Saturday, February 27, 2010

PENCURI


Sesudah keluar dari kereta pada satu Subuh minggu lalu , saya ternampak dua anggota polis sedang mengelilingi satu Mercedes benz 200 yang lampu kecemasannya sedang menyala. Pintunya kata polis tersebut separuh terbuka dan ada handphone didalamnya. Saya pun bergegas kesurau untuk membuat pengumuman dan tuan kereta tersebut pun terus menguatkan pintu keretanya . Satu suasana yang cantik , dimana penguatkuasa undang-undang dan orang awam bekerjasama mengelakkan kecurian dan bantu membantu antara satu dengan lain.

Malangnya ada banyak gambaran lain diSubang Jaya dan tempat-tempat lain dinegara kita, budak-budak muda menagih dadah dibelakang-belakang kedai, merokok tak payah cerita lagi. Anak-anak Islam bercumbu-cumbu dibawah pokok. Ada juga yang bersekedudukan . Akhlak muda mudi digerai-gerai makan sudah macam binatang , kecuali mereka ini hanya ada dua kaki.VCD lucah dijual secara terbuka dan banyak lagi.Jadi tidak adakah badan-badan , orang ramai , orang yang berkuasa yang sanggup bekerja sama membanteras kecurian akidah, kecurian keimanan , kecurian akhlak-akhlak Islam anak-anak kita ini?

Kalau cerita awal tadi diambil iktibar , kecurian handphone itu mungkin nilainya RM1,000 . Kalau kereta yang dicuri mungkin nilainya RM 200,000 . Tapi bayangkanlah nilai keimanan , akhlak dan akidah anak-anak kita TIDAK TERNILAI . Tetapi mengapa orang tidak bergegas menghalangnya , tidak menjerit meminta tolong . Tidak memasang ALARM sebagai langkah berjaga-jaga . Sebenarnya manusia Islam sekarang telah menghadapi KRISIS NILAI itu sendiri.

MOHONLAH KEPADA ALLAH


Semasa azan Magrib kelmarin beberapa orang pekerja Islam menggantungkan banner mengajak orang bergotong royong membersihkan kawasan untuk mengelakkan denggi.

Sesudah azan mereka pun terus pulang ataupun meneruskan tugas mereka mengantung banner yang lain.

Alangkah indahnya kalau mereka sama-sama solat Magrib dan meminta bantuan kepada Allah supaya menjauhkan penduduk Malaysia dari jangkitan denggi.

Manusia selalu memikirkan yang kejayaan dan kegagalan adalah atas usaha mereka semata-mata tetapi lupa kuasa sebenarnya adalah dari Allah subhanahuataala , kita cuma berikhtiar sahaja. Jangan lupakan Allah ya !

Thursday, February 25, 2010

YAKIN DAN BERJAYA - BAHAGIAN 2


Hari ini kita akan menyambung formula kejayaan dari buku 'BELIEVE AND ACHIEVE' oleh W. Clement Stone.

8. Disiplin diri
9. Rancang Masa dan Perbelanjaan anda
10. Kekalkan Kesihatan Fizikal dan Mental anda .
11. Menggarap Pemikiran Holistik
12. Kerjasama Berpasukan
13. Visi yang Kreatif
14. Fokus dalam satu-satu Matlamat
15. Pemikiran yang Tertumpu
16. Keyakinan yang diamalkan.
Selamat mencuba dan jangan lupa mengikuti usaha anda dengan doa.

Wednesday, February 24, 2010

YAKIN DAN BERJAYA


Ramai orang yang ingin dirinya baik dari segi pelajaran , pekerjaan atau apa-apa bidang pun tercari-cari akan formula kejayaan yang boleh dipraktikkan. Memang banyak formula telah ditulis ataupun disyarahkan , diantaranya terdapat dalam buku 'BELIEVE AND ACHIEVE' oleh W. Clement Stone .


Saya akan turunkan diantara formula itu secara ringkas . Mudah mudahan satu hari nanti kita akan sampaikan secara terperinci .


