Tuesday, March 29, 2011

GAGAK BERZIKIR.

Ajaran Islam memberitahu kita yang binatang-binatang juga berzikir mengingati Allah. Kalau kita dapat mendengar betapa banyak mereka berzikir dan kadang-kadang berdoa untuk kita, tentulah kita akan cepat insaf dan memperbaiki amalan kita,. Tapi dengan kuasa Allah, kita kadang-kadang ditunjukkan benda-benda yang pelik. Perkara ini bukanlah untuk ditonton dengan perasaan hairan dan mempesona sahaja, tapi tontonlah dengan keinsafan, dan mengambil iktibar darinya. Video berikut umpamanya menunjukkan seekor gagak menyebut ALLAH, ALLAH, ALLAH.. Berapa banyak pula kita menyebut nama Allah dalam sehari semalam?

Saturday, March 26, 2011

MENGAPA BERTUDUNG?

Kita telah banyak mendengar hujah-hujah mengapa orang-orang perempuan wajib memakai tudung. Ada hujah dari Al-Quran, Hadith, ulama' dan lain-lain. Tapi baru-baru ini, saya ternampak perbualan dua wanita moden yang berhujah mengapa wanita mesti bertudung dan seorang lagi berhujah tidak mahu memakai tudung. Dalam pertukaran pendapat yang petah dan hebat ini, banyak yang saya dapat pelajari dan saya ingin berkongsi dengan penonton semua. Silakan menonton.



Thursday, March 24, 2011

PERTAHANKAN KEBENARAN.


Kira-kira 40km dari New York baru-baru ini ada satu rompakan bersenjata di City Bank. Walaupun kerani kewangan tersebut yang hanyalah seorang wanita, dia tetap berani mempertahankan wang dalam jagaan beliau. Wang yang dipertahankan beliau itu bukanlah wang miliknya dan dia berhadapan dengan ancaman dibunuh. Namun demikian dia sanggup mempertahankan hak dan kebenaran walaupun berdepan dengan risiko dibunuh.

Macam mana pula dengan ibu bapa zaman sekarang? Anak tidak menutup aurat. Anak keluar dengan boya (boyfriend), dan gila (girlfriend). Anak-anak merempit, anak-anak tidak solat dan banyak perbuatan yang tidak berfaedah dan melanggar hukum-hukum agama.

Persoalannya mengapakah ada ibu bapa yang tak sanggup mengatakan TIDAK terhadap perbuatan anak-anak mereka. Kalau dikatakan tidak pun, anak-anak itu tidak akan sampai ke tahap membunuh ibu bapa mereka. Anak-anak tersebut tidak akan memukul ibu bapa mereka. Paling teruk mereka cuma bermasam muka sahaja. Tetapi kalau anak-anak dibiarkan melakukan dosa dan kebatilan, risikonya lebih teruk dari dibunuh. Ibu bapa akan dipersoalkan oleh Allah dan anak-anak akan diseksa di api neraka jika tidak bertaubat. Kalau kerani kewangan tadi sanggup menyabung nyawa untuk mempertahankan harta majikannya, mengapa kita tidak sanggup mengatakan tidak kepada kebatilan anak-anak dan keluarga kita yang risikonya berganda-ganda dari tembakan sepucuk pistol. KATAKAN TIDAK KEPADA KEMUNGKARAN.

Thursday, March 10, 2011

THE END.

MAUT adalah satu kepastian. Tidak akan datang satu saat awal atau satu saat lewat. Tidak dapat dipastikan bagaimana pula kita akan mati. Oleh kerana itu, maka amat mustahak bagi kita supaya sentiasa dalam keadaan beramal baik supaya nyawa kita dicabut semasa kita dalam keadaan baik.

Berikut adalah satu video bagaimana seorang telah meninggal sewaktu beliau menyampaikan ceramah agama. Selamat menonton dan selamat mengambil iktibar dari kejadian berikut.


TINTED GLASS


Selalu bila saya memandu saya ternampak kereta-kereta yang menggunakan cermin yang amat gelap, "TINTED GLASS". Tak nampak langsung apa yang berlaku atau siapa di dalam kereta tersebut. Kalau di dalam kereta itu orang jahat, kita tak tahu. Kalau di dalam kereta itu kawan kita pun kita tak tahu. Yang pasti orang dalam kereta tersebut pasti nampak kita yang di luar ini, kalau tidak macam mana mereka boleh memandu dengan selamat.

Teringat saya tentang alam malaikat dan alam manusia. Malaikat boleh melihat kita. Malaikat yang mencatitkan kebaikan dan keburukan manusia hari-hari, malah setiap saat memerhatikan kita untuk direkodkan amalan di bahu kanan dan kiri. Kalau manusia banyak solat malam, malaikat tidak pernah tertidur untuk mencatit kebaikan mereka. Bangun subuh pula malaikat masih mencatit semua tingkah laku manusia. Seterusnya semua perbuatan yang manusia lain tidak nampak, pasti dicatit juga oleh malaikat. Tiada jalan untuk melepaskan diri dari pandangan dan perkiraan malaikat. Kalau dunia manusia dan dunia malaikat itu tidak di"tinted", tentulah cara hidup kita lain dari yang kita lakukan sekarang ini.

