Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah
s.w.t. Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit
Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah s.w.t..
Nabi Musa sering bertanya dan Allah s.w.t. akan menjawab pada waktu itu
juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah s.w.t.. "Ya Allah,
siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?". Allah
s.w.t pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat
tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan
terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam
perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu
dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan
duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam
bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil
membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi
Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam
hatinya penuh kehairanan.
Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap
sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak
lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan
yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap
hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu
kemudiannya dihantar semula ke bilik. Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi
Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid",
jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi?
Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.
"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu
adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah
s.w.t. telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal
dosa mereka dengan Allah s.w.t. itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah
s.w.t.. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak.
Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat
tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan
tugasku.", sambungnya.
"Setiap hari aku berdoa kepada Allah s.w.t. agar mereka diampunkan.
Aku bermohon supaya Allah s.w.t. menukarkan wajah mereka menjadi manusia
yang sebenar, tetapi Allah s.w.t. masih belum memakbulkan lagi.",
tambah pemuda itu lagi. Maka ketika itu juga Allah s.w.t. menurunkan
wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan
kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua
ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga.
Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."
Allah s.w.t. juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia
telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami
angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam
neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga." Itulah berkat anak
yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke
dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti
kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti
babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan
kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana
mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa. Walau banyak mana sekali pun
dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta
ampun kepada Allah s.w.t. supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah
s.w.t. Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat
yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.
Dalam sebuah riwayat menyatakan bahawa ada seorang lelaki tua sedang
berjalan-jalan di tepi sungai, sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang
anak kecil sedang mengambil wudhu' sambil menangis.
Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun berkata,
"Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?" Maka berkata anak kecil itu,
"Wahai pakcik saya telah membaca ayat al-Quran sehingga sampai kepada ayat
yang berbunyi, "Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum"
yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu
sekalian akan dirimu." Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan
ke dalam api neraka."
Berkata orang tua itu, "Wahai anak, janganlah kamu takut, sesungguhnya
kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam api neraka."
Berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal,
tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali yang
mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru
mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar
dahulu sebelum dibakar orang dewasa." Berkata orang tua itu, sambil
menangis, "Sesungguh anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada
orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan kami nanti?"
Suami isteri
itu hidup tenteram mula-mula. Meskipun melarat, mereka taat kepada perintah
Tuhan. Segala yang dilarang Allah s.w.t. dihindari, dan ibadah mereka
tekun sekali. Si Suami adalah seorang yang alim yang taqwa dan tawakkal. Tetapi
sudah beberapa lama isterinya mengeluh terhadap kemiskinan yang tiada
habis-habisnya itu. Ia memaksa suaminya agar mencari jalan keluar. Ia
membayangkan alangkah senangnya hidup jika segala-galanya serba
cukup. Pada suatu hari, lelaki yang alim itu berangkat ke ibu kota, mahu
mencari pekerjaan. Di tengah perjalanan ia melihat sebatang pohon besar yang
tengah dikerumuni orang. Ia mendekat. Ternyata orang-orang itu sedang
memuja-muja pohon yang konon keramat dan sakti itu. Banyak juga kaum wanita dan
pedagang-pedagang yang meminta-minta agar suami mereka setia atau dagangnya
laris.
"Ini syirik," fikir lelaki yang alim tadi. "Ini harus dibanteras
habis. Masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah serta meminta selain Allah
s.w.t.." Maka pulanglah dia terburu. Isterinya hairan, mengapa secepat
itu suaminya kembali. Lebih hairan lagi waktu dilihatnya si suami mengambil
sebilah kapak yang diasahnya tajam. Lantas lelaki alim tadi bergegas keluar.
Isterinya bertanya tetapi ia tidak menjawab. Segera dinaiki keldainya dan
dipacu cepat-cepat ke pohon itu. Sebelum sampai di tempat pohon itu berdiri,
tiba-tiba melompat sesusuk tubuh tinggi besar dan hitam. Dia adalah iblis
laknatullah yang menyerupai sebagai manusia.
"Hai, mahu ke mana kamu?" tanya si iblis laknatullah. Orang alim
tersebut menjawab, "Saya mahu menuju ke pohon yang disembah-sembah orang
bagaikan menyembah Allah s.w.t.. Saya sudah berjanji kepada Allah
s.w.t. akan menebang roboh pohon syirik itu." "Kamu tidak
ada apa-apa hubungan dengan pohon itu. Yang penting kamu tidak ikut-ikutan
syirik seperti mereka. Sudah pulang sahaja." "Tidak boleh,
kemungkaran mesti dibanteras," jawab si alim bersikap tegas.
"Berhenti, jangan teruskan!" bentak iblis laknatullah
marah. "Akan saya teruskan!"