BAHAGIAN PERTAMA


1. Pemikiran mental yang positif


2. Tujuan dan matlamat yang khusus .


3. Buat sesuatu lebih dari sepatutnya.


4. Belajar dari kegagalan.


5. Inisiatif sendiri yang kuat.


6. Semangat dan minat yang kuat.


7. Keperibadian yang menarik.


Esok InsyaAllah kita akan menyambung bahagian kedua topik ini .Selamat beramal dan selamat berjaya.

Monday, February 22, 2010

SERIBU GUNA


Satu petang, saya minum di gerai bawah pokok di Subang Jaya. Saya ternampak satu 'wiper' kereta terletak diatas meja. Tertanya-tanya apa gunanya. Tiba-tiba tuan gerai menyapu meja dengan 'wiper' tersebut. Cepat dan bersih tugasnya.


Kalaulah manusia mengambil iktibar dari cerita "wiper" ini, tentulah kehidupan kita lebih bermakna. Walaupun sudah berumur lanjut tapi masih boleh menyumbang kepada manusia.


Orang-orang 'lama' kita sepatutnya menyertai kumpulan NGO untuk memberi sumbangan kepada masyarakat. Boleh juga menganggotai kumpulan menyelamatkan binatang seperti "PAWS" atau "SPCA". Boleh juga memberi tusyen kepada anak-anak. Mengajar 'first aid' atau apa-apa ilmu kepada orang ramai.


Kalau tidak mahu menganggotai NGO, boleh buat sendiri-sendiri seperti membersih masjid dan surau. Yang mustahaknya, kita mesti mengisi masa lapang sebaik mungkin. Maklumlah, sabda Rasululllah S.A.W yang bermaksud lebih kurang begini, hanya tiga perkara yang akan kita bawa ke akhirat nanti :

1. Sedekah jariah

2. Ilmu berguna yang kita ajarkan

3. Doa anak yang soleh

Kalau kita fokuskan amalan-amalan kita kearah tiga ini, Insya-Allah saat-saat akhir hidup kita akan lebih bermakna walaupun sudah tidak glamour seperti dulu lagi.


Allah itu maha kaya. Segala perbuatan baik kita akan dihargai. Walupun setakat menghidang air dijamuan-jamuan di masjid dan surau. Walaupun setakat menyusun kasut-kasut jemaah, walaupun mengutip daun berterbangan di karpet masjid. Walaupun setakat senyum kepada sahabat. Yang penting sentiasalah membuat kebajikan sebelum kita disimpan.

Sunday, February 21, 2010

SIRAM AKIDAH DAN AMALAN ANAK-ANAK KITA


Pagi tadi sesudah tukar batang cangkul yang baru, seronok betul mengubah landskap di depan surau tu. Tapi sebab tanah yang ditanam rumput itu curam, kejap-kejap rumput yang baru ditanam tu melongsor. Terpaksalah kepingan rumput-rumput itu dipakukan tanah dengan kayu supaya tidak melongsor lagi. Kemudian disiram pula dengan harapan akarnya tumbuh segera.

Begitulah dengan anak-anak atau orang dewasa yang berperangai macam anak-anak. Sebelum keyakinan mereka kepada Islam mantap, sebelum amalan mereka berterusan, kita mesti memujuk, memupuk, dan menggalakkan mereka. Disiram pula dengan kata-kata nasihat dan sedikit puji-pujian. Mudah-mudahan mereka akan mantap dengan akidah Islam dan istiqamah dengan amalan dan ibadah mereka. Insya-Allah.

Saturday, February 20, 2010

TIADA TUAN, SIAPALAH SAYA?


Pagi semalam,terlalu seronok mencangkul di surau hinggakan batang cangkul patah. Malangnya bila batang cangkul dah patah, mata cangkul yang diperbuat dari besi itu tidak boleh digunakan. Jadi besi yang kuat itupun tidak boleh digunakan kalau batang cangkul yang diperbuat dari kayu itu sudah patah.

