Friday, January 3, 2014

MUKMIN YANG KUAT




Dalam cuaca hujan , angin bertiup kencang di Subang Jaya baru-baru ini , pasu pokok buluh dihalaman rumah saya tumbang. Pasunya pecah . Tapi ,Alhamdulillah tanah dalam pasu tidak berkecai kerana akar pokok buluh itu begitu kuat, hingga akar-akar itu telah boleh menggantikan tugas pasu tersebut. Mungkin selama pertumbuhannya , air di siram dengan cukup, baja di beri maka tumbuhlah pokok buluh tersebut dengan subur.




Begitu juga kita orang-orang Islam amat di galakkan supaya kuat secara fizikal dan mental. Dalam satu hadis Rasullullah S.A.W bersabda dengan maksud :

“Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih di cintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah , dan pada tiap-tiap ( mereka ) ada kebaikan. Bersungguh sungguhlah kamu mendapatkan apa yang mendatangkan manfaat bagi kamu, dan pohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu lemah , dan sekiranya sesuatu (musibah) menimpa kamu maka janganlah kamu mengatakan : Kalau saya melakukan itu ( dulu ) sudah tentu saya akan begini dan begitu, tetapi katakanlah : (Ini adalah ) takdir Allah , Dia berkuasa melakukan apa-apa yang Dia kehendaki . Sesungguhnya ‘KALAU’ membuka amalan syaitan” . ( Hadis Riwayat Muslim )

Walau bagaimanapun , ini tidak bererti orang yang lemah itu tidak berguna lansung, sebab Allah telah berfirman dengan maksud :

“Dan bagi masing-masing mereka darjat menurut apa yang telah mereka kerjakan” (Surah al Ahqaaf 46:19)

Jadi dengan melihat alam keliling kita dapat banyak belajar , jika kita mahu. Buluh tadi umpamanya mempunyai akar yang begitu tersusun hingga boleh terus hidup tanpa pasu. Makin tinggi buluh hidup , makin tunduk pucuknya. Begitu juga manusia lebih kaya , lebih tinggi pangkatnya , lebih merendah diri kita sepatutnya. Terima kasih kerana meluangkan masa anda.














Thursday, January 2, 2014

MENYEMAI KEBERANIAN PADA ANAK-ANAK





Semasa saya di Kuching Sarawak tak lama dulu , saya perhatikan ramai anak-anak muda lelaki yang berperangai lembut di sana. Mereka ini ramai bekerja di restoran-restoran  dan ramai juga yang bersiar-siar di merata bandaraya Kuching. Di Kuala Lumpur juga tidak kurang bilangannya mereka saperti itu. 

Adalah menjadi tanggung jawab ibu bapa melatih anak-anak dari kecil supaya bersikap yang sepatutnya, ia itu lelaki bersikap lelaki dan menjadi anak lelaki yang berani. Kalau tidak generasi kita akan datang susah untuk mempertahankan negara kalau semua sudah ‘berlembut’ dalam semua aspek.

Di antara langkah-langkah yang perlu diambil ialah:

1. Jangan biarkan anak-anak menonton rancangan TV atau filem-filem menggerunkan walaupun sedikit.

2. Jangan biarkan anak-anak menonton siri kartun, ini akan ‘mengkartunkan’ minda bila dewasa nanti. Mungkin ada siri-siri kartun yang boleh di kecualikan.

3. Ajarkan mereka seni mempertahankan diri, semasa berbual dengan anak-anak katakanlah ‘’Kamu sudah menjadi juara, ayah pun sudah kamu kalahkan”.

4. Katakan pada anak-anak , “Hari ini kita cuma bermain sahaja, satu hari kamu mungkin akan berdepan dengan musuh Allah”

5. Ajarkan anak-anak menunggang kuda , memanah dan berenang. Sukan ini amat baik untuk menyemaikan sifat keberanian dan keyakinan diri anak-anak.

6. Selalu ingatkan anak-anak keperluan menjadi kuat supaya dapat mempertahankan keluarga, masyarakat dan negara bila dia dewasa kelak.

7. Semaikan rasa kasih sayang sesame Islam dari umur anak-anak lagi.

8. Beri anak-anak peluang memberi pendapat dan jadilah pendengar yang baik kepada mereka.

9. Ingatlah pendidikan anak-anak tanggung jawab ibu bapa. Kalau ibu bapa tidak berikan pendidikan yang betul , kita bukan saja akan menyesal di dunia malah akan menyesal sampai ke akhirat nanti.

Terima kasih atas kesudian anda meluangkan masa untuk berfikir tentang masa depan anak-anak kita. Sekian. 










Wednesday, January 1, 2014

PENANGKAP ULAR





Pada satu hari seorang penangkap ular pergi ke kawasan pergunungan untuk menangkap ular. Oleh kerana ketika itu musim sejuk dia berjaya menangkap ular yang kesejukan dengan mudah.
Dia membawa ular tersebut ke bandar dan mempamirkan ular itu kepada penonton. Dia menceritakan dengan bangganya bagaimana dengan susah payah dia dapat menangkap ular tersebut.

Walau bagaimanapun , dengan cuaca semakin panas di bandar , ular tersebut menjadi aktif dan hampir mematuk pengunjung. Penangkap ular dan orang ramai bertempiaran lari.

PENGAJARAN:

Kita jangan fikir nafsu kita boleh di kawal bila kita kerap berkunjung ke mesjid atau pun kita selalu berkawan dengan orang orang soleh. Jika kita ke tempat yang tidak soleh , pergaulan dengan kawan-kawan yang tak menentu , mungkin nafsu kita ‘meledak’ semula. Ketika itu hati-hati , kita mungkin terjerumus melakukan dosa semula. Awas ! . 

Terima kasih kerana berhati-hati dengan pergaulan anda.