Kerana
masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya terjadilah perkelahian antara
orang alim tadi dengan iblis laknatullah. Kalau melihat perbezaan badannya,
seharusnya orang alim itu dengan mudah boleh dibinasakan. Namun ternyata iblis
laknatullah menyerah kalah, meminta-minta ampun. Kemudian dengan berdiri
menahan kesakita dia berkata, "Tuan, maafkanlah kekasaran saya. Saya tak
akan berani lagi mengganggu tuan. Sekarang pulanglah. Saya berjanji, setiap
pagi, apabila Tuan selesai menunaikan sembahyang Subuh, di bawah tikar
sembahyang Tuan saya sediakan wang emas empat dinar. Pulang saja berburu,
jangan teruskan niat Tuan itu dulu,"
Mendengar janji iblis laknatullah dengan wang emas empat dinar itu, lunturlah
kekerasan tekad si alim tadi. Ia teringatkan isterinya yang hidup tidak
berkecukupan. Ia teringat akan saban hari rungutan isterinya. Setiap pagi empat
dinar, dalam sebulan sahaja dia sudah boleh menjadi orang kaya. Mengingatkan
desakan-desakan isterinya itu maka pulanglah dia. Patah niatnya semula hendak
membanteras kemungkaran.
Demikianlah,
semejak pagi itu isterinya tidak pernah marah lagi. Hari pertama, ketika si
alim selesai sembahyang, dibukanya tikar sembahyangnya. Betul di situ tergolek
empat benda berkilat, empat dinar wang emas. Dia meloncat riang, isterinya
gembira. Begitu juga hari yang kedua. Empat dinar emas. Ketika pada hari yang
ketiga, matahari mulai terbit dan dia membuka tikar sembahyang, masih
didapatinya wang itu. Tapi pada hari keempat dia mulai kecewa. Di bawah tikar sembahyangnya
tidak ada apa-apa lagi keculai tikar pandan yang rapuh. Isterinya mulai marah
kerana wang yang kelmarin sudah dihabiskan sama sekali.
Si alim dengan lesu menjawab, "Jangan khuatir, esok barangkali kita bakal
dapat lapan dinar sekaligus." Keesokkan harinya, harap-harap cemas
suami-isteri itu bangun pagi-pagi. Selesai sembahyang dibuka tikar sejadahnya
kosong. "Kurang ajar. Penipu," teriak si isteri. "Ambil
kapak, tebanglah pohon itu." "Ya, memang dia telah menipuku.
Akan aku habiskan pohon itu semuanya hingga ke ranting dan daun-daunnya,"
sahut si alim itu. Maka segera ia mengeluarkan keldainya. Sambil membawa
kapak yang tajam dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang syirik itu. Di
tengah jalan iblis laknatullah yang berbadan tinggi besar tersebut sudah
menghalang. Katanya menyorot tajam, "Mahu ke mana kamu?" herdiknya
menggegar.
"Mahu menebang pohon," jawab si alim dengan gagah
berani. "Berhenti, jangan lanjutkan." larang si iblis
laknatullah "Bagaimanapun juga tidak boleh, sebelum pohon itu
tumbang." jawab lelaki itu.
Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi kali ini bukan iblis
laknatullah yang kalah, tapi si alim yang terkulai. Dalam kesakitan, si alim
tadi bertanya penuh hairan, "Dengan kekuatan apa engkau dapat mengalahkan
saya, padahal dulu engkau tidak berdaya sama sekali?" Iblis
laknatullah itu dengan angkuh menjawab, "Tentu sahaja engkau dahulu boleh
menang, kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk Allah, demi Allah.
Andaikata kukumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu sekalipun, aku takkan
mampu mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada
wang di bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh kebolehanmu,
tidak mungkin kamu mampun menjatuhkan aku. Pulang saja. Kalau tidak, kupatahkan
nanti batang lehermu."
Mendengar penjelasan iblis laknatullah ini si alim tadi termangu-mangu. Ia
merasa bersalah, dan niatnya memang sudah tidak ikhlas kerana Allah
s.w.t. lagi. Dengan terhuyung-hayang ia pulang ke rumahnya. Dibatalkan niat
semula untuk menebang pohon itu. Ia sedar bahawa perjuangannya yang sekarang
adalah tanpa keikhlasan kerana Allah s.w.t., dan ia sedar perjuangan
yang semacam itu tidak akan menghasilkan apa-apa selain dari kesiaan yang
berlanjutan. Sebab tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi keutamaan
Allah s.w.t. dan agama. Bukankah bererti ia menyalahgunakan agama untuk
kepentingan hawa nafsu semata-mata ?
"Barangsiapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah
(berusaha) memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak mungkin
hendaklah berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat), bila tidak mungkin
pula, hendaklah mengingkari dengan hatinya (tinggalkan). Itulah selemah-lemah
iman."
Hadith Riwayat Muslim
Ketika Nabi
Ibrahim a.s bersama anaknya membina Kaabah banyak kekurangan yang dialaminya.