Begitulah kita didunia ini, . Kalau kita kaya, jangan pandang rendah kepada orang miskin. Jika kita berpelajaran, jangan pandang rendah kepada mereka yang tidak berpendidikan. Kalau kita tidak dikurniakan oleh Allah kecantikan, jangan sisihkan mereka yang tidak "berupa" pula.

Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semua dijadikan bersebab dan dan memerlukan antara satu sama yang lain. Ada kawan saya yang banyak pengalaman kereta rosak di perjalanan, kebanyakan yang berhenti membantu adalah mereka-mereka yang menaiki motorsikal dan berbasikal. Yang berkereta besar terlalu sibuk atau berasa takut untuk berhenti. Ada juga orang-orang yang berpelajaran yang tak pernah senyum kepada mereka yang kononnya "berstatus" rendah, akhirnya memerlukan buruh-buruh itu menguburkan mereka yang "berstatus" tinggi.

Begitu juga ramai dari mereka yang cantik-cantik mencebur kedalam kancah dosa-dosa. atau bekerja dengan professor yang tidak halal rezekinya.

Sebab itu, Allah ada mengatakan, kadang-kadang perkara yang kita sangkakan baik untuk kita tapi tidak baik untuk kita dan sebaliknya. Ingatlah kita didunia ini memerlukan antara satu dengan lain. Oleh itu, kita semua perlu saling hormat-menghormati antara satu dengan lain. Terima Kasih.

Friday, February 19, 2010

YANG TERTUTUP LEBIH MAHAL

Kelmarin isteri saya membeli sekotak teh berharga RM10.00 mengandungi 100 uncang teh kecil. Sebulan lalu pula saya membeli sekotak teh yang berjenama sama, harga sama tetapi mengandungi 50 uncang sahaja. Mengapa? Saya tertipu ke? Sesudah diselidik , rupa-rupanya teh yang mengandungi 50 uncang kecil itu dibalut dengan sarung plastik supaya tetap bersih dan tidak tercemar walaupun dengan debu yang halus.
Rupa-rupanya sesiapa yang mengikuti spesifikasi kesihatan sedunia akan tinggi harga pasarannya sebab ia terhindar dari macam-macam pencemaran.

Begitu juga kita sebagai hamba Allah. Jika Allah mengarahkan kita menutup aurat, mesti ada hikmahnya, lagipun itu perintah dari Allah, kita tidak sepatutnya membantah atau nak mencari justifakasi untuk mengikut perintah Allah.

Kalau aurat perempuan, banyaklah yang menjadi aman...Lelaki tidak akan terganggu dengan rambut yang ikal mayang. Perempuan dengan rambut yang beruban atau jarang pula tidak akan menjadi ejekan, dan tidak akan menimbulkan fitnah. Yang berkelumumur pula tak payahlah terasa tidak selesa bila berhadapan dengan orang ramai.

Yang sakit pula, tak payahlah tunggu kepala jadi botak baru bertudung. Jadi, kalau nak jaga kesihatan, makanan mesti dibalut dan dibungkus, Nak jaga keimanan aurat mesti ditutup dan dikawal.

Wednesday, February 17, 2010

SUDAH SEMBAHYANG MAGRIB? KATA AH CHONG

Sebelum Magrib tadi saya dan beberapa orang kawan pergi meraikan seorang kenalan Cina yang bukan Islam. Dia datang dari Batu Kurau Taiping Perak, dan kami berjanji berjumpa diKelang. Sebelum berjumpa dia mengingatkan kalau tak sempat sembahyang Magrib tak apalah, jumpa esok saja.

Dia seorang bukan Islam mengingatkan kita tentang solat Magrib. Dia juga semasa bersama saya diwaktu Magrib diTaiping suatu hari dulu menyuruh saya solat Magrib , dia boleh tunggu diluar masjid katanya. Mudah-mudahan Allah akan memberi hidayah kepadanya.

