Thursday, December 17, 2009

Kalau tidak ada-ada takkan burung bersarang rendah




Alangkah terperanjat bercampur gembira apabila saya ternampak sarang burung begitu rendah disalah satu pokok di taman Surau Al-Hikmah baru-baru ini. Lebih menyeronokkan lagi apabila saya terlihat tiga biji telur di dalamnya. Allah memberi naluri kepada burung-burung supaya bersarang di tempat-tempat tinggi dan selamat, tetapi mengapa burung ini begitu berani bersarang di tempat yang amat rendah. Tentulah Allah juga yang memberi petunjuk bahawa tempat itu tidak berbahaya.
Macam mana suasana rumah kita? Adakah ia juga selamat untuk diduduki? Adakah rumah itu dicemar dengan asap yang akan meracuni kita, isteri kita, dan anak-anak kita? Kalau rumah itu bersih, tidak ada gambar-gambar yang bertentangan dengan syarak, tidak ada perhiasan seperti patung, tidak ada unsur-unsur lucah dalam apa bentuk pun,ditambah pula dengan alunan bacaan Al-Quran dan bacaan-bacaan yang bermanfaat, tentulah ia akan mengundang kehadiran malaikat rahmat dan semua yang berunsur kebaikan dan keselesaan. Kalau masuk rumah pula dimulakan dengan bacaan Bismillah, tentulah syaitan tidak boleh memasuki rumah kita apatah lagi jika berdoa sebelum makan syaitan-syaitan pula akan kempunan untuk makan bersama.
Dalam kontek diri kita pula, alangkah baiknya kalau jiwa kita dibersihkan dari sikap-sikap negatif. Jiwa dihindar dari sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, cemburu, dendam, dan sifat-sifat yang sama spesis dengannya. Bibir pula dibasahi dengan zikir-zikir mengingati Allah supaya semua tindak-tanduk kita akan sentiasa berada dilandasan yang diredhai.
Kalau burung pun boleh memilih suasana yang tenang, aman, jauh dari bahaya dan bencana, mengapa tidak kita? Sepatutnya kita boleh memilih persekitaran yang sempurna, kawan-kawan yang membawa kepada kebaikan, hiburan yang diredhai Allah dan rombongan(jamaah) yang mengarah ke destinasi yang dihajati oleh semua-SYURGA ALLAH S.W.T. Terima Kasih.

No comments:

Post a Comment