Saturday, February 21, 2015

GOLONGAN YANG DIKASIHI ALLAH.





Allah telah menciptakan makhluknya dengan pelbagai bentuk, rupa dan
keadaan. Ada yang dilihat cantik dan ada yang dipandang buruk pada
pandangan mata kasar manusia. Begitu jugalah dengan penciptaan manusia, ada yang Allah golongkan mereka dalam kalangan orang yang dikasihi dan ada pula golongan yang dimurkai oleh-Nya. Antara golongan manusia yang dikasihi Allah ialah;

Pertama: Orang Yang Bertakwa.

Orang yang bertakwa ialah orang yang sentiasa menunaikan janji
mereka terhadap Allah untuk menjadi seorang hamba yang sentiasa taat dan patuh untuk melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan- Nya. Allah SWT menjanjikan kasih sayang-Nya kepada orang yang bertakwa.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 76 yang bermaksud :

 “Bahkan sesiapa yang menepati janji (yang dibuatnya) dan bertakwa,
maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa”.

Kedua:  Orang Yang Membuat Kebaikan

Antara amalan baik yang menyebabkan golongan ini mendapat kasih
sayang Allah SWT adalah seperti yang digambarkan melalui firman Allah
SWT dalam Surah Ali Imran ayat 134 yang bermaksud :

 “Iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya, pada waktu senang
ataupun susah, dan orang-orang yang menahan marahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Allah mengasihi orang-orang yang membuat kebaikan”.

Ketiga: Orang Yang Membersihkan Diri dan (Orang Yang Bertaubat)

ialah golongan manusia yang sentiasa membersihkan diri
mereka daripada sebarang bentuk kekotoran zahiriah. Seperti bersih
daripada najis yang terdapat pada tempat, pakaian, makanan dan minuman harian mereka. Begitu juga mereka adalah golongan yang sentiasa membersihkan diri mereka dengan memeliharanya daripada melakukan dosa dan maksiat. Manakala pula orang yang bertaubat ialah orang yang membersihkan diri mereka dengan bertaubat kepada Allah SWT daripada segala dosa dan maksiat yang telah dilakukan. Kedua-dua golongan ini merupakan golongan yang dikasihi Allah.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 222 ynag bermaksud :

 “Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang Bertaubat dan mengasihi
orang yang mensucikan diri”.

Rasululllah SAW turut menegaskan bahawa sebaik-baik anak Adam
yang berdosa ialah mereka yang bertaubat terhadap dosa yang telah mereka lakukan.

Hadis daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

 “Setiap anak Adam itu ada melakukan dosa. Dan sebaik-baik orang
yang melakukan dosa itu ialah mereka yang bertaubat”.
(Riwayat Ibnu Majah).

Keempat ialah: Orang Yang Sabar.

Kesabaran dalam menghadapi pelbagai situasi dalam kehidupan
bukanlah suatu perkara yang mudah. Kadang-kadang seseorang yang ingin mendapatkan kasih sayang Allah terpaksa bersabar dengan mengorbankan hartanya, tenaganya, masa lapangnya malah nyawanya demi agama Islam. Lihatlah bagaimana Allah telah menjelaskan kepada kita kisah kesabaran para pengikut nabi-nabi yang terdahulu. Mereka tidak pernah mengenal erti ketakutan dan rasa bimbang demi mempertahankan agama sehingga mereka mampu meraih kasih sayang Allah SWT.
Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 146:

 “Dan berapa ramai para nabi yang berperang bersama-sama mereka
sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemahkerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dantidak pula menyerah kepada musuh.Allah mengasihi orang-orang yang
sabar”.

Kelima: Orang Yang Adil.

Bersikap adil dan tegas dalam memutuskan sesuatu perkara
bersesuaian dengan syariat Allah merupakan perkara yang amat dituntut
dalam agama. Namun kadang-kadang seseorang itu tewas dengan sogokan duniawi yang berbentuk harta, tahta dan wanita untuk tidak berlaku adil ketika menentukan sesuatu hukuman. Berlaku adil dalam setiap perkara merupakan perintah Allah dan orang yang menegakkan keadilan akan mendapat kasih sayang-Nya.
Firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 42yang bermaksud :

“Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah perkara
itu di antara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang
yang adil”.

