Saturday, April 11, 2015

DARI CEMERLANG TERUS MALANG BAHAGIAN 3





Pertolongan dan kasih sayang Allah ada dimana-mana. Dalam ketidak tentuan hala pemuda yang baru balik dari Amerika itu, seorang pengusaha kelapa datang memberi harapan, menyinar kegelapan.

“Anak mengapa kau tak kerja saja dengan Pak Cik kita kait dan kopek kelapa, jual kelapa dan buat apa-apa saja kerja yang boleh mendatangkan rezeki yang halal”. Saranan Pak cik kepada anak muda yang masih terpingga tanpa haluan itu.

Saranan Pak Cik diterima oleh anak muda tersebut. Dari mencuci pinggan di Texas kepada mengait kelapa di Selangor. Dari memandikan kuda di Texas ke mengopek kelapa seharian. Dari cuaca panas di Texas, ke alunan bayu dan lambaian daun kelapa di kampung sendiri. Dari terik padang pasir di Texas ke warna kekuningan padi di hinggapi dek burung-burung pipit.

Pemandangan dan tugasan sudah berubah , kecuali anak muda masih kelihatan kusut masai. Maklumlah perubahan mengejut, masih terbawa-bawa adat resam gelandangan Mat Saleh di Amerika.

Waktu berlalu, musim beredar. Satu hari Pak cik pengusaha kelapa bertanya “Anak kamu tak de hajat nak mendirikan rumah tangga ke ?”

“Pak cik” jawab pemuda dengan terkejut.

“Siapa yang mahukan saya dalam keadaan begini ?”

Pak Cik cuma tersenyum lebar.............

Esok , InshaaAllah kita akan mendengar jawapan anak muda yang tersentak dengan soalan majikannya.

Dia kembali ke rumah dengan 1001 persoalan . NIKAH ?  its madness !

Wednesday, April 8, 2015

DARI CEMERLANG TERUS MALANG BAHAGIAN 2




Satu kisah benar ( Real Life Drama )

Sesudah enam tahun tinggal merempat di Texas Amerika, tiba-tiba perasaan untuk kembali ke Malaysia timbul melonjak-lonjak. Teringat kampung, sawah padi, pohon kelapa dan lebih-lebih lagi ibu , ayah dan keluarga.

Sesampai di kampung , di utara Selangor berhampiran Teluk Intan , keluarga terkejut. Melihat anak balik dari Amerika sudah menjadi seorang gelendangan . Marah, hampa, malu , geram , benci , jijik dan segala perkataan negatif yang terdapat dalam Kamus Dewan, seolah-olah tidak cukup untuk menggambarkan perasaan ibu ayah terhadap anak yang telah menghampakan mereka itu.

Tindakan segera mereka ambil ialah menghantar anak tersebut ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan Perak, dengan harapan anak itu dapat hilang dari pandangan ibu ayah  dan bahagia dari perpisahan kali kedua itu.

Untuk mengeruhkan keadaan lagi anak yang disangka sudah gila itu tidak cukup kelayakan untuk ditempatkan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan . Ibu ayah terkejut dan bertambah malu, bertambah marah dan bertambah panik.

Ibu, ayah mengambil satu keputusan yang amat mengejutkan . Mereka pindah jauh dari kampung asal mereka dan meninggalkan anak yang baru pulang kepangkuan itu kesaorangan.
Anak yang sudah lupa untuk memancing, yang sudah lupa untuk ke sawah. Yang sudah lupa untuk menjerat burung. Yang sudah lupa untuk memasak nasi lemak, tinggal kesaorangan terkonteng-konteng.

TEXAS terlalu panas, MALAYSIA marah membalas. Dikatakan sakit, hospital kata tidak, dikatakan sihat , keluarga tinggalkan dia melarat , kemana arah akan dituju.

Esok inshaaAllah kita sambung kisah benar ini , jika hati anda lembut , pengasih anda akan menitiskan air mata.


Tuesday, April 7, 2015

DARI CEMERLANG TERUS MALANG !



Satu kisah benar ( Real Life Drama )

Dalam 30 tahun yang lalu ada seorang pelajar yang amat cemerlang di sebuah Sekolah Sains di Malaysia. Dia sangat cemerlang, hinggakan sebelum mendapat keputusan SPM , dia telah dihantar melanjutkan pelajaran ke satu university di Texas, Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun,sesudah dua semester belajar ‘architecture’ dia seolah-olah menjadi separuh gila. Tidak boleh terus belajar, terputus hubungan dengan sponsor yang memberi biasiswa dan terputus hubungan dengan keluarga di Malaysia. Dia menjadi penghuni jalanan.- seorang Gelandangan.

Kais pagi makan petang, membuat kerja-kerja sekadar untuk mengisi perut. Mencuci pinggan direstoran, membersihkan kandang kuda di Texas, menjadi tukang kebun dibawah panas sinar panas terik rumah-rumah di sana dan melakukan apa saja demi mengisi perut dan menegakkan tulang belakang.

Bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan bersama penduduk tempatan, seorang ‘MAT SALEH’ sudah lupa solat , mengaji Al quran apatah lagi rambut sudah berpintal, mandi mungkin sekadar menghilangkan bau tahi kuda.

Dalam pada itu, ada satu perkara yang agak ‘siuman’ yang dilakukan beliau- melukis. Dalam masa-masa terluang , dia melukis. Gambar-gambar yang dihasilkan berkonsep “nature, moden dan futuristic’ . Semua lukisan beliau di siapkan dengan baik dan tidak dijual.

Tiba-tiba satu hari seolah-olah lampu yang menyala, dia teringat akan MALAYSIA. Dia rindu akan keluarga . dia mahu pulang, tetapi bagaimana. Visa sudah tamat tempoh, wang tiada. Ingatan tinggal samar-samar . Bagaimana ?

Kita ikuti lanjutan kisah benar ini seterusnya – InshaaAllah. Dapatkah dia kembali ke Malaysia atau terus bergelendangan di Texas.

Hari ini , jenguk-jenguk, call, sms atau hubungi keluarga anda yang belajar , bekerja jauh dari rumah, tanyakan khabar mereka, mungkin mereka sedang menghadapi tekanan jiwa , sebelum terlambat ya !

Terima kasih.