6 :

“ Dan ujilah anak-anak yatim itu ( sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa) . Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya, dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (diantara penjaga harta anak-anak yatim itu ) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri ( dari memakannya ) , dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya.Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi ( yang menyaksikan penerimaan ) mereka . Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas ( akan segala yang kamu lakukan)”

Maksud Hadis Rasullullah S.A.W :

“Aku dan pemelihara anak yatim akan berada di syurga kelak” sambil mengisyaratkan dan merapatkan dua jari tengah dan telunjuknya. ( Hadis Riwayat Bukhari )

Selamat beramal sehingga berjumpa di siri akan datang . In shaa Allah. Terima kasih.


Quote of the day



Sunday, September 29, 2013

TANGGUNG JAWAB PERGAULAN DALAM ISLAM PART 1




Al Qur’an dan Hadis Rasullullah S.A.W telah menggariskan beberapa panduan bagi kita umat Islam untuk bergaul dan berinteraksi dengan berbagai kumpulan manusia di dunia ini. Amat bermanafaat sekali  jika kita dapat menyebarkan perkara ini kepada keluarga dan masyarakat keliling supaya kehidupan kita di dunia lebih bermakna dan pergaulan kita dapat di kira sebagai ibadah, In shaa Allah.

Di dalam beberapa siri selanjutnya kita akan kemukakan hujah Al-Qur’an dan Hadis berkaitan ‘Tanggung Jawab Pergaulan’ dengan kumpulan berikut :

1. Ibu bapa dan orang-orang tua.

2. Saudara-saudara yang rapat.

3. Kanak-kanak

4. Anak Yatim dan anak-anak melarat

5. Orang Miskin dan memerlukan.

6. Jiran

7. Suami-isteri

8. Majikan / Pekerja

9. Binatang

10. Pihak berkuasa

11. Orang-orang Islam

12. Mereka yang menyusahkan orang-orang Islam

13. Musuh

14. Bukan Islam

15. Manusia secara umum



Etika Pergaulan hari ini ia lah bersama:
 
1. IBU BAPA DAN ORANG-ORANG TUA

Surah Al Israa’ ayat 23 bermaksud :
“Dan Tuhanmu telah perintahkan , supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya , atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka ( sebarang perkataan kasar ) sekalipun perkataan itu ‘Ha” , dan janganlah engkau menengking menyergah mereka , tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia ( yang bersopan santun)”

Surah Al Israa’ ayat 24 bermaksud :
“Dan hendaklah engkau merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu , dan doakanlah ( untuk mereka dengan berkata ) : Wahai Tuhanku ! cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Maksud Hadis Rasullullah S.A.W : “Adalah satu dosa besar jika seseorang mengutuk ibu bapanya . Sahabat bertanya , bagaimana ada orang yang mengutuk ibu bapanya ? Baginda menjawab , jika ada manusia menghina bapa orang lain , kemudian orang tersebut akan menghina ibu bapanya semula .” (Riwayat Bukhari)

2. SAUDARA-SAUDARA YANG RAPAT

Surah Al Israa’ ayat 26 bermaksud :
“Dan berikanlah kepada kerabat mu , dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau.”

Selamat beramal sehingga berjumpa di siri yang akan datang . In shaa Allah.


Quote of the day




Saturday, September 28, 2013

NAIK MINYAK





Bulan Julai yang lalu anak-anak saya membuat kerja-kerja sukarela di Zoo Negara. Pada suatu pagi , semasa mereka memberi makan binatang-binatang berhampiran kandang Banteng Ox (Bos javanicus birmanicus ) . Tiba-tiba mereka terkejut melihat beberapa ekor Banteng bergaduh sesama sendiri. Keadaan begitu serius hingga Pegawai dan kakitangan Zoo di panggil untuk meredakan keadaan.

Malangnya Banteng yang terbesar di antara Banteng-Banteng itu telah mati di tanduk oleh dua ekor Banteng yang lebih kecil. Perut belubang. Darah mengalir. Mata terbeliak. Nafas sesak semasa saat-saat akhir nyawa berpisah dengan jasad. 