Tetapi yang sedihnya , ada orang-orang Islam yang tak tahu atau buat-buat tak tahu bila masuk waktu solat. Di shopping complex , dipasar malam , dikedai-kedai makan dan dimerata tempat.

Ada juga semasa mesyuarat-mesyuarat waktu solat berlalu begitu sahaja. Apa dah jadi kepada penganut Islam zaman ini ?

Monday, February 15, 2010

BUANG BAYI


Hari-hari kita mendengar orang buang bayi . Ada yang dah meninggal dan ada yang dijumpai masih hidup. Dengar pun ngeri, kalau tengok gambar lagi ngeri. Kalau tengok betul-betul , tak tahu nak cakap lagi menggerunkan. Siapa nak disalahkan , kita semua agaknya.

Hari ini banyak sekali saya terjumpa gambar bayi dibuang merata-rata. Gambar bayi dikotak-kotak rokok , yang memeranjatkan lagi saya pernah meminta kotak rokok yang dah kosong untuk menyimpan gambar bayi-bayi tersebut. Kawan itu terkejut kerana tidak mengetahui gambar-gambar begitu telah diletakkan dikotak rokok. Begitulah masyarakat yang tidak peduli . Tidak kisah apa yang disedut dan dimakan. Tidak kisah membuang gambar bayi dan sampah merata-rata , dan akhirnya tidak rasa bersalah membuang bayi sendiri.

Sebenarnya manusia sudah tidak kisah walaupun MEMBUNUH . Sama- samalah kita peduli kepada masyarakat yang tidak peduli ini.

Budak main kejar-kejar

Kejar-kejar dekat pokok

Budak belum habis belajar

Dah pandai hisap rokok

Malam-malam pasang lilin

Lilin dipasang tepi perigi

Walau remaja belum kahwin

Sudah dapat seorang bayi

Bila remaja dapat bayi

Muka malu tidak terkira

Terus remaja nekad dihati

Buang saja merata-rata

Saturday, February 13, 2010

INGAT

Tiga minggu sudah saya ternampak satu poster kecil di bilik study seorang pelajar. Poster itu ringkas tapi mempunyai makna yang mendalam . Kita renung bersama.

I- INSAF
INGAT - INGAT ALLAH
INGAT - NIKMAT ALLAH
INGAT - SEKSA NERAKA
INGAT - AMANAH ALLAH
INGAT - FALSAFAH HIDUP

Jadi maksudnya , kalau kita selalu ingat perkara -perkara diatas . InsyaAllah kita akan selamat didunia dan akhirat.

Friday, February 12, 2010

MUSANG BERBULU MUSANG


Malam Sabtu lalu saya balik lewat ke rumah . Setiba di kawasan SS14/8 saya ternampak satu ekor musang besar melintas jalan. Sebelum itu dalam sebulan lalu, balik dari solat Isyak saya terserempak dengan seekor ibu musang membawa empat ekor anak-anaknya melintas jalan SS18/3 . Sebelum itu saya juga pernah terserempak dengan beberapa ekor musang disana sini di Subang Jaya. '
Persoalannya disini bagaimana musang musang ini boleh 'SURVIVE' di Subang Jaya walaupun bandar ini sudah di bangunkan lebih dari 30 tahun, masih mengekalkan identiti musang . Masih memakan buah atau makan binatang kecil seperti tikus dan lain-lain.
Yang nak diceritakan disini ada segelintir anak-anak Islam kita bila pergi belajar atau bekerja diluar negara sudah terpengaruh dengan cara hidup negara-negara yang didudukinya. Malang lagi ada yang menukar cara makan minum mereka hingga sudah tidak ada beza diantara yang halal dan yang haram.
Lebih memeranjatkan lagi ada anak-anak orang Islam kita yang hijrah dari kampung kebandar-bandar diMalaysia , telah terjebak dengan 'CULTURE SHOCK' . Berubah sama sekali, yang lelakinya seolah -olah lupa daratan , yang perempuannya mendedahkan aurat dan berpakaian ketat macam sarung nangka dikampung dulu. Senang sangat terikut -ikut dengan keadaan negatif disekeliling.
Ada yang bersekedudukan lelaki dan perempuan . Maka lahirlah anak haram yang dicampakkan didepan mesjid dan surau. Dosa tidak boleh terampun dengan membuang bayi didepan mesjid , tapi datanglah kemesjid bertaubat , dan mencari titik perubahan.
Dulu kita mengata musang berbulu ayam, rupa-rupanya musang lah yang mempunyai jati diri yang kuat , walau dimana dia berada.

