Wednesday, April 10, 2013

SEGAR AMAT





3hbApril 2013 yang lalu saya tidur di Segamat. Malam itu saya mengambil peluang bertanya kepada tuan rumah asal usul bagaimana nama Segamat di beri. Maka tersebutlah kisah Portugis menyerang Melaka. Waktu itu Bendahara Tepok yang lumpuh diselamatkan pengikut-pengikutnya melalui sungai kehulu Sungai Muar. Setelah berdayung beberapa lama mereka sampai ke Lubuk Batu dan berehat. Sesudah mandi di sungai tersebut , Bendahara Tepok berkata “Segar amat rasanya badan ini”. Maka tempat mereka singgah itu dinamakan SEGAMAT hingga kehari ini.

Suasana Segamat ketika itu begitu indah. Sungainya yang jernih dipenuhi ikan-ikan berenangan. Pokok-pokok menghijau diwarnai pokok buah-buahan liar. Burung dan unggas berterbangan, bersiul dan berkicauan menjadikan persekitaran sungai tempat Bendahara Tepok singgah itu satu dewan simfoni alam – segar amat rasanya.


Tetapi itu semua telah berubah. Sungai di Segamat telah banyak tercemar. Sampah merata. Rumah rumah terutama dikawasan Melayu dipinggir bandar tidak berseri. Alam mula mengamuk. Banjir kerap berlaku. Ada pemerhati alam mengatakan : “Aku tidak faham mengapa bila kita merosakkan sesuatu yang dibina oleh manusia , kita dikatakan ianya vandalism, tetapi bila kita menghancurkan alam semula jadi, kita dikatakan ianya pembangunan”.


Islam pula telah lama menekankan kepentingan alam sekitar. Rasullullah s.a.w telah bersabda dengan maksud :

“Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan”. ( Hadis Riwayat Muslim)

Dalam Surah Ar Rum ayat 41 pula Allah membari amaran maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan didarat dan dilaut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, ( timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali ( insaf dan taubat)

Jika perbuatan-perbuatan pencemaran dan kerosakan kepada alam ini dibenci oleh Allah , maka setiap usaha mengindah dan memlihara alam semula jadi ini pula akan diberi pahala oleh Allah s.w.t . Daripada Anas bin Malik r.a katanya : Sabda Rasullullah s.a.w bermaksud :

Tidak ada seorang Muslim yang menanam tanaman atau menyemai semaian , lalu burung atau insan atau binatang berkaki empat memakannya, melainkan untuknya ( pahala) sedekah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam satu motivasi supaya kita terus menghijaukan bumi ini pula , ada kisah seorang sahabat melihat Abu Dharda menanam pokok buah-buahan. Sahabat bertanya kepada Abu Dharda “Mengapa engkau tanam pohon ini padahal engkau sudah sangat tua, sedang pohon ini tidak akan berbuah kecuali sekian tahun  lamanya”. Maka Abu Dharda menjawab : ‘Bukankah aku yang akan memetik pahalanya dikala orang lain memakannya?”

Jelas Islam melarang pemusnahan alam dan memberi pahala kepada yang menguruskannya dengan baik. Apa lagi ? kita pilihlah yang baik dan tinggalkan yang buruk walaupun hanya dengan mengutip sehelai sampah dijalanan . Amin. Terima kasih.

Quote of the day

Excellence is a habit



No comments:

Post a Comment