Thursday, October 31, 2013

REALITI DUNIA





Imam al-Ghazali ( Rahimullah) menggambarkan realiti dunia ini dengan contoh yang indah:

Dia menceritakan seorang lelaki sedang berjalan didalam hutan, tiba-tiba lelaki tersebut ternampak seekor singa mengejarnya. Dia berlari untuk menyelamatkan diri dan sampai disebuah telaga (perigi ) terus melompat ke dalam. Ketika terjatuh lelaki tersebut sempat memegang seutas tali. Dia menarik nafas lega. Dia memandang ke atas dan nampak singa tadi berlegar-legar di mulut perigi. Lihat kebawah dia nampak seekor ular yang besar sedang mengangakan mulutnya mengharapkan pemuda tersebut terjatuh. Tak lama kemudian dia ternampak seekor tikus putih dan seekor tikus hitam mula mengigit tali. 

Diatas singa, dibawah ular besar dan satu-satunya tempat bergantung – seutas tali sedang mula digigit oleh tikus-tikus ptih dan hitam tadi. Dalam keadaan cemas tersebut dia ternampak sarang lebah dihadapannya. Dia mencucukkan jarinya kedalam sarang dan menikmati kemanisan madu lebah tersebut, dan nikmat itu melupakan dia tentang singa , ular dan dua ekor tikus tadi.



Imam al-Ghazali ( Rahimullah) berkata :

Singa itu melambangkan kematian yang sentiasa mengejar anda . Ular pula melambangkan kubur dimana kita semua akan dimasukkan. Tali pula melambangkan kehidupan. Tikus hitam melambangkan malam manakala tikus putih melambangkan siang, dan mereka sentiasa memakan hari-hari anda. Madu pula adalah dunia . Manusia yang terlalu menikmati dunia akan lupa terhadap kematian dan lupa akan kubur yang menanti. 

Renung-renungkanlah nasihat Imam al-Ghazali ini. Terima kasih.


Quote of the day




Wednesday, October 30, 2013

MANFAATKAN ‘WhatsApp’ ANDA UNTUK KEBAIKAN




Baru-baru ini seorang gadis berumur 21 tahun meninggal dunia di sebabkan kemalangan jalan raya di Kuwait. Beliau yang bernama Reem adalah anak yatim piatu dan kematiannya tidaklah ditangisi oleh sesiapa, apa lagi untuk menziarah jenazahnya. Tetapi seorang pemuda yang menyaksikan kejadian tersebut telah memulakan rayuan berantai melalui sistem ‘Whats App’ keseluruh bandar dan akhirnya mendapat simpati ramai orang. Pengendalian jenazah Reem telah disempurnakan dan ramai orang datang menziarahinya.




Inilah satu contoh penggunaan peralatan teknologi moden yang digunakan dengan betul dan sudah pasti ia menyumbang ganjaran kepada sesiapa yang melakukannya. Perkara sebaliknya akan berlaku jika kita salahgunakan peralatan tersebut.



Walau bagaimanapun kita digalakkan supaya tolong menolong antara satu sama lain. Banyak Hadis-Hadis Rasullullah S.A.W memberi galakan tersebut diantaranya bermaksud:

1. Pertolonganmu terhadap orang lemah adalah sedekah yang paling afdal ( HR Ibnu Abi Ad Dunia dan Asysyihaah)

2. Allah selalu menolong orang selama orang itu selalu menolong saudaranya ( seMuslim) ( HR Ahmad)

3. Kekuatan disertakan kepada Jemaah. Barangsiapa menyimpang ( serong dan memisahkan diri) maka dia menyimpang menuju neraka ( HR Tirmidzi )

Dengan banyaknya peralatan canggihdi zaman ini ,kita mestilah lebih kreatif untuk menggunakannya kearah kebajikan.


Quote of the day




Tuesday, October 29, 2013

SAYA BADANG , SAYA TAK BAYAR TAMBANG




Dalam satu pekan kecil setiap hari seorang pemandu bas membawa penumpang pergi bekerja ke sekolah dan urusan-urusan lain. Semuanya berjalan lancer kecuali pada suatu hari dia mengambil seorang penumpang yang tinggi, berbadan besar dan mempunyai tangan yang panjang hingga hampir mencapai lutut. Dia naik di satu perhentian yang sama setiap hari dan menggelar dirinya BADANG. Mungkin seronok dengan imej  BADANG yang kuat , garang dan menakutkan.

Tiap-tiap hari Badang naik bas dan berkata kepada pemandu bas “Saya Badang , saya tak bayar tambang”. Pemandu bas yang berbadan kecil dan kurus memendam perasaan marah. Hari demi hari berlalu peristiwa yang sama berlaku . Pemandu bas di hampiri dan “Saya Badang , saya tak bayar tambang” di ucapkan .