Yang dahsyat lagi ialah kita tidak dapat juga melihat malaikat maut. Mungkin malaikat maut itu sudah datang berkali-kali memberi peringatan yang dia akan mencabut nyawa kita, malangnya kita tidak perasan. Mungkinkah tahun depan, bulan depan, atau esok nyawa kita akan di cabut. Atau tak sempat cerita ini habis di baca nyawa kita sudah dicabut.

Kita memang yakin terhadap alam malaikat tapi janganlah tunggu Allah membuka "tinted" di antara kita dan malaikat baru kita nak beribadah, kerana pada masa itu semuanya sudah terlambat. Tingkatkan amalan kita sekarang juga.

Wednesday, March 9, 2011

AHMAD DEEDAT JAWAB SOALAN WANITA KRISTIAN

Seorang wanita kristian bertanyakan AHMAD DEEDAT berkenaan pemakaian purdah kepada wanita Islam. Jawapan diberi sungguh menarik dan mudah difahami. Kita tonton bersama.

SYARAHAN.


Semalam terjumpa satu syarahan oleh penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan. Rasanya sebagai bahan bacaan ringan elok kita teliti bersama syarahan tersebut. Yang baik kita ambil sebagai pengajaran.

Assalamualaikum w.b.t saudara pengerusi majlis, para hakim yang bijaksana, seterusnya saudara dan saudari yang dikasihi sekalian.

Dalam zaman kegawatan institusi kekeluargaan sekarang ini, saya memilih tajuk “Pendidikan Al-Quran membina keluarga sejahtera”. Mudah-mudahan ini dapat sedikit sebanyak memberi manfaat kepada kita semua.

Al-Quran seperti kita semua ketahui ialah kitab suci kita, orang-orang Islam. Sejahtera pula mengikut Kamus Dewan bermaksud aman, senang, tenteram, dan terpelihara dari kesusahan. Jadi mari kita lihat satu persatu bagaimana pendidikan Al-Quran ini boleh membina keluarga yang bahagia.

Hadirin hadirat yang dikasihi sekalian.

Cara anak-anak berkelakuan kepada ibu bapa jelas diterangkan dalam surah Isra’ ayat 23. Sebahagiannya bermaksud... “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada dua ibu bapa” , kemudian dalam ayat yang sama mengatakan... “Dan janganlah kamu berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan ah” , dan “Janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang kasar”. Kalau macam inilah saranan-saranan dari Al-Quran, mana mungkin ada anak-anak yang derhaka jika ajaran Al-Quran tersebut dipatuhi.

Bagi masalah anak-anak haram yang dibuang merata tong sampah pula hadirin dan hadirat sekalian, Al-Quran telah memberi peringatan 1400 tahun dahulu dalam ayat 32 surah Isra’ juga, Allah mengatakan... “Dan janganlah kamu hampiri zina, sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat”. Inilah pendinding dan formula terhadap kesejahteraan keluarga.

Cikgu-cikgu dan kawan-kawan yang dikasihi sekalian.

Ibu bapa pula tidak terlepas dari tanggungjawab. Mereka diingatkan Allah dalam Al-Quran dalam surah At-Tahrim ayat 6 bermaksud “Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya : Manusia dan batu berhala. Alangkah sejahteranya satu-satu keluarga itu kalau semua pendidikan Al-Quran dipatuhi sepenuhnya.

Para hadirin sekalian, contoh yang saya berikan tadi hanyalah sekelumit dari petunjuk yang besar di dalam Al-Quran yang boleh kita jadikan pedoman untuk kesejahteraan keluarga.

Secara sinis ada orang bertanya, “Adakah cara membuat roti canai ditunjukkan dalam Al-Quran?” . Jawabnya ada. Dalam juzu’ ke 14 ada ayat yang mengatakan lebih kurang maksudnya “ Bertanyalah kamu kepada yang tahu tentang apa-apa yang kamu tidak tahu.” Ini menunjukkan kaedah untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi manusia. Ini menunjukkan semua persoalan terdapat di dalam kitab suci Al-Quran termasuklah isu-isu besar seperti kesejahteraan keluarga.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Saya akhiri syarahan saya hari ini dengan serangkap pantun :

Jangan sesat semasa kembara,

Guna peta petunjuk jalan,

Kalau keluarga nak jadi sejahtera,

Kembalilah kita kepada Al-Quran.

Sekian, Assalamualaikum w.b.t


Friday, February 18, 2011

HISAP BABI.





Satu laporan dari universiti Sydney, Australia mengatakan hemoglobin babi digunakan pada penapis (filter) rokok. Kajian dibuat tentang 185 jenis penggunaan babi di Belanda. Satu lagi sebab mengapa perokok mesti berhenti merokok kerana penggunaan babi dalam pembikinannya.

Professor Chapman yang memberi laporan ini mengatakan berita ini akan menaikkan kemarahan orang-orang Islam, Yahudi, dan "Vegetarian" kerana mereka tidak memakan babi. Professor Chapman juga mengatakan banyak lagi bahan-bahan bahaya yang disembunyikan dari pengetahuan umum, kalau anda seorang perokok yang beragama Islam atau Yahudi mungkin anda patut tahu yang tidak ada cara yang berkesan untuk mengetahui apakah perisian beracun atau kotor dalam rokok-rokok tersebut.

