Monday, April 8, 2013

DIA SUDAH MATI (Kisah Benar)





Seorang Panjabi dari India tinggal di Arab Saudi dan berkawan dengan seorang Sheikh Muhammad Farrag. Si Panjabi ini selalu diajak oleh Muhammad Farrag untuk memeluk Islam, tetapi dia tidak mengiyakan atau menidakkan pelawaan Sheikh tersebut atas sebab-sebab keluarga.

Pada suatu hari Allah membuka hati siPanjabi tersebut untuk memeluk Islam, dia pergi ke mesjid Sheikh tersebut untuk melafazkan syahadah. Tetapi ketika itu Sheikh terlalu sibuk mengendalikan tazkirah bersama ramai murid-muridnya.Sheikh Muhammad tidak mengetahui hajat si Panjabi tersebut yang hendak memeluk Islam, kemudian terus pulang sahaja bersama murid-muridnya.

Lelaki Panjabi tersebut yang beriya-riya sungguh hendak memeluk agama Allah tergamam ditepi mesjid ,melihat semua jemaah beredar dengan kereta masing-masing. Pada saat itu lelaki Panjabi tersebut tidak dapat menahan perasaan sebaknya,terus menangis. Pada waktu yang sama seorang pemuda yang tinggal berhampiran mesjid datang menghampirinya. Pemuda itu bertanya mengapa lelaki Panjabi tersebut menangis . Lelaki Panjabi tersebut mengatakan yang dia mahu memeluk Islam.

Pemuda tersebut terus mambawa lelaki Panjabi kerumahnya. Dia mengajar lelaki Panjabi itu berwudhuk dan kemudian memimpinnya melafazkan dua kalimah syahadah. Sesudah memeluk Islam lelaki Panjabi itu bergegas pulang kerana katanya dia tidak berapa sihat.

Pemuda tadi pergi berjumpa Sheikh Muhammad dan menceritakan segala yang telah berlaku. Sheikh Muhammad menyesal bila mendengar berita tersebut kerana tidak dapat bersama mengislamkan lelaki Panjabi itu. Keesokannya Sheikh pergi menziarah sahabatnya yang baru memeluk Islam tersebut tetapi amat kecewa bila dikatakan lelaki Panjabi itu telah meninggal dunia dan mayatnya berada dibilik sejuk Hospital Pusat. 

Sheikh Muhammad bergegas ke Hospital untuk menuntut mayat, tetapi pihak Hospital memberi tahu yang mayat itu sedang diuruskan pihak kedutaan supaya dihantar pulang ke India untuk satu upacara pembakaran mayat. Sheikh Muhammad memberi penjelasan yang lelaki Panjabi itu telah memeluk Islam tetapi penjelasan tidak diterima oleh pihak Hospital.

Sheikh Muhammad kemudian berjumpa Sheikh Abd Al Aziz bin Baz dan menceritakan kisah keseluruhannya. Sheikh Al Aziz kemudian  bersetuju yang mayat lelaki Panjabi tadi tidak sepatutnya dikembalikan ke India, sebaliknya patut disempurnakan jenazahnya secara Islam dan dikebumikan di Arab Saudi. Sheikh Abd Al Aziz memanjangkan rayuan Sheikh Muhammad kepada Raja Saudi untuk dipertimbangkan.

Alhamdulilah, Raja mengarahkan pihak Hospital untuk menyerahkan mayat tersebut kepada Sheikh Muhammad. Sesudah jenazah disempurnakan, ramai yang datang menziarahi jenazah tersebut kerana kebetulan hari itu ialah hari Jumaat. Sheikh Muhammad berkhutbah dan dikaitkan dengan cerita lelaki Panjabi yang baru sahaja memeluk Islam , kemudian meninggal tanpa membuat apa-apa dosa. Ramai yang berebut-rebut mengusung jenazah tersebut ketanah perkuburan.

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai):
Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim


Quote of the day 

Forgiveness does not change the past, but it does enlarge the future

No comments:

Post a Comment