Sunday, November 17, 2013

8 ‘PENIPUAN’ SEORANG IBU





Cerita bermula semasa saya kecil. Saya dilahirkan miskin, selalu kekurangan makanan. Bila-bila kami mendapat makanan, ibu selalu menambahkan bahagian nasinya kepada saya sambil berkata “Makanlah sayang, emak tak berasa lapar” INILAH PENIPUAN IBU YANG PERTAMA.



Semasa saya mula membesar , ibu menggunakan masa lapangnya untuk memancing, dengan harapan dapat memberi makanan ynag agak berkhasiat kepada pembesaran saya. Saya teringat satu hari ibu cuma dapat dua ekor ikan. Ibu membuat sup ikan dan sesudah saya menghabiskan seekor, ibu akan meratah baki-baki tulang ikan saya. Saya memberikan ibu seekor yang belum dimakan tetapi ibu mengatakan “Makanlah semua ikan-ikan ni sayang, ibu tak suka ikan” PENIPUAN IBU KEDUA.



Untuk menyarakan pembelajaran saya , ibu bekerja sambilan mengisi mancis api kedalam kotak-kotak dirumah. Pada satu malam yang sejuk, saya terbangun tidur dan nampak ibu mengisi kotak-kotak mancis dengan bercahayakan lampu lilin. Ibu kelihatan begitu letih. Saya terus menyuruh ibu berehat dan tidur. Ibu terus menjawab dengan senyuman “Tidurlah sayang, ibu belum penat lagi” PENIPUAN IBU KETIGA.

Apabila menduduki peperiksaan akhir tahun, ibu menemani saya. Ibu menunggu dalam kepanasan dan membawa bekalan makanan dan minuman untuk saya. Bila loceng berbunyi, ibu menuangkan air untuk saya , tetapi bila melihat peluh ibu bercucuran , saya menyuruh ibu minum dulu. Tanpa berfikir ibu terus menjawab “Minumlah sayang , ibu belum dahaga lagi” PENIPUAN IBU KEEMPAT

Sesudah kematian ayah , hidup kami bertambah susah. Keluarga terdekat datang membantu sekadar yang mereka mampu. Jiran-jiran mencadangkan supaya ibu berkahwin lagi, ibu mengatakan “Saya tidak perlukan kasih sayang” INILAH PENIPUAN IBU KELIMA.

Selepas saya tamat belajar dan mendapat pekerjaan , sampailah masanya untuk saya membalas jasa ibu. Tetapi ibu tidak mahu berhenti berusaha dan terus kepasar setiap hari untuk menjual sayur secara kecil-kecilan. Saya terus mengirim wang untuk ibu dan kadang-kadang memulangkan kembali wang kepada saya dengan alasan “Ibu sudah mempunyai cukup wang” PENIPUAN IBU KEENAM.

Saya meneruskan pembelajaran saya ketahap ‘Master’s Degree’ secara sambilan dengan bantuan syarikat tempat saya bekerja sekarang. Saya berjaya dan mendapat peningkatan gaji yang agak lumayan. Saya mengajak ibu berehat dan tinggal bersama saya diluar negara, tetapi dengan tenang ibu mengatakan “Ibu tidak biasa dengan hidup bermewah, sayang” PENIPUAN IBU KETUJUH.

Pada saat-saat akhir hayat ibu, dia telah diserang kanser dan terpaksa dimasukkan ke hospital. Saya yang duduk diluar negara, bergegas pulang untuk menziarahi ibu yang terlantar dikatil hospital. Ibu cuba untuk senyum tetapi saya tidak dapat menahan perasaan bila melihat ibu yang sangat kurus dan lemah ketika itu . “Jangan menangis sayang, Ibu tidak berasa sakit pun” Dengan kata-kata itu PENIPUAN IBU KELAPAN  - ibu meninggalkan saya dan meninggalkan dunia ini. Ya, sememangnya kasih ibu tidak akan dapat dibalas sampai bila-bila.

Kepada anda yang masih mempunyai ibu, segera sayangilah mereka . Kepada yang sudah tiada ibu janganlah henti-henti mendoakan kebaikan bagi mereka. Terima kasih atas renungan bersama. 

Terjemahan dari ‘dailyhadith.co.uk’


Quote of the day





No comments:

Post a Comment