Ramai orang yang mengumpat tidak akan mengakui yang mereka mengumpat. Mereka akan mengatakan ini cerita betul, ini nak cakap-cakap aje, ini nak ambil iktibar dan lain-lain. Pada hakikatnya, kalau kita menceritakan sesuatu yang tidak benar dibelakang seseorang ia dipanggil fitnah atau jika perkara itu betul, ia dikatakan MENGUMPAT.
Allah berfirman dalam al Qur’an , surah Al Hujaraat ayat 12 bermaksud :
‘Wahai orang-orang yang beriman ! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan ( supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan ke’aipan orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati ? ( Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. ( Oleh itu , patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mangasihani.”
Jadi kalau kita sudah faham yang mengumpat itu berdosa dan satu perbuatan yang menjijikkan saya mengingatkan diri saya dan pembaca semua supaya menjauhinya sejauh mungkin. Diantara langkah-langkah yang boleh kita mulakan untuk menjauhi perbuatan terkeji ini ialah :
1. Bila seseorang memulakan mengumpat, TUKAR TAJUK PERBUALAN . Berbual atas tajuk kita, bukan bercerita tentang orang lain.
2. Kalau kita terasa nak mengumpat, cuba gigit lidah sendiri, ini akan mengingatkan kita seolah-olah kita memakan bangkai saudara kita. Jijik kan ?
3. Kalau seseorang telah menyakiti hati anda, ajak dia berbincang dan selesaikan tersebut .
4. Kalau anda tidak boleh bersemuka , mintalah Allah kesabaran. Surah Asy Syura ayat 43 :
“Dalam pada itu ( ingatlah) , orang yang bersabar dan memaafkan ( kesalahan orang terhadapnya ) , sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara perkara yang dikehendaki diambil berat ( melakukannya)”
5. Jika anda telah terlanjur mengumpat , mintalah maaf semoga Allah mengampunkan kita.
6. Kalau semua kita berhati-hati dengan apa yang kita percakapkan , In shaa Allah kita tidak akan terlibat dalam perbuatan mengumpat walaupun setakat PERISA MENGUMPAT sahaja.
Daripada Anas r.a katanya Rasullullah s.a.w bersabda dengan maksud :
“Ketika aku diMikrajkan ( malam Israk dan Mikraj ) aku berjumpa dengan satu golongan yang kukunya adalah daripada tembaga, mereka melukakan muka-muka dan dada-dada mereka ( dengan kuku itu ) lalu aku bertanya : “Siapakah mereka ini wahai Jibril ?” Jibril menjawab : “Merekalah orang –orang memakan daging-daging manusia ( mengumpat ) dan mengatakan keburukan terhadap maruah orang lain” Hadis riwayat Abu Daud.
Sesungguhnya seseorang itu tidak akan mencapai hakikat keimanan sehingga dia tidak meninggalkan perbuatan mengumpat.
Quote of the day
No comments:
Post a Comment