Semalam Rabu 6.6.2013 pergi ziarah ibu kepada seorang sahabat meninggal dunia. Rasa sedih kerana kehilangan seorang muslimat yang baik dan banyak menyumbang kepada Islam. Tetapi apabila sampai ditanah perkuburan , saya bertambah sedih bila difahamkan ada diantara penggali kubur disitu yang tidak solat lansung. Cuba bayangkan , hari-hari dia menggali kubur, keluar masuk kubur, melihat orang mati ( macam-macam cara mati pulak tu ) . Mendengar talkin , melihat keluarga simati menangis, semua ini tidak sedikit pun melembutkan hatinya untuk sujud kepada Allah .
Sesudah selesai pengkebumian kami sambung perbincangan dikedai kopi. Masing-masing dah lapar sebab tidak bersarapan dari pagi. “Ada ganas lagi” kata kawan saya. Baru-baru ini ada artis berlakon dalam filem seram-cerita kubur. Dia bukan saja tidak mengambil iktibar dari cerita yang menyeramkan itu tapi mengambil kesempatan untuk publisiti dirinya dengan berpakaian mendedah aurat hingga keseluruhan belakangnya kelihatan sampai kelurah punggung.
Saya tidak berminat berbicara lanjut tentang mereka yang begitu ‘BERANI’ menentang Allah . Kita doakan mereka berubah kearah kebaikan.Yang lebih penting ialah bagaimana keadaan kita, keluarga kita dan kawan-kawan kita semua. Sudah beres dengan Allah? Kalau sudah perbaiki lagi. Kalau belum usahakan sungguh-sungguh supaya kembali kepangkal jalan. Banyak petunjuk dan peringatan yang telah diberi Allah , Cuma sama ada kita sedar atau tidak sahaja.
Kita kerap diperingatkan “Wahai hamba –hamba Allah ! bertaqwalah sekelian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan Islam” Ibrahim bin Adham telah diberitahu tujuh wasiat oleh wakil guru tariqat :
1. Orang yang banyak bicara jangan kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.
2. Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata hikmat darinya.
3. Orang yang banyak bergaul dengan manusia jangan lah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.
4. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.
5. Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
6. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim jangalah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.
7. Orang yang mencari keredaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredaan Allah S.W.T daripadanya.
Allah juga telah memberi amaran pada manusia dalam ayat 124-126 Surah Toha:
Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjukKu maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit. Dan kami akan himpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.Dia berkata : Wahai Tuhanku , mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu celik? Allah berfiman “ Demikianlah keadaannya dimana telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu lalu engkau melupakan serta meninggalkannya. Dan demikianlah engkau pada hari ini dilupa serta ditunggalkan”
Cuba bayangkan dalam keadaan sakit kepala , batuk dan demam pun kita menjerit-jerit meminta keluarga membawakan ubat, itu dan ini.Bayangkan diakhirat nanti , satu-satunya kuasa yang boleh membantu kita ia itu Allah , berpaling dan meninggalkan kita atas dosa-dosa yang dilakukan . Sama-sama kita bertaubat sekarang sebelum kubur berasap. Terima kasih.
Quote of the day
No comments:
Post a Comment