Wednesday, April 8, 2015

DARI CEMERLANG TERUS MALANG BAHAGIAN 2




Satu kisah benar ( Real Life Drama )

Sesudah enam tahun tinggal merempat di Texas Amerika, tiba-tiba perasaan untuk kembali ke Malaysia timbul melonjak-lonjak. Teringat kampung, sawah padi, pohon kelapa dan lebih-lebih lagi ibu , ayah dan keluarga.

Sesampai di kampung , di utara Selangor berhampiran Teluk Intan , keluarga terkejut. Melihat anak balik dari Amerika sudah menjadi seorang gelendangan . Marah, hampa, malu , geram , benci , jijik dan segala perkataan negatif yang terdapat dalam Kamus Dewan, seolah-olah tidak cukup untuk menggambarkan perasaan ibu ayah terhadap anak yang telah menghampakan mereka itu.

Tindakan segera mereka ambil ialah menghantar anak tersebut ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan Perak, dengan harapan anak itu dapat hilang dari pandangan ibu ayah  dan bahagia dari perpisahan kali kedua itu.

Untuk mengeruhkan keadaan lagi anak yang disangka sudah gila itu tidak cukup kelayakan untuk ditempatkan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan . Ibu ayah terkejut dan bertambah malu, bertambah marah dan bertambah panik.

Ibu, ayah mengambil satu keputusan yang amat mengejutkan . Mereka pindah jauh dari kampung asal mereka dan meninggalkan anak yang baru pulang kepangkuan itu kesaorangan.
Anak yang sudah lupa untuk memancing, yang sudah lupa untuk ke sawah. Yang sudah lupa untuk menjerat burung. Yang sudah lupa untuk memasak nasi lemak, tinggal kesaorangan terkonteng-konteng.

TEXAS terlalu panas, MALAYSIA marah membalas. Dikatakan sakit, hospital kata tidak, dikatakan sihat , keluarga tinggalkan dia melarat , kemana arah akan dituju.

Esok inshaaAllah kita sambung kisah benar ini , jika hati anda lembut , pengasih anda akan menitiskan air mata.


Tuesday, April 7, 2015

DARI CEMERLANG TERUS MALANG !



Satu kisah benar ( Real Life Drama )

Dalam 30 tahun yang lalu ada seorang pelajar yang amat cemerlang di sebuah Sekolah Sains di Malaysia. Dia sangat cemerlang, hinggakan sebelum mendapat keputusan SPM , dia telah dihantar melanjutkan pelajaran ke satu university di Texas, Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun,sesudah dua semester belajar ‘architecture’ dia seolah-olah menjadi separuh gila. Tidak boleh terus belajar, terputus hubungan dengan sponsor yang memberi biasiswa dan terputus hubungan dengan keluarga di Malaysia. Dia menjadi penghuni jalanan.- seorang Gelandangan.

Kais pagi makan petang, membuat kerja-kerja sekadar untuk mengisi perut. Mencuci pinggan direstoran, membersihkan kandang kuda di Texas, menjadi tukang kebun dibawah panas sinar panas terik rumah-rumah di sana dan melakukan apa saja demi mengisi perut dan menegakkan tulang belakang.

Bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan bersama penduduk tempatan, seorang ‘MAT SALEH’ sudah lupa solat , mengaji Al quran apatah lagi rambut sudah berpintal, mandi mungkin sekadar menghilangkan bau tahi kuda.

Dalam pada itu, ada satu perkara yang agak ‘siuman’ yang dilakukan beliau- melukis. Dalam masa-masa terluang , dia melukis. Gambar-gambar yang dihasilkan berkonsep “nature, moden dan futuristic’ . Semua lukisan beliau di siapkan dengan baik dan tidak dijual.

Tiba-tiba satu hari seolah-olah lampu yang menyala, dia teringat akan MALAYSIA. Dia rindu akan keluarga . dia mahu pulang, tetapi bagaimana. Visa sudah tamat tempoh, wang tiada. Ingatan tinggal samar-samar . Bagaimana ?

Kita ikuti lanjutan kisah benar ini seterusnya – InshaaAllah. Dapatkah dia kembali ke Malaysia atau terus bergelendangan di Texas.

Hari ini , jenguk-jenguk, call, sms atau hubungi keluarga anda yang belajar , bekerja jauh dari rumah, tanyakan khabar mereka, mungkin mereka sedang menghadapi tekanan jiwa , sebelum terlambat ya !

Terima kasih.

Friday, March 27, 2015

PENGALAMAN PEMANDU VAN JENAZAH





Semalam saya ikut seorang sahabat mengambil jenazah seorang ibu tua di Kelang. Dia pandu van jenazah suka-suka saja, katanya. Nak cari tambahan amalan untuk bekal diakhirat nanti.

Dalam perjalanan dia memberitahu satu pengalaman yang tak dapat dilupakannya. Katanya, sesudah jenazah seorang bapa dimasukkan kedalam van , TIDAK SEORANG PUN ANAK-ANAKNYA yang sanggup masuk kedalam van jenazah tersebut, ‘Takut’ kata mereka . Itulah anak-anak zaman sekarang, kasih kepada ibu bapa berakhir bila ibu- bapa meninggal.

Yang peliknya mereka tidak pulak takut pada harta-harta yang ditinggalkan ibu-bapa mereka. Semua habis di baham, kadang kala sebelum ibu-bapa meninggal lagi.

.Anak-anak mempunyai banyak tanggung jawab terhadap ibu –bapa , diantaranya:-

1. Menghulurkan bantuan kewangan dan material.

2. Menyediakan tempat tinggal.

3. Memberi kasih sayang.

4. Memberi perhatian.

5. Memenuhi permintaan.

6. Melakukan apa yang disukai.

7. Bercakap dengan lemah lembut.

8.Menghadiahkan kejayaan.

9. Meluangkan masa bersama-sama.

10. Mendoakan kebaikan untuk ibu –bapa dan banyak lagi.



Hati-hati , jangan sesekali melukakan hati ibu-bapa semasa mereka hidup dan doakan banyak-banyak jika mereka telah meninggal. Terima kasih.