Sesudah ‘bengkak’ di hati , pemandu bas tidak tertahan , dia mengambil keputusan untuk belajar seni mempertahankan diri. Dia belajar judo sampai ke tahap ‘tali pinggang hitam’ . Apabila keyakinan diri pemandu bas sudah sampai ke tahap paling tinggi , dia sudah bersedia.
Satu pagi pemandu bas berhenti menaikkan penumpang termasuk Badang. Saperti biasa Badang menghampiri pemandu bas dan berkata “Saya Badang , saya tidak bayar tambang” . Dengan perasaan marah dan berani pemandu bas berdiri memandang tepat muka Badang dan bertanya “Mengapa tidak ?” . Badang menjawab dengan senyuman “Sebab Badang ada PAS BULANAN” . Tersipu-sipu malu, pemandu bas duduk dan meneruskan perjalanan.

Pengajaran dari cerita ini:

Kita jangan tergesa-gesa mengambil sesuatu tindakan atau keputusan sebelum menyelidik sesuatu kejadian tersebut. Setiap tindak tanduk kita mestilah berdasarkan Al Qur’an . Allah S.W.T berfirman dengan maksud :

“Wahai orang-orang yang beriman , jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita maka SELIDIKLAH ( untuk menentukan ) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak di ingini dengan sebab KEJAHILAN kamu  (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan” –Al Hujurat :6

Terima kasih kerana tidak tergopoh gopoh dan sudi meluangkan masa.



Quote of the day


Monday, October 28, 2013

PETUA MENDIDIK ANAK – IMAM GHAZALI




Malam Sabtu yang lalu , saya bersama beberapa orang sahabat pergi ke Kedah. Diantara sahabat saya tersebut ialah seorang pendididk , maka perbualan kami sepanjang perjalanan banyak tertumpu kepada gelagat penuntut dan remaja masa kini. Budak-budak sekarang kata beliau sangat malas. Jika dibuka beg sekolah , yang ada cuma T-shirt dan beberapa helai kertas sahaja. Di waktu peperiksaan mereka akan mengembalikan kertas kosong sahaja. Tidur dalam kelas adalah amalan biasa. Jika di pukul , keesokan harinya mereka tetap tidak berubah.

Oleh kerana anak-anak ini adalah amanah dari Allah, saya catatkan di sini beberapa sudut utama yang perlu diambil kira dalam mendidik anak-anak mengikut Imam Ghazali. Penulisan penuh anda boleh dapati dari : theheartopener.wordpress.com- Golden Principles of Raising Children.

Sudut yang dibincangkan mengikut kitab ‘Majmu’ Rasail’ itu adalah :

1. Keperluan dan mustahaknya makanan halal.

2. Penerangan berkaitan etika makan.

3. Penerangan berkaitan etika pakaian .

4. Wabak seni ( lagu, drama , filem, iklan dan lain-lain)

5. Cara merangsang kearah kebaikan dan melarang kejahatan.

6. Keburukan marah berlebihan.

7. Etika tidur.

8. Melarang keangkuhan dan kebanggaan.

9. Etika pergaulan dan perbualan.

10. Sabar dan bertolak ansur.

11. Kepentingan dan faedah riadah.

12. Etika menghormati orang dewasa.

13.Falsafah makanan.

14. Kefanaan ( tidak kekal) dunia.

15. Siapa orang yang bijak ?

16. Diantara naluri anak-anak dan kewajiban ibu bapa.

Perkara –perkara diatas amat mudah untuk dilakukan jika dibandingkan dengan memanjat Gunung Kinabalu atau Gunung Tahan. Lebih mudah dari mengharung ombak untuk memancing, lebih mudah dari memburu atau memikat ayam di hutan. Semuanya memerlukan kefahaman dan ilmu yang mantap tentang masa depan anak-anak kita. Terima kasih.



Quote of the day


Sunday, October 27, 2013

TERLUPA NAK PULANGKAN PEN





Sekarang perkataan ‘under counter’ , ‘duit kopi’ , ‘komisen’, consultant fee’, ‘duit minum’ , ‘duit broker’, ‘duit introducer’, dan entah apa-apa lagi terma di gunakan secara berleluasa. Semuanya bermaksud ‘RASUAH’ . Ada pula insan yang lagi jahil mengatakan ‘HALAL YA! ‘ , sesudah menerima rasuah tersebut. Bandingkanlah kita  di zaman ini dengan mereka di zaman kegemilangan Islam dulu .

Abu Hasan al-Basri Isa ibn Abdullah berkata: Aku dengar al –Hasan ibn Arafah berkata : Abdullah ibn al-Mubarak berkata kepada ku :

“Aku meminjam sebatang pen di Syria dan aku lupa untuk mengembalikan kepada tuannya. Bila aku kembali ke Marw ( di Iran 1882Km) aku sedar yang pen itu masih bersama ku , jadi aku kembali ke Syria dan mengembalikan pen tersebut kepada tuannya”

Ketika itu tiada sistem pos, telepon atau cara lain untuk meminta izin, dan begitulah orang-orang zaman dulu mengelak perkara-perkara haram dari diri mereka. Kita bagaimana? Terima kasih kerana turut berfikir.


Quote of the day