Wednesday, December 16, 2009

Mudahnya beramal - Jika mahu


Satu hari semasa membuat beberapa kerja di taman Surau Al-Hikmah, kelihatan sebuah teksi berhenti. Memang selalulah teksi dan kereta-kereta berhenti untuk membuang air yang kecil ataupun yang besar. Salah satu fungsi surau dan masjid yang paling popular hanyalah untuk menunaikan hajat-hajat tersebut.Tetapi apabila saya melihat ke dalam surau, saya ternampak pemandu teksi tersebut sedang solat, tentulah solat Dhuha agaknya, kerana waktu ketika itu sekitar jam 9.30 pagi.



Termenung saya sekejap, seorang pemandu teksi yang sibuk mencari penumpang, yang sentiasa di atas jalan, sentiasa mengejar waktu, masih ada masa untuk diluangkan untuk berkomunikasi dengan Allah.Tetapi sebilangan dari kita yang ada banyak masa berbual-bual kosong, banyak masa untuk menonton media yang langsang, berjalan-jalan "window shopping" terlupa untuk sujud bersyukur atas segala nikmat pemberian Allah. Lebih parah lagi kalau ada yang tidak membuat arahan-arahan yang diwajibkan.



Jadi untuk membuat atau tidak membuat sesuatu itu adalah helah dan nafsu manusia semata-mata. Walaupun saya rasa tuan-tuan dan puan-puan telah banyak beramal, jangan lupa untuk mengajak anak-anak dan keluarga kita untuk mempertingkatkan amalan masing-masing, kerana salah satu bekalan yang kita akan bawa ke akhirat nanti ialah doa anak-anak yang soleh, Amin.

No comments:

Post a Comment