Wednesday, December 23, 2009

Kasihnya ibu

Tiga minggu yang lalu, sesudah beberapa lama diganggu oleh tikus, saya memasang perangkap, dan keesokannya terus mendapat hasil... Seekor tikus montel. Seluruh pagi saya berfikir bagaimana nak membunuh tikus tersebut. Tengah hari apabila menghampiri tikus itu, dia semakin garang, cuba menggigit jari saya yang memegang perangkap tersebut, kemudian saya terperanjat melihat yang tikus itu sudah beranak, dua ekor. Walaupun tikus itu tinggal dalam sangkar yang hampir pasti tidak boleh dia melepaskan diri, ibu tikus itu terus mempertahankan anaknya, terus cuba menggigit saya tanpa takut dan tanpa putus asa. Itulah kasih seekor ibu tikus.

Tapi apa yang nak saya bincangkan disini ialah, sejauh manakah ibu-ibu manusia sayangkan anaknya. Kita lihat gadis-gadis cantik di TV dipeluk, ditampar, di pegang tangan, dibaringi di atas katil dan dilakukan apa saja atas nama lakonan. Apa kata ibu bapa mereka? Kita lihat anak-anak muda menyabung nyawa merempit di atas jalan raya - dimana ibu bapa mereka. Di kelab malam, di tempat-tempat hiburan pula geram nak diceritakan. Gadis-gadis yang kononnya Islam diperdagangkan seperti "spring chicken". Di mana ayah, di mana ibu mereka.

Penuntut, ya, penuntut-penuntut. Balik jauh-jauh malam diperbuat apa saja, dipadang, di tepi jalan, dalam kereta, di rumah sewa, di bawah pokok dan di mana-mana. Nilai mereka sudah diketahui umum yang hanya semurah "top-up" prepaid sahaja.

Kalaulah setiap ayah, setiap ibu bertanggungjawab seperti ibu tikus tadi, tentulah semua anak-anak selamat dan tidak didagangkan semurah sekotak rokok, semurah satu tin arak, semurah nasi lemak bungkus.

Tuan-tuan dan puan-puan, janganlah malu untuk belajar dari ibu tikus yang terperangkap tadi kalau ianya dapat menyelamatkan generasi kita dari kesengsaraan di dunia dan kesengsaraan di akhirat.


1 comment:

  1. Sesungguhnya ini adalah satu pengajaran yang baik...Teruskan usaha anda...

    ReplyDelete