Satu jalan yang paling bijak dan selamat ialah BERHENTI MEROKOK.

Thursday, February 17, 2011

KERA DAN ALAM SEKITAR.



Dalam perjalanan ke pantai Sepang baru-baru ini, saya ternampak sekumpulan kera mencari makanan di tempat buangan sampah. Ada juga yang mati terlanggar kereta. Banyak yang kurus sebab kurang makan. Semua ini berlaku disebabkan keadaan sekitar mereka. Rumah sudah banyak di bina. Hutan tinggal pokok kelapa sawit sahaja. Tiada pilihan tiap-tiap hari terpaksa menyeberang jalan yang sibuk untuk mencari makanan di tempat buangan sampah.

Macam mana pula dengan muda mudi kita. Sekitar mereka kosong dengan kasih sayang. Emak dan ayah sibuk bekerja. Balik malam. Yang kerja syif pula tidak ada di malam hari. Makan ikut nasib. Yang ada orang gaji makan di rumah. Ada yang makan sembarangan di kedai. Solat tiada yang mengingatkan. Tiada kawan bercakap. Tiada kasih sayang.

Yang lelaki mencari perempuan atau kawan jalanan. Yang perempuan menyerah kasih kepada sesiapa yang memberi, walaupun bangsa asing yang hanya mahukan badan mereka. Ulang kaji tidak ketahuan. Rokok atau yang lebih berat lagi menjadi teman sejati, sampai ada yang mati.

Siapkanlah persekitaran keluarga kita supaya anak-anak atau pun kadang-kadang suami isteri tidak terjerumus ke kancah maksiat dan merempat seperti kera di atas.

Wednesday, February 16, 2011

FROM HOLLYWOOD TO HAJJ

Apabila saya mencari-cari bahan untuk dikongsi bersama pembaca. Allah selalu mempermudahkan saya untuk mendapat bahan-bahan yang baik. Kali ini, saya terjumpa temu ramah Al-Jazeera bersama pelakon Hollywood yang telah menganut Islam dan terus mengerjakan Haji. Selamat menonton.


Maulidur Rasul

Sempena menyambut ulang tahun kelahiran Rasulullah s.a.w, Marilah kita mendengar nasyid oleh Maher Zain bertajuk "The Chosen One".

Tuesday, February 15, 2011

TAUBAT SEBELUM TERLAMBAT.

Tujuan kita membaca sirah Nabi Muhammad s.a.w dan kejadian - kejadian yang baru berlaku bertujuan untuk memberi petunjuk dan ajaran kepada keluarga, teman, dan masyarakat sekeliling. Mudah, mudahan ia boleh memberi manfaat kepada mereka. Baru-baru ini saya mendengar satu berita yang menyayat hati tetapi amat berguna untuk dijadikan bekalan dakwah dan kehidupan. Marilah kita sama-sama dengar.


Monday, February 14, 2011

30 SEN.


Bulan sudah, saya berhenti minum di gerai makan Bandar Baru Salak Tinggi. Kemudian pergi membuang air. Saya terkejut bayaran tanda di pekan kecil ini ialah 30 sen. Mahal rasanya, apatah lagi dalam keadaan semua mahal sekarang.

Rupanya bila kita menggunakan tanda percuma selama ini kita tidak kira air yang kita pakai, pekerja yang membersihkan, sabun, kertas, dan lain-lain.

Begitulah dengan pemberian Allah. Udara percuma, pandangan mata percuma, pendengaran dan banyak lagi Allah bagi percuma. Baik kita kena bayar bila kita sakit. Ada yang bernafas menggunakan tong oksigen, meggunakan mesin mencuci kencing, membayar harga yang mahal untuk pembedahan mata dan anggota-anggota lain.

Peringatan untuk kita semua :
  1. Sentiasa mensyukuri pemberian Allah.
  2. Banyakkan ibadat sebelum sakit.
  3. Bantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan dengan apa yang terdaya walaupun hanya nasihat.
  4. Jaga makan minum yang haram dan makruh, jangan sesekali diambil. Yang halal berada-pada.
  5. Kalau dah sakit juga, REDHA.
Semoga kita selesa di dunia dan enjoylah diakhirat.

Sunday, February 13, 2011

9/11.

Bila peristiwa 9/11 berlaku , semua tangan di dunia ini menunding jari kepada Islam. Kononnya Islam lah yang jahat. Sampai hari ini kita tidak faham kebenarannya. Tapi, apa yang menariknya, Allah telah menggunakan peristiwa ini untuk membuka hati orang-orang kafir untuk masuk Islam. Lihatlah pengakuan seorang wanita kristian Amerika dalam video berikut.


SELIPAR. (KASUT GETAH)


Dulu-dulu bila kita pakai selipar berlainan warna, tentu berasa malu. Sama ada dikatakan kita memakai selipar curi atau tak ada duit nak beli selipar baru, hingga terpaksa memakai selipar yang berlainan warna campuran selipar lama. Tapi sekarang selipar yang berlainan kiri dan kanan adalah satu trend. Siapa yang set trend ini? Designer, peniaga-peniaga dan orang-orang yang berkepentingan atas sesuatu sebab.

