Saturday, February 21, 2015

GOLONGAN YANG DIKASIHI ALLAH.





Allah telah menciptakan makhluknya dengan pelbagai bentuk, rupa dan
keadaan. Ada yang dilihat cantik dan ada yang dipandang buruk pada
pandangan mata kasar manusia. Begitu jugalah dengan penciptaan manusia, ada yang Allah golongkan mereka dalam kalangan orang yang dikasihi dan ada pula golongan yang dimurkai oleh-Nya. Antara golongan manusia yang dikasihi Allah ialah;

Pertama: Orang Yang Bertakwa.

Orang yang bertakwa ialah orang yang sentiasa menunaikan janji
mereka terhadap Allah untuk menjadi seorang hamba yang sentiasa taat dan patuh untuk melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan- Nya. Allah SWT menjanjikan kasih sayang-Nya kepada orang yang bertakwa.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 76 yang bermaksud :

 “Bahkan sesiapa yang menepati janji (yang dibuatnya) dan bertakwa,
maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa”.

Kedua:  Orang Yang Membuat Kebaikan

Antara amalan baik yang menyebabkan golongan ini mendapat kasih
sayang Allah SWT adalah seperti yang digambarkan melalui firman Allah
SWT dalam Surah Ali Imran ayat 134 yang bermaksud :

 “Iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya, pada waktu senang
ataupun susah, dan orang-orang yang menahan marahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Allah mengasihi orang-orang yang membuat kebaikan”.

Ketiga: Orang Yang Membersihkan Diri dan (Orang Yang Bertaubat)

ialah golongan manusia yang sentiasa membersihkan diri
mereka daripada sebarang bentuk kekotoran zahiriah. Seperti bersih
daripada najis yang terdapat pada tempat, pakaian, makanan dan minuman harian mereka. Begitu juga mereka adalah golongan yang sentiasa membersihkan diri mereka dengan memeliharanya daripada melakukan dosa dan maksiat. Manakala pula orang yang bertaubat ialah orang yang membersihkan diri mereka dengan bertaubat kepada Allah SWT daripada segala dosa dan maksiat yang telah dilakukan. Kedua-dua golongan ini merupakan golongan yang dikasihi Allah.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 222 ynag bermaksud :

 “Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang Bertaubat dan mengasihi
orang yang mensucikan diri”.

Rasululllah SAW turut menegaskan bahawa sebaik-baik anak Adam
yang berdosa ialah mereka yang bertaubat terhadap dosa yang telah mereka lakukan.

Hadis daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

 “Setiap anak Adam itu ada melakukan dosa. Dan sebaik-baik orang
yang melakukan dosa itu ialah mereka yang bertaubat”.
(Riwayat Ibnu Majah).

Keempat ialah: Orang Yang Sabar.

Kesabaran dalam menghadapi pelbagai situasi dalam kehidupan
bukanlah suatu perkara yang mudah. Kadang-kadang seseorang yang ingin mendapatkan kasih sayang Allah terpaksa bersabar dengan mengorbankan hartanya, tenaganya, masa lapangnya malah nyawanya demi agama Islam. Lihatlah bagaimana Allah telah menjelaskan kepada kita kisah kesabaran para pengikut nabi-nabi yang terdahulu. Mereka tidak pernah mengenal erti ketakutan dan rasa bimbang demi mempertahankan agama sehingga mereka mampu meraih kasih sayang Allah SWT.
Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 146:

 “Dan berapa ramai para nabi yang berperang bersama-sama mereka
sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemahkerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dantidak pula menyerah kepada musuh.Allah mengasihi orang-orang yang
sabar”.

Kelima: Orang Yang Adil.

Bersikap adil dan tegas dalam memutuskan sesuatu perkara
bersesuaian dengan syariat Allah merupakan perkara yang amat dituntut
dalam agama. Namun kadang-kadang seseorang itu tewas dengan sogokan duniawi yang berbentuk harta, tahta dan wanita untuk tidak berlaku adil ketika menentukan sesuatu hukuman. Berlaku adil dalam setiap perkara merupakan perintah Allah dan orang yang menegakkan keadilan akan mendapat kasih sayang-Nya.
Firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 42yang bermaksud :

“Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah perkara
itu di antara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang
yang adil”.

Keenam : Orang Yang Bertawakkal.

Orang yang bertawakkal ialah golongan yang bergantung harap hanya
kepada ketentuan Allah SWT setelah melakukan pelbagai usaha untuk
mencapai sesuatu matlamat yang dimpikan. Mereka meyakini bahawa
sesuatu perkara itu baik dan buruknya adalah datangnya daripada Allah,
Justeru sebagai seorang mukmin segala ketentuan Allah terhadap sesuatu
perkara yang telah diusahakan mestilah kita terima dengan penuh reda dan berlapang dada supaya kita tergolong dalam kalangan orang yang
bertawakkal yang mendapat kasih sayang Allah.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 159:

 “Kemudian apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada
Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal
kepada-Nya”.

No comments:

Post a Comment