Apa sebab pergaduhan , siapa pun tidak tahu. Sebab makanan ke ? Sebab kawasan (territory) ke ? Sebab betina ke? tau sebab keturunan. Anak-anak saya di fahamkan Banteng yang mati itu lahir didalam Zoo dan Banteng yang ganas itu adalah Banteng yang asalnya liar. Itulah akibat naik minyak.

Manusia pun begitu juga keadaanya. Bergaduh, berperang dan bermusuh-musuhan atas dasar yang sama. Cuma kita manusia ini ada undang-undang dan kita orang Islam mestilah kembali merujuk kepada Al Qur’an dan Hadis sebagai hakim.

Sebagai panduan eloklah kita renung-renungkan kata-kata Saidina Umar al Khatab ini :

“Aku telah lihat berbagai –bagai jenis perisai , tetapi tidak ada satu pun yang sekukuh perisai lidah. 

Aku telah lihat semua jenis pakaian , tetapi tidak satu pun yang seindah pakaian wara’

Aku telah lihat semua jenis kekayaan , tetapi tidak ada satu pun yang setanding dengan kekayaan hati.

Aku telah lihat semua kebajikan , tetapi tidak ada satu pun yang lebih lazat daripada sabar.”

Moga kita dapat elakkan pertelingkahan sesama umat Islam atas sebab-sebab yang remeh, tetapi jika Islam di serang atau di noda oleh apa-apa unsur-unsur pun, kita wajib mempertahankannya. 



Quote of the day


Friday, September 27, 2013

UJIAN MEMANDU




Semalam , malam Jumaat saya berbual-bual dengan beberapa orang tenaga pengajar Madrasah Al Hikmah SS18 Subang Jaya. Olah kerana bahasa pengantar Madrasah tersebut adalah bahasa Inggeris, ramai Ustaz-Ustaznya dari luar negara saperti South Africa , Malawi dan Singapura. Saya rasakan mereka ini adalah tetamu kita di Malaysia dan kita di tuntut oleh Islam melayan mereka dengan baik.

Semalam saya bertanyakan Ustaz Abbas dari Malawi tentang pengalaman dia mengambil ujian memandu kereta dan motor di Malaysia. Oleh kerana dia meminta di ajar dan di uji dalam Bahasa Inggeris, bayaran kelas memandu pula lebih mahal dari kelas biasa, kerana tidak banyak Sekolah Memandu yang boleh berbahasa Inggeris, saya difahamkan begitu.

Bila saya tanyakan “Apa pengalaman Ustaz yang tidak boleh dilupakan semasa ujian ?” Ustaz Abbas terus bercerita “Mula-mula bila melihat saya orang dari luar negara, Tester JPJ terus bertanya , Awak buat apa di Malaysia ? , Saya mengajar agama di sebuah Sekolah Agama di Subang Jaya. Awak Uztaz ye? . Ye, kata Ustaz. Boleh tak awak beri saya nasihat , tanya Tester tersebut”

Dalam kerisauan semasa ujian memandu tersebut, Ustaz Abbas berfikir sejenak dan memberi nasihat . “ Dalam kehidupan kita di dunia ini kita mesti memikirkan dan merancang kehidupan di akhirat. Kalau saya gagal ujian memandu hari ini, saya boleh ambil sekali lagi atau berkali kali lagi jika perlu. Tapi kalau kita gagal ujian Allah di akhirat maka padahnya amat dahsyat . Kita akan dihumbankan ke neraka. Tidak ada peluang nak balik ke dunia lagi” nasihat Ustaz Abbas.

Tester JPJ terdiam dan ujian memandu di teruskan. Saya terfikir sejenak, adakah ini apa yang dimaksudkan sabda Rasullullah S.A.W : “Sebaik-baik jihad ialah berkata benar walaupun di hadapan Raja yang zalim”

Tiba-tiba saya tersentak dari bercakap-cakap dalam fikiran saya lalu bertanya “Anta lulus ke ujian tersebut? “Alhamdulillah” jawab Ustaz. Semua yang mendengar cerita tersenyum gembira.


Quote of the day