Hidup kita zaman ini nampaknya ditentukan oleh orang lain. Pakaian ditentukan pleh "Fashion Designer". Perabot, rambut, bacaan, rumah, dan lain-lain semua ditentukan oleh "Designer" masing-masing.

Tapi yang leboh teruk lagi ada satu 'Grand Designer" yang menentukan cara kita berfikir. Inilah apa yang dikatakan sebagai serangan. Serangan ini selalu dilakukan orang-orang kafir melalui TV dan kebudayaan, macam-macam rancangan juga tidak bernilai dan tidak berfaedah. Malangnya penerbit-penerbit program tempatan telah juga bersama-sama menyerang Islam, memperlekeh dan lebih teruk lagi menyalahkan Islam dalam banyak aspek. Contohnya orang-orang yang berserban, berjubah atau wanita yang menutup aurat digambarkan sebagai orang jahat, pemalas, dengki, memecah belah masyarakat, dan lain-lain.

Oleh itu, saya mengajak semua pembaca kalau nak selamat dunia dan akhirat, ajaklah anak-anak, keluarga, masyarakat, dan umat seluruhnya supaya menggunakan satu "Designer" sahajaiaitu "Designer" alam ini - Allah. Pakaian kut design Allah. Hiburan ikut design Allah. Makan, minum, pergaulan, ekonomi, interaksi antara kaum, antarabangsa, dan lain-lain semuanya menggunakan satu design. Design Allah melalui arahan Islam.Siapa yang tidak mengikut design Allah PASTI tidak akan selamat didunia dan di akhirat. Tuan, puan yang dikasihi, bertindaklah sekarang.

Tuesday, February 8, 2011

TIDUR - BERAPA LAMA?

Persoalan yang selalu dibincangkan ialah berapa lama kita perlu tidur dalam sehari semalam . Saya terjumpa jawapannya dalam video berikut oleh Sheikh Dr Muhammad Tahir Ul Qadri. Kita ikutilah nasihat beliau.


Monday, February 7, 2011

HILANG AKAL.

Pagi tadi saya ke surau untuk solat Subuh . Setiba di surau, parking terlalu banyak kosong, satu keganjilan. Bila masuk surau, surau pun kosong. Rupa-rupanya saya sudah terlewat satu jam. Kalaulah ada jemaah yang melihat saya, tentulah mereka terkejut dan menyangka saya sudah hilang akal.

Orang yang hilang akal memang melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan kebiasaan. Tak jauh dari rumah saya di Subang Jaya ada hamba Allah yang memakai kopiah, tapi berseluar pendek. Kadang-kadang ada yang berkopiah kencing berdiri di tepi pokok. Ada yang mengutip makanan dalam tong sampah. Ada pula yang tidur di kaki lima. Semua yang mereka lakukan ini bercanggah dengan "kebiasaan" hidup. Tapi Insya-Allah, Allah akan mengampuni atau mengecualikan orang-orang seperti ini dari hisab.

Tapi malangnya ada golongan yang kononnya 'cerdik" berlaku seperti orang hilang akal. Mereka meminum dan makan racun seperti arak, dadah dan rokok. Mereka berfoya-foya dengan perempuan jahat walaupun sudah beristeri. Mereka melanggar segala larangan Allah, walaupun Allah telah menjanjikan neraka sebahagian balasan. Bukankah ini perbuatan orang yang hilang akal? Saya mengajak semua pembaca supaya menjadi "CERDIK" dari perspektif Islam.

BANGUN SUBUH.

Baru-baru ini saya terjumpa satu video tentang bagaimana untuk mudah bangun solat Subuh. Saya rasa video itu sangat memberi ransangan dan saya ingin berkongsi dengan tuan-tuan sekalian. Selamat menonton.

P. RAMLEE


Rata-rata rakyat Malaysia sudah mengenali Tan Sri P. Ramlee melalui karya seninya. Sama ada dalam bidang perfileman atau melalui 390 lebih lagu-lagu yang pernah diciptanya. Tapi hari ini saya ingin bercerita tentang perkara yang orang ramai mungkin tidak berapa tahu tentang P. Ramlee.

Baru-baru ini saya menonton satu dokumentasi berkenaan kehidupan Tan Sri P. Ramlee. Salah satu sifat P. Ramlee yang patut kita ikuti ialah PEMURAH. Satu hari, ada orang minta bantuan kewangan dari pada P. Ramlee. Pada masa itu. P. Ramlee cuma ada RM 200.00 sahaja. Beliau terus memberikan kesemua wang yang dimilikinya. Apabila Saloma bertanya kenapa semua wang itu diberikan, P. Ramlee dengan lembut menjawab "Biarlah, dia dalam kesusahan dan memerlukan bantuan"

Begitulah pemurahnya Tan Sri P. Ramlee. Kita bagaimana?

Saturday, January 29, 2011

JANGAN MENIPU.


Di akhirat nanti. bila Allah s.w.t menyoal amal baik dan amal buruk kita, jawapan tidak boleh menggunakan mulut, tetapi menggunakan anggota seperti tangan, kaki, dan anggota-anggota yang lain. Sebagai seorang muslim, kita mesti percaya bagaimana agaknya perkara ini boleh berlaku.

