Saturday, November 23, 2013

SELAMAT PENGANTIN BARU



Hari ini adalah hari perkahwinan anak saudara saya Aizat bersama isterinya Ainda dari Kedah. Keluarga kami mengamalkan satu tradisi sejak zaman datuk saya lagi, mengadakan satu majlis ‘orientasi’ ataupun berkenalan dan nasihat menasihatipada waktu malamnya. Semua keluarga yang tidak pulang kerumah masing-masing akan menyumbangkan sepatah dua kata aluan tahniah ataupun nasihat. Berikut adalah rumusan yang agak ‘berguna’ dari majlis tersebut:

ASAS PERKAHWINAN DALAM AL QURAN :

Surah Ar Ruum ayat 21 :

“ Dan diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya , bahawa Ia menciptakan untuk kamu ( wahai kaum lelaki ) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya diantara kamu ( suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan ( yang menimbulkan kesedaran ) bagi orang-orang yang berfikir.”



CIRI CIRI KEBAHAGIAN RUMAH TANGGA PERLU MENGANDUNGI :

1. SAKINAH – Ketenangan dan keselesaan

2. MAWADDAH –Cinta dan kasih sayang

3. RAHMAH – Rahmat dan kebaikan



TIPS PASANGAN BERJAYA DALAM ISLAM :

1. Suami dan isteri mesti sentiasa berdoa memohon kebahagian rumah tangga.

2. Taat kepada Allah , kemudian suami dan isteri

3. Beri ketenangan kepada pasangan masing-masing 

4. Jangan marah-marah

5. Selalu ucapkan terima kasih

6. Selalukan bergurau senda

7. Sentiasa berpakaian kemas dan menarik

8. Jadilah saperti penduduk syurga, sentiasa buat yang terbaik untuk pasangan masing-masing

9. Sebarkan salam. Sentiasa sambut pasangan anda dengan ucapan ‘assalamualaikum’ 

10. Senyum selalu

11. Jaga kebersihan diri dan rumahtangga. Jangan biarkan rumah bersepah

12. Gunakan kelebihan pada diri anda untuk menarik pasangan. Kecantikan , perhiasan, rambut , pakaian , wangian , perkataan lemah lembut, semua digunakan untuk menarik dan menghiburkan pasangan anda.

Seterusnya : 8 PERKARA MELEMAHKAN PERKAHWINAN:

1. Perkataan kasar, lawak yang tidak sesuai ataupun merendah-rendahkan pasangan.

2. Tidak menjawab salam ataupun tidak memberi ‘respond’ ( buat tak tahu) pada pasangan

3. Menipu

4. Tidak menepati janji

5. Mengelakkan sentuhan pasangan. Selalu rimas bila dibelai ataupun dipegang pasangan.

6. Sangka buruk atau mengumpat pasangan

7. Terlalu sibuk. Tiada masa untuk pasangan.

8. Meninggalkan ibadah wajib. Perbuatan ini amat tidak diredhai Allah dan anda mengundang keruntuhan rumah tangga

8 PERKARA MENGUATKAN PERKAHWINAN

1. Sikap yang positif dan sentiasa bersyukur

2. Bantu membantu pasangan

3. Beri kepercayaan kepada pasangan anda

4. Hormat menghormati

5. Ceria dan menceriakan

6. Maaf memaafkan

7. Cari waktu untuk bersama ditaman . menaiki bas , riadah , memandu atau bercuti

8. Solat dan beribadah bersama . Suami lakukan ibadah sunat dirumah bersama isteri dan galakkan amalan lain bersama.

Jika ditakdirkan juga timbul masalah , rujuklah surah An Nisaa ayat 35 bermaksud :

“Dan jika kamu bimbang perpecahan di antara mereka berdua ( suami isteri ) maka lantiklah ‘orang tengah’ ( untuk mendamaikan mereka iaitu) seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua ‘orang tengah’ itu (dengan ikhlas ) bertujuan hendak mendamaikan nescaya Allah akan menjadikan kedua ( suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.”

Terima kasih atas waktu anda dan kepada semua pasangan yang baru mendirikan rumah tangga saya doakan kebahagian untuk anda semua.



Quote of the day






No comments:

Post a Comment