Keenam : Orang Yang Bertawakkal.

Orang yang bertawakkal ialah golongan yang bergantung harap hanya
kepada ketentuan Allah SWT setelah melakukan pelbagai usaha untuk
mencapai sesuatu matlamat yang dimpikan. Mereka meyakini bahawa
sesuatu perkara itu baik dan buruknya adalah datangnya daripada Allah,
Justeru sebagai seorang mukmin segala ketentuan Allah terhadap sesuatu
perkara yang telah diusahakan mestilah kita terima dengan penuh reda dan berlapang dada supaya kita tergolong dalam kalangan orang yang
bertawakkal yang mendapat kasih sayang Allah.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 159:

 “Kemudian apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada
Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal
kepada-Nya”.

Friday, February 13, 2015

ANTARA SABAR DAN MENGELUH




Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram.
Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.
"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."
Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?"
Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"
Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya.

Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."
Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?"
Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."
Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,:

" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."
Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,:
" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."
Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)
Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

Wednesday, February 11, 2015

KISAH PENDITA YANG INSAF




Ibrahim al-Khawas ialah seorang wali Allah yang terkenal keramat dan dimakbulkan segala doanya oleh Tuhan. Beliau pernah menceritakan suatu peristiwa yang pernah dialaminya.
Katanya, "Menurut kebiasaanku, aku keluar menziarahi Mekah tanpa kenderaan dan kafilah.
Pada suatu kali, tiba-tiba aku tersesat  jalan dan kemudian aku berhadapan dengan seorang rahib Nasrani (Pendita Kristian)."
Bila dia melihat aku dia pun berkata, "Wahai rahib Muslim, bolehkah aku bersahabat denganmu?"
Ibrahim segera menjawab, "Ya, tidaklah aku akan menghalangi kehendakmu itu."

Maka berjalanlah Ibrahim bersama dengannya selama tiga hari tanpa meminta makanan sehinggalah rahib itu menyatakan rasa laparnya kepadaku, katanya, "Tiadalah ingin aku memberitakan kepadamu bahwa aku telah menderita kelaparan. Kerana itu berilah aku sesuatu makanan yang ada padamu."
Mendengar permintaan rahib itu, lantas Ibrahim pun bermohon kepada Allah dengan berkata,
"Wahai Tuhanku, Pemimpinku, Pemerintahku, janganlah engkau memalukan aku di hadapan seteru engkau ini."
Belum pun habis Ibrahim berdoa, tiba-tiba turunlah setalam hidangan dari langit berisi dua keping roti, air minuman, daging masak dan tamar.
Maka mereka pun makan dan minum bersama dengan seronok sekali.
"Sesudah itu aku pun meneruskan perjalananku. Sesudah tiga hari tiada makanan dan minuman, maka di kala pagi, aku pun berkata kepada rahib itu, "Hai rahib Nasrani, berikanlah ke mari sesuatu makanan yang ada kamu. Rahib itu menghadap kepada Allah, tiba-tiba turun setalam hidangan dari langit seperti yang diturunkan kepadaku dulu."
Sambung Ibrahim lagi, "Tatkala aku melihat yang demikian, maka aku pun berkata kepada rahib itu - Demi kemuliaan dan ketinggian Allah, tiadalah aku makan sehingga engkau memberitahukan (hal ini) kepadaku."

Jawab rahib itu, "Hai Ibrahim, tatkala aku bersahabat denganmu, maka jatuhlah telekan makrifah (pengenalan) engkau kepadaku, lalu aku memeluk agama engkau. Sesungguhnya aku telah membuang-buang masa di dalam kesesatan dan sekarang aku telah mendekati Allah dan berpegang kepada-Nya. Dengan kemuliaan engkau, tiadalah dia memalukan aku. Maka terjadilah kejadian yang engkau lihat sekarang ini. Aku telah mengucapkan seperti ucapanmu (kalimah syahadah)."
"Maka sucitalah aku setelah mendengar jawapan rahib itu. Kemudian aku pun meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Mekah yang mulia. Setelah kami mengerjakan haji, maka kami tinggal dua tiga hari lagi di tanah suci itu. Suatu ketika, rahib itu tiada kelihatan olehku, lalu aku mencarinya di masjidil haram, tiba-tiba aku mendapati dia sedang bersembahyang di sisi Kaabah."