Pagi tadi, saya melihat satu demo mesin "LIE DETECTOR" (alat mengesan pembohongan) di TV3. Beberapa wire dilekatkan di hujung jari, dikeliling lengan dan dikeliling badan. Apabila salah ditanya, pergerakan meter disalurkan di ke badan tersebut boleh memberi "INDICATOR" sama ada orang tersebut menipu atau sebaliknya.
Alat ini begitu diyakini hingga ia boleh digunakan sebagai bahan bukti di Eropah, Amerika, dan Singapura.

Kalau alat ciptaan manusia ini pun amat canggih fungsinya, inikan pula ciptaan Allah yang banyak terbukti kebenarannya. Jadi, kita fikir-fikirkanlah bagaimana untuk berdepan dengan hisab Allah di akhirat nanti.

Friday, January 21, 2011

HUKUM REJAM.





Pagi tadi pergi Kl Convention Centre bersama anak-anak untuk melihat pameran pemenang fotografi dunia. Salah satu pemenang bahagian berita ialah foto seorang yang direjam. Foto ini menggerunkan. Yang melihatnya, ada orang Malaysia, atau pelancong dari luar negara semuanya mengeluh ketakutan dan merasa ngeri melihat foto tersebut.

Tapi tidakkah mereka ngeri melihat mangsa-mangsa rogol? Kanak-kanak pula sesetengahnya, Isteri-isteri yang diperkosa, dan todakkah mereka berfikir bagaimana limpah kasihnya jika terkena dengan batang hidung sendiri.

Yang indahnya hukum rejam cara tersebut akan terampun dan beliau tidak akan dibalas di akhirat kelak.

Thursday, January 20, 2011

ANUGERAH SKRIP TERBAIK

Semalam saya terbaca satu tajuk artikel disebuah akhbar - "Saya memegang lelaki semata-mata kerana skrip". Maksudnya dia seorang pelakon yang juga isteri orang berpeluk-peluk dengan lelaki atas arahan pengarah drama. Tapi, ada lagi satu "pengarah"yang paling agung dan mempunyai "skrip" yang tidak boleh dicanggah langsung walaupun satu titik ataupun koma. "Pengarah" agung ini mengatasi segala arahan di dalam semesta ini dan skrip yang agung ini ialah skrip yang paling mutlak.

Pengarah "Agung" tersebut tak lain dan tak bukan ialah Allah s.w.t dan skrip yang dimaksudkan ialah Al-Quran. Semua arahan ibu atau bapa, suami atau isteri, maharaja atau maharani, akan terbatal kalau ianya bertentangan dengan arahan Allah. Malah skrip yang dimaksudkan, Al-Quran itu bukan sahaja salah jika tidak diikuti, malah dengan sedikit sangsi kepadanya boleh kepadanya boleh menjadikan manusia terkeluar dari Islam.

Oleh itu lain kali, hati-hatilah bila mengikut arahan dan mengikut skrip, pastikan ia tidak bertentangan dengan arahan agung Allah dan skrip agung Al-Quran. Takut-takut makan tak habis menanggung dosa di akhirat nanti.

Tuesday, January 18, 2011

MATILAH DALAM ISLAM.

Tiap-tiap khutbah Jumaat kita diingatkan supaya jangan mati kecuali mati dalam Islam. Pada kuliah Maghrib tadi kita di dikenalkan dengan formula yang mudah untuk mati dalam Islam, Insya-Allah.

1) ISTIQOMAH
Mesti berterusan beramal dengan ajaran Islam hinggalah ke akhir hayat.

2) DOA
Jangan jemu-jemu berdoa . Allah telah mengajar kita bagaimana berdoa untuk mati dalam Islam. Surah Yusuf ayat 101 - Sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh. Surah Al-A'raaf ayat 126 - Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam. (berserah bulat-bulat kepadaMu).

Begitulah mudahnya untuk mati dalam Islam tetapi tidak semudah itu untuk diamalkan. Terima Kasih.

Friday, January 14, 2011

GANJARAN.

Baru-baru ini pasukan bola sepak negara memenangi Kejuaraan Piala Suzuki. Banyaklah ganjaran yang diterima selain dari piala, hadiah-hadiah rasmi, ada juga yang dihadiahkan rumah, dan kesemua pemain juga dihadiahkan ganjaran sehingga RM 65,000 seorang. Semua orang terpesona. Banyak yang berangan untuk menjadi pemain bola. Tapi, tahukah kita susah payah mereka, pagi dah bangun , lari keliling padang, lari keliling tiang, lari ke kiri, ke kanan, melompat, kejar-mengejar, tendang bola, tangkap bola, pergi ceramah motivasi dan banyak lagi persiapan. Dari pagi sampai malam, dalam negeri dan luar negara. Begitulah susah payah mereka untuk mendapat katakanlah RM 100,000.

Bagaimana agaknya kualiti insan yang layak menerima anugerah syurga dari Allah s.w.t? Cukupkah dengan solat lima waktu di rumah? Setakat memasukkan beberapa keping syiling ke tabung-tabung masjid dan surau ? Atau setakat membaca Yaasin di malam Jumaat?

Sudah berapa kali Allah memberi kita kad kuning? Kita disakitkan sebagai peringatan. Kita diturunkan dengan beberapa musibah, kita ditunjukkan dengan kemalangan dan kesengsaraan manusia sekitar sebagai peringatan; sebagai kad kuning dari Allah.