Pada mulanya Kaabah itu tidak ada bumbung dan pintu masuk. Nabi Ibrahim a.s
bersama Nabi Ismail bertungkus lumus untuk menjayakan pembinaannya dengan
mengangkut batu dari berbagai gunung. Dalam sebuah kisah disebutkan
apabila pembinaan Kaabah itu selesai, ternyata Nabi Ibrahim masih merasakan
kekurangan sebuah batu lagi untuk diletakkan di Kaabah. Nabi Ibrahim berkata
kepada Nabi Ismail , "Pergilah engkau mencari sebuah batu yang akan aku
letakkan sebagai penanda bagi manusia."
Kemudian Nabi Ismail a.s pun pergi dari satu bukit ke satu bukit untuk mencari
batu yang baik dan sesuai. Ketika Nabi Ismail a.s sedang mencari batu di sebuah
bukit, tiba-tiba datang malaikat Jibril a.s memberikan sebuah batu yang cantik.
Nabi Ismail dengan segera membawa batu itu kepada Nabi Ibrahim a.s. Nabi
Ibrahim a.s. merasa gembira melihat batu yang sungguh cantik itu, beliau menciumnya
beberapa kali. Kemudian Nabi Ibrahim a.s bertanya, "Dari mana kamu dapat
batu ini?"
Nabi Ismail berkata, "Batu ini kuterima daripada yang tidak memberatkan
cucuku dan cucumu (Jibril)."
Nabi Ibrahim mencium lagi batu itu dan diikuti oleh Nabi Ismail a.s. Sehingga
sekarang Hajar Aswad itu dicium oleh orang-orang yang pergi ke Baitullah. Siapa
sahaja yang bertawaf di Kaabah disunnahkan mencium Hajar Aswad. Beratus ribu
kaum muslimin berebut ingin mencium Hajar Aswad itu, yang tidak mencium
cukuplah dengan memberikan isyarat lambaian tangan sahaja. Ada riwayat
menyatakan bahawa dulunya batu Hajar Aswad itu putih bersih, tetapi akibat
dicium oleh setiap orang yang datang menziarahi Kaabah, ia menjadi hitam
seperti terdapat sekarang. Wallahu a'alam.
Apabila manusia mencium batu itu maka timbullah perasaan seolah-olah mencium
ciuman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ingatlah wahai saudara-saudaraku, Hajar
Aswad itu merupakan tempat diperkenan doa. Bagi yang ada kelapangan, berdoalah
di sana, Insya Allah doanya akan dikabulkan oleh Allah s.w.t.. Jagalah
hati kita sewaktu mencium Hajar Aswad supaya tidak menyengutukan Allah
s.w.t., sebab tipu daya syaitan kuat di Tanah Suci Mekah. Ingatlah
kata-kata Khalifah Umar bin Al-Khattab apabila beliau mencium batu itu (Hajar
Aswad) : "Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku
tidak melihat Rasulullah s.a.w. menciummu, sudah tentu aku tidak akan
melakukan (mencium Hajar Aswad)."
Pada zaman Rasulullah
s.a.w., ada seorang Yahudi yang menuduh orang Muslim mencuri untanya. Maka
dia datangkan empat orang saksi palsu dari golongan munafik. Rasulullah
s.a.w. lalu memutuskan hukum unta itu milik orang Yahudi dan memotong
tangan Muslim itu sehingga orang Muslim itu kebingungan. Maka ia pun
mengangkatkan kepalanya menengadah ke langit seraya berkata, "Tuhanku, Engkau
Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu."
Selanjutnya orang Muslim itu berkata kepada Rasulullah s.a.w.,
"Wahai Rasulullah, sungguh keputusanmu itu adalah benar, akan
tetapi mintalah keterangan dari unta ini."
Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepada unta itu, "Hai unta,
milik siapakah engkau ini ?" Unta itu menjawab dengan kata-kata yang
fasih dan terang, "Wahai Rasulullah, aku adalah milik orang Muslim
ini dan sesungguhnya para saksi itu adalah dusta." Akhirnya Rasulullah
s.a.w. berkata kepada orang Muslim itu, "Hai orang Muslim, beritahukan
kepadaku, apakah yang engkau perbuat, sehingga Allah Taala menjadikan
unta ini dapat bercakap perkara yang benar." Jawab orang Muslim itu,
"Wahai Rasulullah, aku tidak tidur di waktu malam sehingga lebih
dahulu aku membaca selawat ke atas engkau sepuluh kali."
Rasulullah s.a.w bersabda, "Engkau telah selamat dari
hukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga dari seksaan di akhirat
nantinya dengan sebab berkatnya engkau membaca selawat untukku."
Memang membaca selawat itu sangat digalakkan oleh agama sebab pahala-pahalanya
sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Lagi pula boleh melindungi diri dari
segala macam bencana yang menimpa, baik di dunia dan di akhirat nanti.
Sebagaimana dalam kisah tadi, orang Muslim yang dituduh mencuri itu mendapat
perlindungan daripada Allah s.w.t. melalui seekor unta yang
menghakimkannya