Thursday, March 10, 2011

TINTED GLASS


Selalu bila saya memandu saya ternampak kereta-kereta yang menggunakan cermin yang amat gelap, "TINTED GLASS". Tak nampak langsung apa yang berlaku atau siapa di dalam kereta tersebut. Kalau di dalam kereta itu orang jahat, kita tak tahu. Kalau di dalam kereta itu kawan kita pun kita tak tahu. Yang pasti orang dalam kereta tersebut pasti nampak kita yang di luar ini, kalau tidak macam mana mereka boleh memandu dengan selamat.

Teringat saya tentang alam malaikat dan alam manusia. Malaikat boleh melihat kita. Malaikat yang mencatitkan kebaikan dan keburukan manusia hari-hari, malah setiap saat memerhatikan kita untuk direkodkan amalan di bahu kanan dan kiri. Kalau manusia banyak solat malam, malaikat tidak pernah tertidur untuk mencatit kebaikan mereka. Bangun subuh pula malaikat masih mencatit semua tingkah laku manusia. Seterusnya semua perbuatan yang manusia lain tidak nampak, pasti dicatit juga oleh malaikat. Tiada jalan untuk melepaskan diri dari pandangan dan perkiraan malaikat. Kalau dunia manusia dan dunia malaikat itu tidak di"tinted", tentulah cara hidup kita lain dari yang kita lakukan sekarang ini.

Yang dahsyat lagi ialah kita tidak dapat juga melihat malaikat maut. Mungkin malaikat maut itu sudah datang berkali-kali memberi peringatan yang dia akan mencabut nyawa kita, malangnya kita tidak perasan. Mungkinkah tahun depan, bulan depan, atau esok nyawa kita akan di cabut. Atau tak sempat cerita ini habis di baca nyawa kita sudah dicabut.

Kita memang yakin terhadap alam malaikat tapi janganlah tunggu Allah membuka "tinted" di antara kita dan malaikat baru kita nak beribadah, kerana pada masa itu semuanya sudah terlambat. Tingkatkan amalan kita sekarang juga.

Wednesday, March 9, 2011

AHMAD DEEDAT JAWAB SOALAN WANITA KRISTIAN

Seorang wanita kristian bertanyakan AHMAD DEEDAT berkenaan pemakaian purdah kepada wanita Islam. Jawapan diberi sungguh menarik dan mudah difahami. Kita tonton bersama.

SYARAHAN.


Semalam terjumpa satu syarahan oleh penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan. Rasanya sebagai bahan bacaan ringan elok kita teliti bersama syarahan tersebut. Yang baik kita ambil sebagai pengajaran.

Assalamualaikum w.b.t saudara pengerusi majlis, para hakim yang bijaksana, seterusnya saudara dan saudari yang dikasihi sekalian.

Dalam zaman kegawatan institusi kekeluargaan sekarang ini, saya memilih tajuk “Pendidikan Al-Quran membina keluarga sejahtera”. Mudah-mudahan ini dapat sedikit sebanyak memberi manfaat kepada kita semua.

Al-Quran seperti kita semua ketahui ialah kitab suci kita, orang-orang Islam. Sejahtera pula mengikut Kamus Dewan bermaksud aman, senang, tenteram, dan terpelihara dari kesusahan. Jadi mari kita lihat satu persatu bagaimana pendidikan Al-Quran ini boleh membina keluarga yang bahagia.

Hadirin hadirat yang dikasihi sekalian.

Cara anak-anak berkelakuan kepada ibu bapa jelas diterangkan dalam surah Isra’ ayat 23. Sebahagiannya bermaksud... “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada dua ibu bapa” , kemudian dalam ayat yang sama mengatakan... “Dan janganlah kamu berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan ah” , dan “Janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang kasar”. Kalau macam inilah saranan-saranan dari Al-Quran, mana mungkin ada anak-anak yang derhaka jika ajaran Al-Quran tersebut dipatuhi.

Bagi masalah anak-anak haram yang dibuang merata tong sampah pula hadirin dan hadirat sekalian, Al-Quran telah memberi peringatan 1400 tahun dahulu dalam ayat 32 surah Isra’ juga, Allah mengatakan... “Dan janganlah kamu hampiri zina, sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat”. Inilah pendinding dan formula terhadap kesejahteraan keluarga.

Cikgu-cikgu dan kawan-kawan yang dikasihi sekalian.

Ibu bapa pula tidak terlepas dari tanggungjawab. Mereka diingatkan Allah dalam Al-Quran dalam surah At-Tahrim ayat 6 bermaksud “Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya : Manusia dan batu berhala. Alangkah sejahteranya satu-satu keluarga itu kalau semua pendidikan Al-Quran dipatuhi sepenuhnya.

Para hadirin sekalian, contoh yang saya berikan tadi hanyalah sekelumit dari petunjuk yang besar di dalam Al-Quran yang boleh kita jadikan pedoman untuk kesejahteraan keluarga.

Secara sinis ada orang bertanya, “Adakah cara membuat roti canai ditunjukkan dalam Al-Quran?” . Jawabnya ada. Dalam juzu’ ke 14 ada ayat yang mengatakan lebih kurang maksudnya “ Bertanyalah kamu kepada yang tahu tentang apa-apa yang kamu tidak tahu.” Ini menunjukkan kaedah untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi manusia. Ini menunjukkan semua persoalan terdapat di dalam kitab suci Al-Quran termasuklah isu-isu besar seperti kesejahteraan keluarga.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Saya akhiri syarahan saya hari ini dengan serangkap pantun :

Jangan sesat semasa kembara,

Guna peta petunjuk jalan,

Kalau keluarga nak jadi sejahtera,

Kembalilah kita kepada Al-Quran.

Sekian, Assalamualaikum w.b.t