Thursday, February 11, 2010

PONDOK IDAMAN

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Adnan dari Kapit Sarawak yang sudi menjadi pengikut blog saya. Saya juga berasa malu kerana Ustaz lebih banyak mengetahui selok belok ugama . Walau bagaimanapun , bila bercakap tentang Sarawak , saya teringat tentang dua lawatan saya ke Kampung Budaya Sarawak.
Untuk mereka yang belum ke Kampung Budaya Sarawak ini , eloklah cuba melawat jika ada peluang. Kampung Budaya ini terletak dikawasan yang di kelilingi oleh kawasan yang menghijau dan dilatar belakangi oleh Gunung Sentubung. Diantara rumah rumah yang bereka bentuk tiap tiap suku kaum dari Sarawak , terdapat juga kolam kolam yang menambah seri lagi Kampung Budaya tersebut.

Kemuncak kepada lawatan tersebut ialah lawatan ke Dewan Kebudayaan dimana pertunjukan kebudayaan diadakan setiap beberapa jam . Persembahan diadakan begitu teliti hinggakan sumpitan kearah belon tepat mengenai sasarannya.

Disini saya ingin mengajak pembaca , terutama yang kaya kaya , kerajaan negeri , kerajaan Malaysia atau mana mana orang yang ada duit lebih , untuk merenung satu projek PONDOK IDAMAN yang mudah mudahan akan terbina satu hari kelak.

PONDOK IDAMAN ini ialah pusat pengajian Islam yang dibina ala tarikan pelancung . Bangunannya dibina ditempat yang indah , mengandungi senibina dari berbagai latar belakang . Penuntutnya diajar dari bergabai bahasa dan terbuka kepada pelbagai bangsa dan dari pelbagai negara.

Didewan khas diadakan pidato dan pertunjukan kesenian Islam, bukan saja saja nak tunjuk, tapi ia nya bermotifkan dakwah dan tarikan untuk mengetahui Islam lebih mendalam lagi.Ada juga mini muzium , dan sejarah sejarah berkaitan Islam . Ringkasnya, keindahan PONDOK IDAMAN akan dapat membayangkan keindahan Islam itu sendiri.

Konsepnya sama dengan Kampung Budaya Sarawak, cuma pengisiannya adalah Islam dan dakwah yang terbuka kepada semua pengunjung dari dalam dan luar negara.

Wednesday, February 10, 2010

RUANG PAHALA DI MANA MANA


Petang tadi , lebih kurang jam 6 petang terpaksa pergi ke supermarket lagi , nak beli barang barang untuk anak . Letak kereta di tingkat atas , nak beli barang di 'lower ground' , sambil turun kebawah nampak ruang berniaga penuh merata rata , dikiri dan di kanan , di ruang ruang pejalan kaki , diatas dan dibawah hinggalah di parking lot pun ada kedai tayar dan lain lain. Matlamat tak lain tak bukan nak cari rezeki .Baguslah niat itu.

Tapi ada peluang yang boleh dibuat di merata-rata tempat , peluang nak buat pahala . Dirumah sambil duduk-duduk boleh berzikir . Bangun malam 'call' sahabat , saudara mara untuk solat malam. Sambil memandu , boleh beri jalan kepada orang lain dulu . Senyum pada orang orang tertentu. Tolong orang menyeberang jalan . Bantu orang orang buta . Ajak orang ke mesjid . Beri nasihat pada anak- anak muda dan banyak lagi.

