Solat Jumaat pada 5hb Apr2013 lalu, saya lakukan di Masjid Jamek Al Rahman , Felda Kampong Bukit Besar, Kota Tinggi , Johor. Ada beberapa kejutan yang menarik perhatian saya tetapi semua kejutan itu adalah indah-indah belaka.
Pertama , tandas mesjid tersebut SANGAT BERSIH , melepasi standard kebersihan mesjid dibandar-bandar. Tidak berbau, tiada air tergenang, semua paip dan peralatan lain berfungsi dengan baik , luas dan selesa.
Inilah agaknya yang dikatakan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Barang siapa yang mengeluarkan kekotoran dari mesjid, maka Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah disyurga” ( HR Ibnu Majah)
Bunga-bunga dikawasan mesjid pula disusun rapi dan daun-daunnya begitu terurus. Saya difahamkan tugas-tugas pembersihan tandas dan persekitaran mesjid ini dibiayai oleh penduduk kampong dengan bayaran bulanan cuma 1 ringgit satu keluarga sahaja. Begitu mudah untuk mengurus tempat yang paling dicintai Allah kalau masyarakat bekerjasama
Dari Abu Hurairah radhiyallahu’anhu : Rasullullah s.a.w bersabda “Bagian negeri yang paling Allah cintai adalah mesjid-mesjidnya ,dan bagian negeri yang paling Allah benci adalah pasar-pasarnya” ( HR Muslim)
Pernah satu ketika Rasullullah s.a.w tertanya-tanya tentang kehilangan pekerja berkulit hitam yang membersihkan mesjid. Rasullullah s.a.w diberitahu yang pekerja itu telah meninggal dunia. Rasullullah s.a.w agak tidak senang mengapa baginda tidak diberitahu, lalu meminta ditunjukkan kubur pekerja mesjid itu. Lantas baginda pergi untuk melakukan solat jenazah. Selepas solat baginda bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya kuburan ini penuh kegelapan bagi penghuninya, tetapi Allah meneranginya untuk mereka dengan doaku buat mereka” (HR Al Bukhari dan Muslim)
Satu lagi kelainan yang mengejutkan saya ialah papan kenyataan elektronik dihadapan mesjid. Selain dari menunjukkan jadual ceramah , nama-nama AJK ia juga dimuatkan dengan peringatan semasa saperti :“Pakailah topi keledar untuk keselamatan anda” . Peringatan ini amat sesuai dengan keadaan setempat dimana anak-anak mudanya banyak menunggang motosikal.
Hanya dengan sedikit cara berfikir “diluar kotak” kita dapat mempersembahkan rumah Allah yang akan menjadi tarikan dan tumpuan ramai. Tidakkah begitu tinggi ganjaran pada mereka yang berusaha untuk menarik orang kepada keimanan?
Nabi s.a.w bersabda maksudnya : “Jika kamu melihat orang rajin mendatangi mesjid, maka persaksikanlah ia sebagai orang yang beriman” ( HR Ahmad, At Tirmidzi)
Kunci kepada kejayaan pengurusan mesjid ini saya rasa cuma satu – IKHLAS. Dengan keikhlasan dan kefahaman bahawa segala yang kita lakukan ini semata-mata kerana Allah dan akan diberi ganjaran oleh Allah , Inshaa Allah semuanya akan beres. Terima kasih atas perhatian dan banyak-banyak terima kasih kalau dipanjangkan.
Quote of the day
Whatever is good to know is difficult to learn
No comments:
Post a Comment