Tak lama lagi IPT di Malaysia akan memulakan pengajian barunya. Sekarang bakal-bakal penuntut IPT sedang sibuk mengisi boring IPT dengan harapan mereka mendapat kursus terbaik yang mereka pohon. Setibanya di universiti nanti, satu kejutan budaya (cultural shock) akan berlaku. Mereka akan bebas, jauh lebih bebas dari zaman persekolahan dulu. Nak pergi kuliah, ok. Tak pergi pun ok. Cari pasangan mudah. Tak ada ibu ayah marah. Nak ulangkaji atau tidur sahaja, tak siapa yang peduli.
Tetapi sebagai orang Islam kita tidak seperti itu. Pada hakikatnya kita diawasai setiap saat. Kita diberi markah setiap detik. Amalan pula akan dihisab. Bukan setakat lulus atau tidak, tetapi ke syurga kah atau neraka tempat terakhir kita. Untuk itu saya ingin memberi sedikit panduan kepada bakal-bakal siswa dan siswi cara menghadapi kehidupan baru di sana nanti dan saya juga akan cuba memberi input keperluan dunia dan akhirat, insya-Allah. Diantara tip bagi penuntut universiti tahun pertama ialah :
1. Hadiri kuliah. Lagi banyak anda menghadiri kuliah, lagi kurang masa anda mengulangkaji.
2. Ketahui kampus anda. Jadi seorang pengembara di kampus dan ketahui lokasi-lokasi penting untuk keperluan anda.
3. Ketahui undang-undang universiti. Dapatkan satu salinan atau cari di laman web atau dari katalog khas.
4. Jangan dengar khabar-khabar angin. Selalu dapatkan kepastian dari sumber yang boleh dipercayai.
5. Uruskan masa anda. Untuk belajar, untuk aktiviti sosial dan untuk tidur.
6. Terima kritik yang membina. Kalau pensyarah anda mengkritik atau menasihati anda, itu adalah petanda yang baik. Terima dengan hati terbuka.
7. Ketahuilah, sebagai pelajar adalah bekerja sepenuh masa. Anda tidak boleh sibuk belajar semasa menghadapi peperiksaan sahaja, belajar setiap masa dengan kadar yang sama.
8. Timbulkan minat dengan kemahiran bahasa. Walau apapun bidang anda ambil, bahasa amat mustahak terutama untuk kenaikan pangkat nanti. Kebolehan berkomunikasi dengan baik memberi anda kelebihan dari orang lain.
9. Ambil bahagian sebagai warga universiti. Libatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kampus, tetapi jangan terlalu banyak hingga mengganggu akademik anda.
10. Kenali professor anda sebelum tamat belajar. Mereka boleh membantu anda dalam pelajaran sekarang dan pemilihan bidang yang akan datang.
11. Cari kekuatan dalam kesusahan. Belajar untuk sabar dengan orang lain dan dengan diri sendiri. Persoalan besar mematangkan anda.
12. Beri diri peluang. Sedikit kesilapan disana sini adalah perkara biasa. Ia tidak akan memusnahkan cita-cita anda. Perbetulkan kesilapan.
13. Buat keputusan sendiri. Walaupun meminta pendapat daripada mereka yang berpengalaman boleh membantu.
14. Anda belajar untuk diri sendiri. Belajar pula bukan kerana segan atau mengambil hati orang lain. Belajar bersungguh-sungguh untuk diri anda sendiri.
15. Ketahui tahap akademik anda setiap masa. Sebelum keluar dewan kuliah perjelaskan yang samar.
16. Belajar untuk berkomunikasi. Apa yang tidak difahami mesti ditanya secepat mungkin.
17. Kawal keselamatan fizikal dan mental. Bila penat, rehat. Jangan lupa bersarapan. Jangan tidur terlalu lewat malam. Beriadah.
18. Bertanggungjawab atas diri sendiri dan perangai anda. Jangan terlalu menyalahkan orang lain.
19. Masalah akademik anda adalah masalah anda. Jangan salahkan orang lain atas kelemahan anda. Dapatkan bantuan. Ulangkaji. Hadiri kuliah dan beri tumpuan.
20. Kenal pasti dan gunakan semua kemudahan universiti. Universiti mahukan anda berjaya. Ambil segala kesempatan.
21. Hubungi rumah anda. Keluarga adalah sumber ransangan yang terbaik. Beritahu mereka perkembangan pembelajaran anda. Mereka pasti akan mendengar.
Selain dari tip-tip diatas, ada juga cadangan lain cara penuntut baru untuk menghadapai cabaran di tahun pertama universiti. Pendekatan cara menghadapi cabaran terbahagi kepada dua, umum dan rohani.
Nasihat umum :
1. Fahami tanggungjawab anda. Mengapa anda ke universiti dan kemana anda selepas itu.
2. Susana persekitaran. Cari sahabat-sahabat yang baik. Dampingi juga yang bukan Islam. Anda dapat bantu-membantu dengan sahabat se-Islam dan dapat mempamirkan keindahan Islam kepada kaum yang bukan beragama Islam.