Dunia ini seolah -olah satu 'Hypermarket ' untuk membuat pahala yang Allah sediakan untuk kita umat Islam , sama ada nak buat atau tidak saja. Kita sebagai orang yang Allah berikan hidayah , mestilah mengambil peluang ini secepat mungkin. Hinggakan kalau tuan dan puan sampaikan cerita ini kepada kawan kawan pun Allah akan beri ganjaran . InsyaAllah ....Apa lagi sampaikanlah.

Tuesday, February 9, 2010

MELEPASI KAUNTER AKHIRAT

Pagi tadi pergi hantar isteri beli barang barang dapur di sebuah supermarket. Semasa berbaris nak bayar , kata isteri saya , orang dihadapannya membayar dengan credit card , malangnya tak diterima kerana sesuatu sebab. Malangnya lagi dia pun tak ada wang tunai , jadi terpaksalah tinggalkan saja barang barang itu dan balik dengan tangan kosong .
Balik rumah mungkin dikeluarkan wang dari bank , atau minta isterinya atau ambil dari berbagai sumber lain.

Tapi cuba kita bayangkan kalau diakhirat nanti semua mata wang , atau apa apa credit card tidak diterima dan tidak ada nilai lansung. Yang sah diperlakukan hanyalah pahala. Pahala lah yang menentukan sama ada kita ke syurga atau neraka ( kecuali dengan kehendak Allah ). Pahala itu pula hanya boleh didapati dengan amalan didunia.

Kalau tak dapat melepasi atau tak dapat membayar dikaunter dunia ini , banyak cara lain boleh membeli barang lagi. Tapi kalau tak lepas kaunter kiraan di akhirat amat amat buruk padahnya.

Sama samalah kita mempersiapkan mata wang diakhirat iaitu pahala , supaya kita tidak kecundang nanti.

Monday, February 8, 2010

JUMPA ANJING


Hari Sabtu lalu sesudah solat Asar saya terbaca satu iklan 'ANJING HILANG' sebelum balik dari surau. Tiba tiba saya ternampak anjing yang dimaksudkan diseberang jalan. Sesudah menalipon tuan punya anjing tersebut , saya diminta memerhatikan anjing itu supaya tidak terlepas dari pandangan. Dalam jangkamasa setengah jam tuan anjing tersebut itu pun sampai dan menangkap anjingnya yang kebetulan baru dibawa keSubang Jaya dari Damansara. Sebab itu lah anjing itu sesat.


Beberapa perkara yang saya ingin kongsi dengan pembaca disini.

1. Tuan anjing terkejut bila melihat orang yang mengambil berat tentang anjingnya ialah seorang Islam, yang berjubah pulak. Mudah mudahan dia dapat memberi satu persepsi yang lebih baik terhadap orang Islam.

2. Mereka memanggil saya kemudian dan memberitahu yang mereka tidak menjangka yang anjing itu akan ditemui. 'Kerja Tuhan' katanya. Saya mengiyakan yang segala-galanya adalah kerja tuhan didunia ini, kita hanyalah berusaha saja.

3. Mereka meminta alamat rumah saya kerana nak memberi sedikit hadiah , saya jawab "tak payahlah , kalau awak gembira , saya pun gembira" .

Pembaca tentu lebih faham , dakwah itu ada berbagai bentuk, kalau kita dapat mempamirkan keindahan Islam itu secara amali pun sudah memberi kesan kepada orang-orang yang bukan Islam.

Mudah mudahan lebih ramai diantara kita yang dapat mempamirkan keindahan Islam itu.

