Tuesday, April 9, 2013

SHOOTING




Beberapa tahun dulu saya selalu bersama krew penggambaran ke Taman Negara untuk membuat dokumentari alam semula jadi. Perjalanan begitu jauh dan kalau ada peralatan yang tertinggal maka ia adalah satu mala petaka. Jadi kami terpaksa membuat satu ‘check list’ : kamera, bateri, lampu, kamera stand(tripod), tape , charger, dan berbagai alat penggambaran lagi.

Oleh kerana penggambaran akan dilakukan didalam hutan untuk beberapa hari, persiapan diri pula mestilah teliti: khemah, baju hujan, tuala, beberapa persalinan pakaian, peralatan kebersihan, ubat dan berus gigi, sabun dan banyak lagi. ‘Insect repellent’ juga mesti dibawa untuk mengelakkan nyamuk dan pacat. Makanan pula memang satu kepastian.Begitulah persiapan yang baik teliti untuk menyiapkan satu dokumentari alam semula jadi (nature) .

Bagaimana persiapan kita untuk alam dimana kita tidak boleh kembali lagi. Ketika itu seolah-olah semasa kita mengambil peperiksaan , waktu sudah tamat, pen kena letakkan diatas meja. Kalau jawaban anda tergantung, satu perkataan pun tidak boleh ditambah lagi.
Renunglah dialog orang-orang yang berdosa dan menyesal merayu pada Allah dan jawaban Allah menolak permohonan mereka :

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu) maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik sesungguhnya kami sekarang telah yakin” (Surah As Sajadah ayat 12)

“Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): "Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah pertunjuk untuk beriman dan beramal salih kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah pertunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat) tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu "Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal salih)".(Surah As Sajadah ayat 13 )

Sebelum waktu penamat (mati) tiba , mengapa kita tidak memulakan ‘check list’ kita dalam perjalanan sehala ini dan tiada peluang kembali. Kita mulakan dengan yang wajib-wajib dulu, solat, puasa, zakat dan haji bila mampu. Mulut hati-hati , mata jaga pandangan. Riak jangan sesekali dibiar tumbuh. Rendah hati, sabar, redha selalu disemai. Syukur paling utama. Lapangkan dada, sempitkan nafsu.

Inshaa Allah dengan ‘check list’ yang rapi kita akan sampai ke destinasi yang tidak dapat kita gambarkan selama ini dan dibenarkan masuk ‘SYURGA’.

Quote of the day

Management is doing things right, leadership is doing the right things .

No comments:

Post a Comment