Saya memperingatkan diri saya dan juga tuan-tuan supaya Allah jangan sesekali mengeluarkan kad merah yang akan menafikan kita dari syurga Allah. Fikirkan bersama !!

Wednesday, January 12, 2011

4 PELABURAN YANG PALING MENGUNTUNGKAN.

Kita dilahirkan di dunia ini dengan satu modal - iaitu WAKTU. Sama ada dalam bentuk saat, minit, jam, hari atau seterusnya, kita akan kerugian besar kalau tidak menggunakan waktu untuk empat pelaburan berikut.

Pertama ialah BERIMAN. Kalau tidak beriman semuanya sia-sia belaka. Kalau orang orang bukan Islam membuat kebaikan saperti bersedekah , membantu orang dan lain-lain, semua tidak bermakna kerana mereka tidak beriman. Sesudah kita beriman, kita mesti meluaskan pelaburan kita dengan mengajak kepada keimanan.

Kedua kita mestilah banyakkan AMAL SOLEH. Ini adalah pembuktian dan pengukuhan kepada keimanan. Amalan soleh ini tidak perlulah dipencilkan kerana amalan-amalan ini sudah maklum. Cuma perlu diingatkan, setiap hari amalan ini mesti dipertingkatkan.

Pelaburan ketiga pula ialah meluaskan pelaburan kita kepada orang lain iaitu BERPESAN-PESAN DENGAN KEBENARAN. Pelaburan ini membuktikan yang kita bukanlah kedekut dengan pelaburan diri sendiri sahaja. Inilah apa yang dikaitkan sebagai Win-Win situatiobn yang sentiasa digalakkan oleh Islam.

Dan yang keempat, pelaburan atas KESABARAN. Untuk melakukan perkara-perkara di atas tentulah tidak semudah yang dikatakan atau dituliskan. Banyak ujian dan cabaran. Oleh itu, perlaksanaannya memerlukan kesabaran yang kuat. Inilah pelaburan yang perlu kita buat dan kita ajak orang lain buat sama. Insya-Allah dengan pelaburan ini kita akan dapat ketenangan di dunia dan di akhirat. Itulah lebih kurang pengertian Surah Al-'Asr Surah ke 103.

Bertaqwa dan beruntung.


Dua Jumaat sudah saya ternampak satu majalah "SOLUSI" dijual di Masjid USJ 1Subang Jaya. Sudah siri ke-26 rupanya. Sesudah membacanya, saya dapati majalah tersebut amat baik untuk orang-orang Islam yang hendak menambah ilmu agamanya dan sesuai untuk seisi keluarga. Disini saya turunkan satu petikan dari majalah tersebut yang siri ke-27. Kelebihan bertaqwa :

1) Bantuan dan perlindungan dari Allah.

Allah hanya akan membela orang yang bertaqwa. Menjadi seorang Muslim, belum ada jaminan mendapat bantuan Allah. Ini menjelaskan mengapa umat Islam ditindas dan dikalahkan oleh musuh-musuh Islam hari ini. Firman Allah yang bermaksud : " Allah jadi pembela (pembantu) bagi orang yang bertaqwa." (Surah al-Jathiyah 45:19)

2) Penyelesaian masalah dan rezeki
Selain rajin berusaha dan sentiasa produktif, orang bertaqwa akan dapat menyelesaikan masalah dalam hidup dan rezekinya dijamin oleh Allah s.w.t. Firman Allah yang bermaksud : " Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup dan akan memberi rezeki dari mana sumbernya yang tidak disangka-sangka." ( Surah al-Talaq 65:2-3) "Jika penduduk sesebuah negeri beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi." (Surah al-A'raf 7:96)

3) Dijanjikan syurga dan diselamatkan daripada neraka.
Allah berfirman yang bermaksud : "Akan tetapi orang yang bertaqwa kepada Tuhannya bagi mereka syurga yang mengalir sungai-sungai didalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya sebagai tempat tinggal dari sisi Allah." (Surah Ali 'Imran 3:198) "Dan bersegeralah kamu kepada ampunan daripada Tuhanmu dan kepada syurga yang luas seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertaqwa." (Surah Ali 'Imran 3:133) "Itulah syurga yang akan kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertaqwa." (Surah Maryam19:63) " Lalu Aku selamatkan orang bertaqwa dan menjauhkan neraka bagi mereka yang bertaqwa." (Surah al-Layl 92:17)

Monday, January 10, 2011

Oxford University.



Baru-baru ini, saya terdengar satu wawancara di radio Ikim berkenaan seorang anak Malaysia yang berasal dari Perak, berumur 32 tahun dan telah menempuh kejayaan di Oxford University, United Kingdom.

Beliau mula-mulanya belajar di pondok di Malaysia dan Indonesia kemudian belajar di Oxford University. Di sana beliau belajar sampai ke tahap PhD. Semasa hendak balik ke Malaysia, Oxford University telah menawarkan beliau jawatan pensyarah .