Sunday, February 7, 2010

Dera Suami

Melihat gambar belakang seorang suami yang lebam dipukul oleh isterinya amatlah menggerunkan. Mana mungkin seorang suami tidak sempat melarikan diri apabila didera oleh isteri, selama tujuh tahun tu. Tapi, itulah hakikatnya dengan suami malang ini. Mungkin dia begitu sabar untuk menunggu isterinya berubah.
Cuba bayangkan kalau seorang isteri membelakangi suaminya ditempat tidur pun sudah berdosa . Mengjegil mata pada suami, meninggikan suara, bermasam muka, dan banyak lagi perkara yang kita sangka kecil, tapi banyak dosanya.
Kalau puan-puan rasa suami itu boleh dibuli kerana apa-apa kekurangan padanya, ingatlah buli Allah pada puan-puan di akhirat nanti lebih dahsyat dari segala buli didunia ini. Fikir, renung, ingat dan hati-hati dengan tingkah laku kita didunia ini. Perjumpaan dengan Allah itu amat hampir.

Friday, February 5, 2010

Perjalanan

Hujung minggu lalu saya bersama keluarga pergi ke Ipoh untuk menghadiri satu majlis perkahwinan di Manjoi. Sebelum perjalanan saya membuat beberapa persiapan untuk memastikan kereta tidak ada masaalah dalam perjalanan. Oleh kerana tayar sudah sangat botak , saya terpaksa menukar kempat-keempat tayar. Coolant ditambah supaya engine tidak panas. Air kereta juga di tambah supaya kereta mudah dihidupkan. Oleh kerana sekarang musim hujan, wiper pun diperiksa. Begitu juga minyak hitam diperiksa. Perjalanan yang tidak begitu jauh tapi diberi perhatian yang begitu rapi.
Sifat ini memanglah baik,tapi ada satu lagi perjalanan yang begitu jauh, kalau tidak diberi perhatian akan memberi padah yang lebih teruk : Perjalanan ke AKHIRAT. Apa persiapan yang boleh disamakan dengan kereta tadi? Tayar, mungkin kita boleh samakan dengan sesuatu yang membawa hala tuju atau landasan kita didunia ini. Jadi, landasan mestilah betul. Air bateri dan bateri : sesuatu yang memberi kekuatan kepada manusia untuk beribadah. Coolant atau penyejuk radiator : mungkin kesabaran dalam kehidupan.. Engine oil : mungkin amalan yang menguatkan hati dan jiwa. Wiper: mungkin pandangan yang membezakan yang betul dan yang salah.
Walau apapun, cerita ini hanyalah untuk menarik perhatian kita untuk membuat persiapan dalam perjalanan , yang pasti ini untuk menuju akhirat. Semua kita sudah tahu akan kaedahnya, amal-amalkan sajalah kaedah itu.Semoga semua amalan kita diberkati Allah dan diterima sebagai ibadah. Amin.

Wednesday, February 3, 2010

RESIPI KEBAHAGIAAN


Sesiapa diantara kita yang todak tenteram, tidak aman, tidak bahagia, dan selalu resah, cubalah renungkan surah an-Nur ayat 31 ini; maksudnya :

Dan bertaubatlah engkau semua kepada Allah, sekelian orang mu'min, supaya semua memperoleh kebahagiaan.

Monday, February 1, 2010

ACCIDENT !


Dua malam sudah saya balik dari satu meeting , tiba-tiba tersangkut dalam jam. Tak lama kemudian saya terdengar bunyi ambulan dan kami sama-sama tiba ketempat punca jam tersebut- kemalangan jalan raya .

Orang yang terlibat dalam kemalangan itu pun diusung kedalam ambulan . Teruk nampaknya mukanya dan pucat. Entah sempat sampai ke hospital entah tidak.Kita pun begitu . Apa akan jadi esok, semua orang tak tahu. Yang mustahak semua kita mesti dalam keadaan sedia selalu.

Solat di segerakan . Tanggung jawab dilaksanakan . Hutang piutang diwasiatkan . Zikir dibaca selalu. Tugasan agama selalu dibereskan . Mudah mudahan bila Allah memanggil kita kembali taklah banyak perlu dijawab . InsyaAllah.