Sekembalinya saya dari Kuching baru-baru ini, kucing kesayangan ‘GEBU’ kelihatan lesu. Tidak datang meleser ke kaki, tidak meminta makanan malah duduk dalam keadaan murung. “Dia sakit” saya katakan pada isteri. “Nampak-nampak macam keracunan makanan” sambung saya.
‘GEBU’ dilahirkan pada 21Februari 2013 didalam satu pasu bunga dihalaman rumah saya. Emaknya yang seratus peratus putih mewariskan warnanya kepada ‘GEBU’ . Anak tunggal setelah dua adik beradiknya mati, tiba-tiba menjadi ‘bintang’ dirumah kami.
‘GEBU’ membesar dalam keadaan manja, diberi tumpuan istimewa kerana ketika itu tiada saingan kasih sayang, tiada anak-anak kucing yang sebaya dengannya.Dia bebas untuk bermain didalam dan luar rumah dan bebas untuk membuang najis dimana-mana.
‘GEBU’ menjadi dewasa begitu cepat. Ramai sahabat yang berkunjung kerumah akan jatuh hati pada ‘GEBU’ dan ada juga jiran yang ‘meminjam’ ‘GEBU’ buat beberapa waktu.
Pada 30may2013 dulu kedengaran ibu kepada ‘GEBU’ menjerit kuat .Dia datangi saya seolah-olah meminta tolong carikan anaknya. Hujan mula turun, mau tak mau saya bangun dan cari diluar rumah. Rupa-rupanya ‘GEBU’ telah memanjat pokok, tapi tidak boleh turun.Dengan perasaan letih, sejuk, panas badan , saya mengambil tangga yang sudah lapuk, menyandarkan kedahan pokok. ‘GEBU’ diambil , tetapi ketika itu anak tangga tergelincir dari dahan pokok, dengan keadaan isteri yang cemas, suasana bertambah getir. Akhirnya semua berakhir dengan selamat, walaupun cemas. Alhamdulilah . Tahniah kepada ibu ‘GEBU’ yang bersungguh-sungguh mencari anaknya untuk pulang kerumah diwaktu Magrib.
Didalam rumah ‘GEBU’ biasanya menemankan isteri saya memasak. Dia tidak mengganggu , tidak membuat bising tapi tidak menolak jika diberi apa-apa makanan selain makanan biasa.
Salah satu sikap ‘GEBU’ yang tidak kami boleh lupakan ialah perangai ‘romantiknya’. Dia berkawan dengan seekor janda muda ‘MEK’ yang baru beranak. Hari-hari dia akan bergurau dengan ‘MEK’ dalam keadaan yang begitu ‘intim’.
‘GEBU’ juga turut mengasuh anak-anak ‘MEK’ walaupun kadang-kadang anak-anak tersebut menguji kesabaran ‘GEBU’
Tiba-tiba , lebih kurang jam 12.10 pagi 11november2013 kedengaran ibu ‘GEBU’ meraung kuat. Kami bergegas keluar rumah kerana risaukan ibu ‘GEBU’ yang sedang bunting menghadapi apa-apa masalah. Rupa-rupanya itulah raungan terakhir seekor ibu yang telah membela anaknya ‘GEBU’ selama lebih kurang sembilan bulan. ‘GEBU’ telah menarik nafas terakhirnya.
Kasih yang terjalin buat beberapa ketika itu telah membuat isteri saya menitiskan air mata. Walaupun ‘GEBU’ seekor kucing, tapi dia telah banyak menyumbangkan senyum dan ketawa pada kami. Mengendurkan suasana yang kadang-kadang tegang dirumah. Meringankan keletihan dan kerunsingan . Memberi dakapan ketika anak-anak berjauhan. Mengeluarkan peluh ketika mencuci najisnya dalam rumah. Menjadi bahan perbualan ketika sahabat handai dan anak-anak datang kerumah. Itulah ‘GEBU’ , mengapa kau pergi dulu, sayang!
Quotes of the day
No comments:
Post a Comment