3. Buat kerja anda. Jangan terpesona dengan persekitaran baru. Buat jadual dan cuba sedaya upaya mematuhi jadual tersebut.
4. Buat yang terbaik. Kejayaan akan menaikkan imej Islam sekali gus anda dapat menguasai dunia semula. Manusia berasa senang mendamingi orang yang berjaya.
5. Gunakan kesempatan di universiti ini dengan terbaik. Dapatkan penerangan dari pensyarah apa yang tidak dapat difahami. Jangan buat-buat faham. Ramai orang yang boleh dirujuk di surau-surau dan perjumpaan yang lain.
Nasihat rohani :
1. Masjid atau surau. Jadikan ia tempat kunjungan yang kerap anda pergi. Tingkatkan ibadah dan amalan, cuba hadiri sebanyak mungkin aktiviti yang diadakan disana.
2. Elakkan perdebatan agama yang tidak sihat. Syaitan sentiasa memasang perangkap untuk memecah belahkan orang-orang Islam. Kalau Islam dipelajari dan diamalkan dengan betul, kebenaran akan terselah, insya-Allah.
3. Tempat-tempat maksiat, game dan lain-lain mesti dijauhi. Walaupun anda kesana tanpa minum minuman yang haram, tanpa berjudi. Jauhi sarang maksiat kerana disana jugalah sarang syaitan dan iblis.
4. Perpustakaan. Walaupun ia dikatakan sebagai gudang ilmu, tetapi awasi juga bahan-bahan yang boleh menyesatkan. Banyak buku-buku anti Islam kadang-kadang dapat masuk ke perpustakaan, seperti buku-buku ajaran Syiah. Awasi juga risalah-risalah percuma dan musuh-musuh yang berpura-pura terlalu baik.
5. Ta’sub dengan jamaah. Semasa anda mula melangkah ke universiti, ramai kumpulan dakwah atau jamaah-jamaah Islam yang akan menghampiri anda. Mereka dengan sedaya upaya menyakinkan anda yang merekalah jamaah yang patut diiikuti. Bertenang. Islam mengatasi jamaah. Pelajari gerakan tersebut dengan teliti. Tengok matlamat dan gerakan mereka secara meluas. Istikharah. Berdoa dan minta Allah petunjuk mana satu yang sesuai dengan perjuangan Rasulullah S.A.W.
Banyak perkara-perkara yang boleh mencuri tumpuan penuntut-penuntut baru di universiti. Malangnya gangguan ini banyak terdapat dalam kalangan pelajar-pelajar Melayu, suka tak suka kita terpaksa nyatakan supaya dapat dielakkan mereka-mereka yang hamper terjebak terhadap elemen-elemen tersebut :
1. Cinta.
2. Lemah kawalan disiplin diri (lemah iman).
3. Ketagih main game/ media sosial.
4. Tidak cukup tidur.
5. Mengabaikan aspek spiritual. Matlamat hanya dunia semata.
6. Tidak sedar diri. (Perasan dah dewasa dan pandai/ perasan-perasan lain).
7. Tidak menghormati pensyarah.
8. Terlupa pengorbanan dan harapan ibu-bapa.
9. Tidak menetapkan kejayaan yang besar, tidak tahu hala tuju, matlamat.
10. Takut mencuba, takut salah.
11. Selalu menyalahkan orang lain, merungut, mengutuk walaupun benda-benda kecil seperti makanan dan cuaca.
12. Berkawan dengan kelompok ‘negatif’ sahaja.
Banyak bahan-bahan lain yang dapat membantu anda dalam persiapan ke universiti. Rajin-rajinlah melengkapkan diri supaya tidak kecundang nanti. Kepada penuntut Islam, saya nasihatkan :
a. Muslimat – Amat mustahak bagi anda untuk mencari muslimat lain sebagai sahabat dan penasihat. Ruang fitnah amat luas terbuka dan anda adalah salah seorang yang sedang diperhatikan oleh pemangsa. Awas.
b. Muslimin – Tundukkan pandangan jika tidak mahu terjebak dalam banyak masalah.
Kehidupan di universiti membuat anda rapuh, sebab anda akan di hujani dengan ‘cara hidup alternatif’ yang menyeronokkan dan melalaikan. Berlainan sekali dengan cara hidup Islam.
Kalau TERSILAP LANGKAH, berdoa. Minta ampun, taubat dan kembali ke pangkal jalan. Ingatlah, bukan segulung ijazah itu segala-galanya tetapi kalau akhirat yang kita kejar, dunia akan mengikut. Bukan sebaliknya. Selamat belajar. Menuntut ilmu yang baik itu adalah juga ibadah. Terima kasih.
Quote of the day
No comments:
Post a Comment