Semasa wawancara tersebut banyaklah soalan-soalan yang dikemukakan oleh pendengar. Antaranya ialah :- Apakah istimewanya Oxford University dengan yang lain?
Beliau tidak menjawab banyak tetapi katanya moto Oxford University dalam bahasa Sanskrit itu jika diterjemahkan bermaksud "Allah sumber cahaya kami". Lagipun konsep TUTORIAL itu diambil dari konsep pengajian Islam, TALAQI. Belajar dengan bersemuka dengan tok guru.

Ada juga pendengar bertanyakan bagaimana supaya anak-anak mereka boleh menjadi pandai. Banyak cara kata beliau. Salah satu darinya ialah :-
1) Amalkan surah Al-Insyirah setiap hari.
2) Sebelum belajar, betulkan niat untuk belajar berdasarkan NIAT dari Rasulullah s.a.w
3) Mesti ada PENGORBANAN , Ini berdasarkan hadis bermaksud lebih kurang "Belajarlah kamu sehingga ke negara China."

Kitapun rasanyaboleh mengamalkan perkara diatas. Semoga segala usaha-usaha kita menuntut ilmu dan kerja-kerja lain diberkati Allah s.w.t.


Sunday, January 9, 2011

TAHAJUD UNTUK KESIHATAN


Setiap arahan Allah itu tidak perlu dikira-kirakan apa hasilnya atau keuntungan dari arahan tersebut, tapi kalau di ketahui hasil sampingannya tentulah menjadi satu bonus atau rangsangan untuk kita melakukannya.

Baru baru ini saya menonton satu program motivasi ugama yang disampaikan oleh doktor perubatan.Mengapa kita digalakkan solat tahajud tiap tiap malam , tanya doktor tersebut. Rupa rupanya tiap tiap malam sesudah kita tidur dalam tiga atau empat jam , pembentukan kolesterol sangat aktif di badan kita.


Kolesterol pula ada dua jenis, satu yang melekat di pembuluh darah manusia dan ini menyempitkan perjalanan darah . Yang satu lagi "detachable" dari pembuluh darah dan ini akan mengalir sampai ke saraf kita yang paling halus di otak di panggil "capillaries" , ini lagi merbahaya kerana boleh menyebabkan stroke .


Oleh itu lah Allah menggalakan kita tahajud supaya pergerakan badan kita semasa solat itu menghalang pembentukan kolesterol yang berbahaya itu.
Waktu yang di saran kan pula ialah satu pertiga malam .

Indahnya Islam itu kerana semua arahan dan saranan dari Allah adalah untuk kebaikan kita .Jadi saya mengingatkan diri saya dan tuan tuan semua supaya beramal lah dengan tahajud sebanyak mungkin demi kebaikan untuk diri kita sendiri.

Saturday, January 8, 2011

Lidah.


Kalau tuan-tuan ada memelihara kucing, tentu tuan-tuan dapat melihat bagaimana banyaknya kucing menggunakan lidah, minum pakai lidah, membersihkan badan (grooming) dengan lidah, merawat luka dengan lidah, menghalau kutu dengan lidah, apatah lagi makan, tentulah menggunakan lidah. Tapi yang indahnya, semua akitiviti yang menggunakan lidah adalah untuk kebaikan kucing tersebut.

Berlainan dengan kebanyakan manusia. Lidah digunakan untuk memudaratkan diri sendiri samada di dunia atau akhirat. Manusia menggunakan lidah untuk mengumpat, mengata, mencaci, dan memfitnah, merokok, menghisap dadah, dan menyanyi dengan cara yang tidak diredhai Allah.

Bercakap bohong dan menegakkan benang basah dalam banyak keadaan. Itukah cara manusia menggunakan nikmat lidah yang diberi Allah? Macam mana kalau Allah mengambil semula lidah manusia yang ingkar atau dibisukan percakapan manusia.

Oleh itu, banyak lagi perkara-perkara baik yang boleh dilakukan oleh lidah. Mengajak orang kepada kebaikan, melarang kejahatan, menyampaikan ilmu walaupun satu ayat, menasihati anak-anak yang muda yang sangat gawat akhlaknya sekarang. Hinggakan kalau kita keseorangan, kita boleh berzikir kepada Allah s.w.t.

Lidah adalah modal perniagaan kepada kita. Sama ada kita melabur untuk keuntungan atau silap labur, manusia boleh rugi berpanjangan hingga dimasukkan ke neraka Jahannam. INGAT !!

Thursday, January 6, 2011

Menghargai.

Salah satu sifat orang-orang Jepun yang ditemui oleh anak saya ialah menghargai pemberian. Walaupun hadiah-hadiah yang kita berikan berikan kepada mereka rasanya tidak setimpal dengan pemberian dan penjagaan mereka selama anak saya disana.

Hadiah-hadiah kecil seperti kalender, lukisan dan keychain terus dimasukkan dan dipakai di di rumah mereka. Baju kurung dan baju "kaftan" terus dipakai di majlis-majlis terdekat. Menariknya, apabila ibu angkat memakai baju kurung, dia meminta dipakaikan tudung sekali. Jiran-jiran ibu angkat itu juga turut meminta memakai pakaian-pakaian yang dihadiahkan .

Malang sekali di negara kita, kadang-kadang ada orang yang tidak menilai hadiah kawan-kawan jika ia tidak mahal atau tidak cantik.