Setelah selesai rahib itu bersembahyang maka dia pun berkata, "Hai Ibrahim, sesungguhnya telah hampir perjumpaanku dengan Allah, maka peliharalah kamu akan persahabatan dan persausaraanku denganmu."
Sebaik saja dia berkata begitu, tiba-tiba dia menghembuskan nafasnya yang terakhir iaitu pulang ke rahmatullah. Seterusnya Ibrahim menceritakan, "Maka aku berasa amat dukacita di atas pemergiannya itu. Aku segera menguruskan hal-hal pemandian, kapan dan pengebumiannya. 

Apabila malam aku bermimpi melihat rahib itu dalam keadaan yang begitu cantik sekali tubuhnya dihiasi dengan pakaian sutera yang indah."Melihatkan itu, Ibrahim pun terus bertanya, "Bukankah engkau ini sahabat aku kelmarin, apakah yang telah dilakukan oleh Allah terhadap engkau?"
Dia menjawab, "Aku berjumpa dengan Allah dengan dosa yang banyak, tetapi dimaafkan dan diampunkan-Nya semua itu kerana aku bersangka baik (zanku) kepada-Nya dan Dia menjadikan aku seolah-olah bersahabat dengan engkau di dunia dan berhampiran dengan engkau di akhirat."

Begitulah persahabatan di antara dua orang yang berpengetahuan dan beragama itu akan memperolehi hasil yang baik dan memuaskan. Walaupun salah seorang dahulunya beragama lain, tetapi berkat keikhlasan dan kebaktian kepada Allah, maka dia ditarik kepada Islam dan mengalami ajaran-ajarannya."

Monday, February 9, 2015

KISAH TELADAN - MANGKUK YANG CANTIK, MADU DAN SEHELAI RAMBUT





Rasulullah SAW, dengan sahabat-sahabatnya Abu Bakar r.a., Umar r.a., dan Uthman r.a.,  bertamu ke rumah Ali r.a. Di rumah Ali r.a. istrinya Sayidatina Fatimah r.ha. putri Rasulullah SAW menghidangkan untuk mereka madu yang diletakkan di dalam sebuah mangkuk yang cantik, dan ketika semangkuk madu itu dihidangkan sehelai rambut terikut di dalam mangkuk itu. Baginda Rasulullah SAW kemudian meminta kesemua sahabatnya untuk membuat suatu perbandingan terhadap ketiga benda tersebut (Mangkuk yang cantik, madu, dan sehelai rambut).

Abu Bakar r.a. berkata, "iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu, dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti sehelai rambut".

Umar r.a. berkata, "kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu, dan memerintah dengan adil itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Uthman r.a. berkata, "ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu, dan ber'amal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

'Ali r.a. berkata, "tamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tamu itu lebih manis dari madu, dan membuat tamu senang sampai kembali pulang ke rumanya adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Fatimah r.ha.berkata, "seorang wanita itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, wanita yang ber-purdah itu lebih manis dari madu, dan mendapatkan seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain kecuali muhrimnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Rasulullah SAW berkata, "seorang yang mendapat taufiq untuk beramal adalah lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, beramal dengan amal yang baik itu lebih manis dari madu, dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Malaikat Jibril AS berkata, "menegakkan pilar-pilar agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri; harta; dan waktu untuk usaha agama lebih manis dari madu, dan mempertahankan usaha agama sampai akhir hayat lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Allah SWT berfirman, " Syurga-Ku itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik itu, nikmat syurga-Ku itu lebih manis dari madu, dan jalan menuju syurga-Ku adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".