Tuesday, April 14, 2015

DARI CEMERLANG TERUS MALANG BAHAGIAN 5





Maka terdirilah sebuah rumah tangga yang indah, walaupun mereka membesar dalam dua keadaan yang amat berbeza dan tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini.

Jika mereka kembali menetap dikampung pengantin lelaki, sudah tentu banyak ‘cerita’ yang akan terbongkar , ini akan menyulitkan perkembangan rumah tangga bahagia. Maklumlah orang kita ini, kalau bertemu dengan jiran-jiran banykalah ‘sejarah’ akan terbongkar.

Oleh itu dengan nekad , si suami mencadangkan mereka akan berhijrah ke Shah Alam. Di sana mereka akan memulakan hidup baru dan akan menerima apa saja ketentuan Allah demi kebahagiaan dan kesempurnaan kehidupan anak-anak masa depan.

Dengan izin Allah si isteri dapat bekerja di sebuah kilang dan si suami dapat bekerja di sebuah hotel sebagai ‘kitchen helper’ , mencuci pinggan mangkok dan kerja-kerja am di dapur.
Bak kata orang Melayu , hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan seterusnya. 

Satu hari, pemuda yang bekerja sebagai pencuci pinggan ini terbaca satu iklan di hotel – Jawatan kosong “Public Relation Officer” ( Pegawai Perhubungan Awam).
Sambil mencuci pinggan bersama kawan kawan dia menyampaikan hasratnya untuk memohon jawatan tersebut.

“Kau gila ?” perkataan yang pertama di terimanya dari seorang kawan.
“Kerja macam kita ni, cakap orang putih pun tak tau,nak duduk ofis? Nak mesyuarat?  Nak tulis surat ? Nak ikat ‘tie’ ( tali leher ) pun kena belajar sebulan agaknya”. Bertubi-tubi ayat-ayat negatif di lontarkan kawan-kawan.

Pencuci pinggan yang nak memperbaiki diri itu menjawab dengan tenang,
“Aku akan cuba . Kita cuba bersungguh-sungguh , Allah yang akan menentukan kita berjaya atau tidak”

Beberapa minggu kemudian dia di panggil untuk temuduga. Terpaksalah beli sehelai baju baru dan seluar baru untuk membezakan dari seorang pencuci pinggan kepada seorang yang berpotensi untuk menjadi seorang pegawai perhubungan hotel yang ternama.

Esok temuduga inshaaAllah.

Monday, April 13, 2015

DARI CEMERLANG , TERUS MALANG BAHAGIAN 4





“Kahwin, siapa yang nak kahwin dengan saya Pak Cik ? Tak da kerja tetap, rambut dah berpintal macam “ halua semitai” , muka berserabut, pakaian kalau dibasuh , mati ikan di hilir sungai.”

“Kau ubahlah pemikiran kau, buat azam baru, yang sudah, sudah. Yang kedepan Allah lebih mengetahui. Banyak-banyaklah minta pertolongan dari Allah” jawab Pak Cik majikan pemuda tersebut.

“Dekat dengan sempadan Perak sana, Pak cik ada kawan mempunyai lima anak perempuan . Pak Cik akan pinangkan anak sulungnya dan jangan risau tentang belanja. Pak Cik akan uruskan segalanya. Kau mulalah berubah dari sekarang”

Seolah-olah malam berganti siang, Allah memasukkan ka hati pemuda yang sedang berserabut itu satu keyakinan baru. Dia setuju dengan cadangan majikannya.

Dia mula berubah :-

FIZIKAL: Mula bergunting rambut. Berpakaian lebih kemas. Keterampilan berbeza yang amat ketara. Dari seorang gelandangan kepada pemuda yang kacak, berperibadian matang dan lebih bertanggung jawab. Keluarga dan kawan lama mungkin tidak kenal atau terperanjat jika berjumpa beliau sekarang.

KEROHANIAN : Mula menyedari keperluan beragama. Mula solat. Mula memperbaiki bacaan Al Quran . Mula ke surau dan mendampingi orang-orang soleh. Walaupun terasa berat untuk memulakan perubahan yang sudah lama di tinggalkan itu, tetapi dengan azam dan kekuatan minda yang terpendam buat beberapa tahun, sekarang dia berubah. Keluar dari kepompong yang membelengu buat beberapa tahun. Subhanallah . itulah hidayat dari Allah kita cuma perlu sentiasa memohon – berdoa.

Pada hari yang telah ditetapkan , bak kata lagu :

Kompang dipalu,pengantin baru
Duduk bersanding tersipu malu,
Kompang di palu pengantin malu
Moga bahagia ke anak cucu

Tidak siapa dari pihak pengantin perempuan yang mengetahui sejarah hidup pengantin lelaki. Yang mereka tahu ialah lelaki ini seorang pengopek kelapa yang kacak, berbudi bahasa dan bertanggung jawab.

Maka diteruskanlah lagu pengantin :

Mempelai tersenyum manis
Air mawar direnjis-renjis
Bunga mangga indah berseri
Merahnya inai dijari
Tanda kasih dah termenteri
Ikatan raja sehari

SELAMAT PENGANTIN BARU , ESOK ADA CERITA BARU – InshaaAllah dan terima kasih.


Saturday, April 11, 2015

DARI CEMERLANG TERUS MALANG BAHAGIAN 3





Pertolongan dan kasih sayang Allah ada dimana-mana. Dalam ketidak tentuan hala pemuda yang baru balik dari Amerika itu, seorang pengusaha kelapa datang memberi harapan, menyinar kegelapan.

“Anak mengapa kau tak kerja saja dengan Pak Cik kita kait dan kopek kelapa, jual kelapa dan buat apa-apa saja kerja yang boleh mendatangkan rezeki yang halal”. Saranan Pak cik kepada anak muda yang masih terpingga tanpa haluan itu.

Saranan Pak Cik diterima oleh anak muda tersebut. Dari mencuci pinggan di Texas kepada mengait kelapa di Selangor. Dari memandikan kuda di Texas ke mengopek kelapa seharian. Dari cuaca panas di Texas, ke alunan bayu dan lambaian daun kelapa di kampung sendiri. Dari terik padang pasir di Texas ke warna kekuningan padi di hinggapi dek burung-burung pipit.

Pemandangan dan tugasan sudah berubah , kecuali anak muda masih kelihatan kusut masai. Maklumlah perubahan mengejut, masih terbawa-bawa adat resam gelandangan Mat Saleh di Amerika.

Waktu berlalu, musim beredar. Satu hari Pak cik pengusaha kelapa bertanya “Anak kamu tak de hajat nak mendirikan rumah tangga ke ?”

“Pak cik” jawab pemuda dengan terkejut.

“Siapa yang mahukan saya dalam keadaan begini ?”

Pak Cik cuma tersenyum lebar.............

Esok , InshaaAllah kita akan mendengar jawapan anak muda yang tersentak dengan soalan majikannya.

Dia kembali ke rumah dengan 1001 persoalan . NIKAH ?  its madness !