Lebih parah lagi, ramai manusia yang tidak menghargai (bersyukur) akan pemberian Allah. Lihatlah nikmat-nikmat Allah yang kita terima tetapi berapa banyak kita bersyukur ke atas nikmat-nikmat tersebut, walau kita sentiasa diingatkan bahawa sesiapa yang sentiasa bersyukur pasti Allah akan menambah apa-apa yang disyukurinya,

Lagipun, dikatakan juga manusia-manusia yang tidak berterima kasih sesama manusia akan susah untuk bersyukur kepada Allah . Sama-samalah kita memohon kepada Allah , supaya menjadi orang yang BERSYUKUR.






Wednesday, January 5, 2011

Jauh perjalanan, banyak pandangan.


Anak saya, Liyana baru saja pulang dari Nagoya, Jepun. Dia menghadiri program "Homestay" yang dianjurkan oleh Kelab Antarabangsa Hiroshima bersama Kementerian Pendidikan. Apabila ditanya tentang perkara-perkara manfaat yang dipelajari beliau semasa di Jepun . Liyana menyatakan sifat-sifat orang Jepun banyak menyerupai ajaran Islam . Contohnya :-

1) Menepati waktu/janji
Kalau tren dijadualkan sampai jam 11.28 pagi maka ia akan sampai tepat pada waktunya.

2) Amanah
Jika telah dipertanggungjawabkan menjaga seorang anak angkat, mereka tidak suka ditanya-tanya khabar tentang anak angkat mereka. Ini seolah-olah tidak memberi kepercayaan sepenuhnya kepada mereka.

3) Melayan tetamu
Mereka akan melayan tetamu sebaik mungkin dan menanggung semua perbelanjaan makan minum dan penginapan selama program tersebut.

4) Kebersihan
Bandar dan rumah-rumah mereka sangat bersih sehinggakan tandas mereka dihiasi dengan gambar-gambar dan kalender.

Malangnya walaupun perkara-perkara di atas terdapat dalam ajaran Islam tetapi tidak ramai diantara kita yang mengamalkannya.

Bagi permulaan, saya cadangkan kita mulakanlah menjaga tandas dan menghias tandas-tandas masjid dan surau yang selama ini tersohor dengan baunya yang busuk. Mudah-mudahan ia akan meransang orang datang untuk solat berjemaah sekaligus memberi pulangan yang besar kepada tuan-tuan.



Tuesday, January 4, 2011

Mari berdansa.

Kebanyakkan manusia di dunia ini hendakkan kebahagiaan, ketenangan, kekayaan, dan kemahsyuran.

Ramai yang mencari kebahagiaan dengan meminum arak dan berpeleseran dengan gadis-gadis GRO. Mencari ketenangan dengan mengambil dadah. Mencari kekayaan dengan berjudi. Selagi apa yang dicari berlawanan dengan ajaran Islam, ia tidak akan berkekalan dan pasti bertemu dengan bencana di dunia, apa lagi di akhirat.

Baru-baru ini satu rancangan realiti TV Mari Berdansa . Pasangan penari-penari tersebut dari suami isteri dan dalam proses tersebut mereka menjadi mahsyur di seluruh negara. Kalau menang hadiah berupa wang ringgit pula boleh di dermakan di beberapa badan amal. Tetapi sesudah beberapa peraduan berlalu, tujuh dari sepuluh pasangan yang sampai ke pusingan terakhir ( final ) telah bercerai. Ini menunjukkan semua dilakukan yang tidak berlandaskan Islam tidak akan memberi pencapaian yang dihajati.

Sama-samalah kita melihat dilandasan mana kita berada sekarang.

Monday, January 3, 2011

Biar dicuri buah, jangan dicuri akidah.


Sejak kebelakangan ini, pokok-pokok pisang yang saya tanam di kawasan surau sudah mula berbuah. Baru-baru ini, pencuri telah mencuri satu tandan pisang. Terasa marah, hampa, dan terkilan, walaupun Allah s.w.t telah menjanjikan pahala terhadap tanam-tanaman yang dicuri ataupun dimakan oleh binatang, burung, ulat ataupun lain-lain.

Yang peliknya dengan manusia ini, kalau harta atau barangan kecil kita dicuri, semua melenting. Tapi, tahukah kita berapa banyak waktu yang bernilai kita dicuri oleh penyanyi-penyanyi di TV, radio dan media-medialain. Drama dan rancangan tidak berfaedah disiarkan untuk melalaikan kita daripada beribadah kepada Allah s.w.t. Kawan-kawan yang merokok mencuri kesihatan kita dengan hembusan rokok semasa berbual.

Dan lebih parah lagi apabila ada manusia yang mencuri akidah kita dengan mengatakan manusialah berkuasa, manusialah yang mampu membantu manusia, manusia boleh menyembuhkan penyakit dan lain-lain. Ada orang lebih sensitif kalau syilingnya jatuh, tapi kalau akidahnya hilang dicuri orang tak siapa yang peduli.

Oleh itu, kalau barang-barang kita dicuri orang, anggaplah ia sebagai takdir tapi JANGAN sekali-kali biarkan orang mencuri akidah, keyakinan kita kepada Allah s.w.t dan usaha-usaha kita untuk menegakkan Islam di bumi Allah ini. Jangan LEKA supaya tidak ke neraka.